Remaja perlu didedah pelbagai ilmu untuk raih kecemerlangan

 

KBB3

Oleh Siti Nurliyana Saifollah

JOHOR BAHRU, 18 Mac – Remaja hari ini perlu diberi pendedahan kepada kepelbagaian aspek ilmu bagi melahirkan generasi yang dapat memacu kecemerlangan dunia dan akhirat.

Remaja yang cemerlang dan mempunyai jati diri yang unggul seharusnya memiliki ilmu, pendedahan dan pemahaman yang pelbagai terutamanya dalam aspek keagamaan.

Demikian ujar Pengarah program Kem Bijak Bicara 2015, Ahmad Nor Mupangat ketika merasmikan pembukaan program tersebut yang berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Seri Malaysia, Larkin, baru-baru ini.

Tambah beliau, ilmu agama merupakan ilmu yang paling utama perlu dimiliki dan dikuasai oleh para remaja supaya mereka membesar dengan jati diri seorang Muslim yang utuh, seterusnya berperanan memimpin dunia Islam di masa hadapan.

Beliau yang juga merupakan aktivis Kelab Ramaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Johor berkata, KRIM begitu komited dengan pelbagai program-program pembangunan jati diri remaja pada hari ini.

“Kem Bijak Bicara 2015 umpamanya, disusun bagi mendidik dan membimbing remaja dengan pelbagai ilmu dan kemahiran termasuklah kepemimpinan, kerohanian dan kemahiran pengucapan awam,” ujarnya di hadapan ibu bapa serta para peserta Kem Bijak Bicara 2015.

Katanya lagi, sokongan dan dorongan ibu bapa terhadap anak-anak remaja adalah penting bagi membantu menggarap potensi dan kecemerlangan mereka.

“Saya mewakili KRIM Johor ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dorongan ibu bapa yang bersungguh-sungguh menghantar anak-anak ke program Kem Bijak Bicara kali ini.

“Kami amat menghargai sokongan para ibu bapa yang sebenarnya memberi nilai tambah eksklusif terhadap kecemerlangan remaja sebagai aset negara pada masa hadapan,” jelas Ahmad Nor.

Kem Bijak Bicara 2015 merupakan program pengucapan awam kali ketiga yang dianjurkan oleh KRIM Johor dengan objektif utamanya untuk menggarap potensi dan kemahiran pengucapan awam remaja.

Bagi remaja yang berminat menjadi ahli KRIM Johor dan menikmati pakej-pakej yang ditawarkan oleh KRIM di Johor, pendaftaran boleh dilakukan menerusi pautan berikut:

http://krim.ismajohor.com/pendaftaran-2