Sambut Aidilfitri dengan jiwa kemenangan

Assalamualaikum w.r.t

Allahu Akbar..Allahu Akbar..Allahu Akbar..

Pertama dan selama-lamanya marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Taala, Tuhan sekalian alam yang masih memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan Hari Raya Aidilfitri 1436 H setelah mengharungi sebulan ibadah puasa. Semoga Allah menerima segala amal Ramadan kita dan mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran.

Muslimin Muslimat yang dikasihi,

Tibanya Aidilfitri menuntut kita untuk kembali kepada fitrah yang suci. Madrasah Ramadan yang telah dilalui dengan penuh tarbiah diharapkan mampu untuk mencapai objektifnya iaitu melahirkan insan-insan yang bertaqwa kepada Allah Taala sebagaimana yang telah difirmankanNya dalam surah al-Baqarah ayat 183. Gunakanlah segala bekalan Ramadan dalam mengharungi hari-hari mendatang. Semoga kita dapat istiqamah dalam mengerjakan ibadah seperti berjemaah di masjid dan surau, membaca Al-Quran, berpuasa sunat, berqiamullail, bersedeqah dan lain-lain.

Janganlah kita menggadaikan sebulan amal Ramadan kita semata-mata kerana ingin menyambut Hari Raya dengan bangga dan gah. Sambutlah hari raya dengan jiwa kemenangan, tenang dan meriah sebagai tanda syukur kita kepada Allah. Jauhilah jahiliah di hari raya dan raikannya dengan penuh adab berlandaskan sunnah nabi saw. Hidupkanlah budaya ziarah menziarahi dalam kalangan kita dan tingkatkanlah perpaduan serta ukhwah persaudaraan Islam sesama Islam.

Sempena aidilfitri ini juga, saya ingin menyeru diri saya dan seluruh muslimin dan muslimat supaya sentiasa membesarkan Allah dengan bertakbir dan bertahmid selari dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Dan supaya kamu mencukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur”.

Allah Maha Besar. Inilah lafaz takbir hari raya yang sentiasa diulang-ulang. Sesungguhnya inilah keyakinan kita dan inilah yang kita imani selama ini. Hanya Allahlah yang Maha Besar dan hanya Allah sahajalah yang layak disembah serta kita menyerahkan seluruh jiwa raga kita hanya kepada Allah. Dengan ini hanya acuan Allah sahajalah yang menjadi pilihan dan panduan hidup kita. Moga-moga hidup kita sentiasa dalam lembayung rahmat dan keberkatan Allah swt.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfiri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh pelusuk dunia. Taqabbalahu Minna Waminkum (semoga Allah menerima segala amalan baik daripada kami dan juga daripada kalian).

Wassalam.

Oleh:
Ustaz Abdul Rahman bin Ismail
YDP Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Samarahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *