Sajak: Potret Merdeka

 

Dr. Anas sedang mendeklamasikan bacaan sajak

Dr. Anas Alwi, Ketua Pemuda Isma KB sedang mendeklamasikan sajak

Hari ini kita merdeka,
Kerana kita sudah bebas daripada penjajah,
Hari ini kita merdeka,
Kerana tiada lagi ancaman berdarah.

Namun pelbagai persoalan,ribuan keraguan,
Seringkali menerpa minda dan pemikiran,
Apakah kita sudah merdeka,
Adakah kita telah pun bebas
Dalam erti kemerdekaan yang sebenar.

Saban hari kita pasti kedengaran,
Letusan-letusan kecil yang seringkali mengganggu gugat
Ruang pendengaran dan pemikiran kita
Pasti sahaja akan ada tangan-tangan
Yang cuba mencemarkan kemerdekaan kita ini

Tidak kira Lah dari luar mahupun dalam
Secara sulit sudah pun pasti
Apatah lagi terang-terangan

Tatkala kita dibuai mimpi berdekad-dekad lamanya
Seronok menikmati kemanisan kemerdekaan ini
Mereka tiada pernah berputih tulang
Dendam kesumat mereka sentiasa menyala
Untuk merampas segala-galanya daripada tangan kita

Bagi mereka,tanah ini sahaja bukanlah segala-galanya
Lantas mereka tiada pernah menyesal atas kesilapan lampau
Nilai dan budaya kita,diracuninya dengan bisa-bisa mereka
Islam dan pegangan kita,ditumpulkannya tidak berasah
Jiwa dan semangat kita,diratahnya lumat perlahan-lahan
Minda dan pemikiran kita,dimandulkannya tanpa berkira-kira

Maka terpisah dan tercabutlah,akhirnya terlerailah sudah
Segala titik-titik kekuatan bangsa ini
Tinggallah tubuh ini terkulai layu Menanti detik dibaham mudah oleh taring-taring mereka.

Merdekakah kita begini?
Yang seringkali tipu dan diperdaya

Bangsa ini sudah cukup maju
Bangsa ini sudah cukup senang
Bangsa ini sudah cukup bertuah
Namun bangsa ini miskin kesedarannya
Bangsa ini cetek pemikirannya
Bangsa ini tumpul keberaniannya

Seandainya kita kekal sebegini
Nantikanlah saat kehancuran yang dijanjikan
Kini kita kian kehilangan
Kehilangan nilai dan harga kemerdekaan
Kita sendiri yang mencemarkan potret kemerdekaan ini

Usahlah bermimpi untuk kekal merdeka
Andai Islam sentiasa dibolakan
Terpadamlah api kemerdekaan ini
Andai budaya terus dicanaikan

 

Hasil ciptaan:
Asyraf Kosnan
USM-KLE International Medical Program, Belgaum, India
30/7/2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *