RESOLUSI KONWANIS 2018

Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS) menitikberatkan isu kesejahteraan mental dan emosi wanita. Wanita merupakan komponen masyarakat yang penting dalam menentukan hala tuju negara, tidak kira di mana posisi mereka berada. Wanita mutakhir ini memegang pelbagai peranan selaras dengan sumbangan mereka dalam pembangunan negara samada dalam pengurusan rumahtangga, mendidik generasi masa depan, sektor pekerjaan mahupun keterlibatan dalam NGO dan lain-lain. Kemajuan sesebuah negara tidak akan terjamin sekiranya nukleus asas yang membentuk masyarakat, iaitu keluarga, berada dalam keadaan yang terabai.

Ini selari dengan tuntutan al-Quran dan Sunnah yang memberikan hak dan perlindungan yang menepati fitrah wanita.

Dasar Wanita Negara menegaskan perlunya penyediaan persekitaran yang kondusif bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita dalam semua aspek termasuk fizikal, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, psikologi dan kerohanian.

Sehubungan dengan itu, Konvensyen Wanita Islam Nasional 2018 KONWANIS anjuran Ikatan Muslimin Malaysia mengemukakan cadangan berikut:

1. Kerajaan perlu mewujudkan satu sistem penguatkuasaan dan pemantauan yang berkesan bagi polisi dan undang-undang yang sedia ada.
1.1 Menguatkuasakan dan memantau kewujudan pusat jagaan anak-anak di semua agensi kerajaan dan swasta.
1.2 Memperluaskan kewujudan pusat pembangunan wanita kepada golongan suri rumahtangga bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri.
1.3 Memperkasakan pusat pembangunan wanita agar menyediakan sistem sokongan seperti penjagaan anak, gymnasium, rawatan kecantikan, kaunseling dan lain-lain kemudahan bagi memastikan kehadiran yang optimum dalam kalangan suri rumah.
1.4 Memudahkan urusan visa dan pengambilan pembantu rumah melalui agen yang berkredibiliti dengan kos yang minimum.
1.5 Memperkasakan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Awam sebagai tempat wanita mendapatkan hak dan perlindungan.

2. Kerajaan perlu mengawalselia majikan supaya menyediakan insentif kewangan dan bukan kewangan bagi kesejahteraan wanita dan keluarga.
2.1 Pemberian subsidi untuk pendidikan anak-anak, seperti penolakan cukai untuk yuran tadika atau taska berdaftar.
2.2 Pemberian insentif kelahiran bagi setiap kelahiran dalam bentuk pelaburan, seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
2.3 Pemberian cuti bersalin sehingga tiga bulan tanpa menghadkan jumlah kelahiran.
2.4 Pemberian cuti separuh gaji untuk ibu yang cuti menyusukan anak.
2.5 Menyediakan peruntukan khas kepada pengusaha taska berdaftar untuk kos operasi bagi mengurangkan yuran yang tinggi.

3. Kerajaan perlu mempergiatkan kempen kesedaran mengenai hak-hak wanita yang sediaada dalam peruntukan undang-undang, kesihatan, pendidikan dan politik.
3.1 Meningkatkan kempen kesedaran di kalangan wanita mengenai undang-undang berkaitan wanita dan kanak-kanak
3.2 Meningkatkan kempen kesedaran di kalangan wanita mengenai kepentingan saringan kesihatan dan subsidi kesihatan percuma yang disediakan seperti Pap Smear dan mammogram.
3.3 Meningkatkan kempen kesedaran di kalangan wanita mengenai pendidikan sepanjang hayat samada secara formal atau tidak.
3.4 Meningkatkan kempen kesedaran di kalangan wanita mengenai amalan politik matang dan memilih calon Muslim Berwibawa.

4. Kerajaan perlu mengiktiraf kos ekonomi bagi peranan wanita di rumah dan sumbangannya kepada negara.

4.1 Pemberian elaun bantuan pengurusan rumah tangga kepada golongan wanita yang belajar di peringkat Master dan PHD.
4.2 Memperkasakan institusi keluarga dengan memperuntukkan waktu bekerja anjal yang lebih singkat (contohnya 6 jam) kepada ibu-ibu dengan mengambilkira pengurusan keluarga juga termasuk dalam kos ekonomi negara.
4.3 Menyediakan bajet khas untuk wanita tidak bekerja yang dianiaya suami, termasuk urusan di Mahkamah Syariah yang tertangguh lama.
4.4 Memperuntukkan dua hari pada hujung minggu sebagai hari untuk pemerkasaan institusi keluarga.
4.5 Memperluaskan pemberian subsidi percuma untuk saringan kesihatan seperti Pap Smear dan mammogram.

5. Pihak kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Wanita perlu menyokong usaha-usaha pembangunan wanita yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tanpa diskriminasi dan birokrasi seperti dinyatakan dalam Dasar Wanita Negara.

5.1 Menyediakan bajet khas untuk NGO melaksanakan program pemulihan anak yang terlanjur atau nakal.
5.2 Menyediakan bajet khas untuk NGO Islam melaksanakan program kesedaran dan penghayatan Islam kepada golongan wanita

6 Semua pihak termasuk kerajaan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu melaksanakan ‘Program Pemerkasaan Lelaki’ daripada aspek agama, politik, ekonomi dan pendidikan; demi kebahagiaan wanita dan kesejahteraan negara.

7 Kerajaan perlu memastikan wanita Islam tidak dihalang daripada melaksanakan tuntutan agama seperti pemakaian tudung, pakaian menutup aurat dan hak beribadah di tempat kerja seperti di hotel, syarikat penerbangan, butik pakaian, kedai emas, syarikat pelancongan dan lain-lain.

Kesimpulannya, KONWANIS 2018 menggesa agar Resolusi ini diambilkira dalam Pelan Tindakan Dasar Wanita Negara dan peruntukan untuk Bajet 2019.

 

Suara 3500 Wanita
Konvensyen Wanita Islam Nasional 2018
Putrajaya International Convention Centre (PICC)
1 September 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *