Remaja kurang akhlak kerana sistem pendidikan yang lemah?

Jika kita melihat kepada sistem pendidikan negara, tidak lari dari kita memfokuskan sudut pandang kepada peranan guru di sekolah. Tidak dinafikan peranan seorang guru dalam membentuk peribadi dan akhlak dalam pembelajaran di sekolah sangat memainkan peranan besar pada diri seorang remaja. Ini kerana, kebanyakan masa bagi diri seorang remaja akan tertumpu di sekolah bersama guru dan rakan-rakan sebaya. Pengaruh dan sokongan yang baik oleh guru dan rakan di sekolah juga sangat membantu dalam menerapkan nilai integriti dalam diri remaja kini. Malah, terbukti berkesan dengan wujudnya sistem kaunseling di sekolah tatkala ada sesetengah remaja lebih selesa meluahkan perasaan mereka kepada guru mereka.

Namun, jika kita menyentuh isu remaja dengan masalah sosial, kes jenayah dan lain-lain keruntuhan akhlak remaja kini dengan gagalnya sistem pendidikan berfokus kepada peranan guru, ia kelihatan agak tidak adil. Sedangkan kita sangat percaya bahawa tiada guru yang boleh bertenang dengan masalah disiplin pelajarnya sendiri. Malah, kita juga pasti terkejut dengan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan akhir tahun 2017 yang menunjukkan lebih 400 sekolah di seluruh negara menghadapi masalah disiplin pelajar, dengan anggaran 85% daripadanya adalah dalam kalangan pelajar sekolah menengah (remaja) sahaja.

Jadi siapa sebenarnya yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? Guru? Ibu bapa? Keluarga? Jiran tetangga? Media sosial? Kementerian?

YA, SEMUA BERTANGGUNGJAWAB BAGI ISU INI!

Dalam pembentukan akhlak yang baik dan integriti seseorang remaja, bukanlah tugas satu pihak sahaja dan saling menunding jari menyalahkan pihak yang lain. Setiap lapisan masyarakat berperanan dalam membentuk remaja yang bijak memilih jalan yang betul dan membantu mereka dari tersasar ke arah jalan yang salah.

Menurut kajian psikologi, pemikiran remaja akan lebih tertarik ke kawasan ‘kelabu’ (samar) berbanding kawasan ‘hitam dan putih’ (salah dan benar) pada tahun-tahun awal umur remaja. Remaja juga lebih cenderung menjerumuskan pemikiran mereka ke kawasan ‘kelabu’ sesuai dengan matlamat dan keinginan mereka. Hal ini sangat memberi kesan kepada fitrah remaja yang sukakan kebebasan, sifat mudah terpengaruh, perasaan suka meneroka perkara baru, bersemangat tinggi dan berani mencuba. Jika fitrah ini diletakkan di tempat yang salah, sudah cukup meruntuhkan institusi sesebuah masyarakat.

Kita perlu sedar bahawa pendekatan bagi setiap remaja berbeza. Ada yang lebih mendengar kata dan terkesan dengan suasana di rumah bersama ibu bapa dan keluarga, ada yang lebih gemar bersama rakan-rakan dan berdamping dengan guru-guru di sekolah, malah ada juga yang cenderung untuk terpengaruh dengan keadaan masyarakat sekeliling serta budaya di media sosial. Baik buruk remaja sebenarnya dipengaruhi dari setiap sudut kehidupan sekeliling mereka, baik di rumah, sekolah, taman perumahan, bahkan alam maya.

Maka, setiap masyarakat keseluruhannya bertanggungjawab dalam membentuk akhlak dan integriti remaja. Jika perlu bagi masyarakat ‘menjaga tepi kain orang’ bagi membendung masalah sosial remaja kini, maka jagalah tepi kain orang!

Jika ada pepatah inggeris yang mengatakan “it takes a whole village to raise a child”, mungkin perumpamaan paling tepat adalah, “If it takes a whole village to raise a child, then it takes a whole world to raise teenagers”.

Bantulah pembangunan remaja kita, kerana merekalah pemimpin kita masa hadapan.

Sumber:
1. http://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/5779/
2. Theory by Jean Piaget, stage of  Intellectual Development
Brainerd, C. J. (1978). Piaget’s Theory of Intelligence. New Jersey: Prentice Hall, Inc.

Oleh:
Hanan Humaira bt Rozali
Aktivis
Kelab Remaja ISMA Gombak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *