Remaja harus memberi nilai kepada zamannya

This image has an empty alt attribute; its file name is smartkem-2.jpg

Oleh Habsah Binti Abdul Shaer

Port Dickson, 6 Mac – Setiap fasa kehidupan manusia dari zaman kanak-kanak hinggalah dewasa akan melalui pengalaman dan cabaran yang berbeza.

Remaja juga tidak terlepas dari mengharungi cabaran kehidupan sama ada dari aspek sosial, emosi, pelajaran dan perubahan fizikal.

“Zaman teknologi kini menambahkan bebanan cabaran yang perlu diharungi remaja dalam memilih perkara yang positif dan negatif,” kata ketua Kelab Remaja Isma (KRIM) cawangan Port Dickson, Dr Abdul Rahman bin Dashuki semasa memberi perkongsian pengalaman di hadapan lebih kurang 300 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang.

Beliau menambah, zaman remaja yang hanya sekali inilah sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya supaya tidak menyesal apabila memasuki zaman dewasa nanti.

“Belajarlah untuk menjadi remaja yang berwawasan tinggi, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta sentiasa memiliki semangat cintakan bangsa dan negara sepanjang masa.”

“Lantaran itu, para remaja hari ini harus mula menilai dan memberi nilai kepada zaman keremajaan yang sedang mereka lalui,” Kata Dr Rahman yang juga merupakan seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Linggi, Negeri Sembilan.

Beliau menasihati para remaja supaya mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam budaya kurang sopan dengan memperkasanya benteng jati diri sendiri.

“Amalkan ajaran Islam dengan sempurna, berpegang teguh pada budaya bangsa dan sentiasa ingat siapa diri kita serta jangan sekali-kali membelakangkan kedua ibu bapa sebagai teras untuk memperkukuhkan jati diri remaja masa kini hinggalah dewasa nanti.

“Para remaja juga perlu memiliki ilmu pengetahuan yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain dan sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan dunia dan akhirat,” tambahnya lagi.

Mengakhiri ceramah pada hari itu, Dr Rahman menunjukkan statistik pelbagai masalah dan isu sosial remaja masa kini sebagai isyarat kepada para guru dan ibubapa perlunya para remaja disantuni dan dibimbing sama ada dari aspek emosi, mental dan spiritual agar mereka bersedia mengharungi cabaran kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *