Rumah terbuka Isma Seremban dihadiri pelbagai NGO Islam

SEREMBAN, 23 Julai 2017 – Majlis Sambutan Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Astana Zemi, PJ Perdana, Seremban semalam disambut meriah dengan kehadiran hampir 500 orang tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat di sekitar Seremban.

Selain kehadiran ahli-ahli ISMA dari seluruh Negeri Sembilan, rumah terbuka ini turut dimeriahkan dengan tetamu kehormat, Dato’ Hj Mohd Yusof Bin Hj Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan isteri.

Kehadiran barisan pengerusi dan AJK HELWA Masjid dan surau seperti Masjid Panchor Jaya, Masjid Kg Jimah Lama, Masjid Kg Jimah Baru, Masjid Nurul Hidayah, Surau As-Salam, Surau Taman Cempaka dan Surau Al-Hadi cukup memeriahkan suasana.

Ia diserikan lagi dengan kehadiran wakil-wakil persatuan dan NGO mahupun pelbagai pihak yang pernah bekerjasama dengan ISMA Seremban seperti Rumah Ibuku Sayang, Persatuan Penduduk Pinggiran Golf, MACMA, Yayasan kasih Sayang, IKRAM dan PAS.

“Rumah terbuka seumpama ini adalah acara tahunan yang diadakan saban tahun. Ia menjadi medan ramah mesra dengan semua pihak yang telah bersama-sama mengimarahkan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan bersama-sama kami. Moga jalinan ukhuwwah yang terbina terus menerus, berterusan dapat menyuburkan bumi Negeri Sembilan dengan kefahaman Islam yang sahih berteraskan paksi Ahli Sunnah Wal Jamaah” demikan antara permulaan ucapan YDP ISMA Seremban, Encik Norhelmi Bin Jamil.

Acara rumah terbuka ini diserikan lagi dengan persembahan bertemakan Palestin oleh kanak-kanak yang mewakili Kelab Anak-anak Hebat ISMA Seremban yang juga merupakan johan pertandingan IKIM Got Talent baru-baru ini. Wakil anak-anak PGH ISMA Seremban turut tampil memeriahkan suasana dengan deklamasi sajak Palestin yang menyentuh hati hadirin yang hadir.

Dalam suasana umat Islam diasak dan dihimpit dari segenap penjuru, musuh Islam giat mengatur rencana untuk merungkai ikatan iman dan jatidiri ketaatan umat pada hari ini, YDP ISMA Seremban dalam ucapannya menyeru hadirin yang hadir untuk kembali kepada agama dalam keadaan bersatu padu, mengelakkan perpecahan agar musuh Islam yang muncul dalam pelbagai rupa tidak mempunyai ruang meniup api permusuhan dan perpecahan. “Justeru ISMA membuka ruang kerjasama seluas-luasnya dengan semua pihak bagi membina kesatuan umat Islam”, ujarnya lagi.

Majlis yang berlangsung dari jam 11 pagi – 3.00 petang dengan pelbagai juadah menerima kunjungan tidak putus-putus sebagai tanda sokongan ahli dan masyarakat.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban merakamkan setinggi-tingi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dan institusi yang hadir memeriahkan majlis ini mahupun menerusi kerjasama yang terjalin melalui pelbagai program.

Moga usaha dan kerjasama yang baik ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *