Sambutan Luar Biasa Meriah, Raikan Awal Ramadhan

Lambor Kanan, PERAK 20 Mei –  Seramai 120 orang menyertai program ‘Ramadhan Dinanti Pemergianmu Ditangisi’ yang dianjurkan oleh NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seri Iskandar bersama agensi-agensinya yang terdiri daripada  Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Wanita ISMA, Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) menjadikannya hari bersejarah bagi Masjid Shukuriah menerima kehadiran penduduk yang seramai itu bagi sesebuah program.

Memetik kata-kata Timbalan Setiausaha Masjid Shukuriah, “Tidak sangka program ini dapat menarik ramai penyertaan. Kebiasaannya sukar untuk mencapai jumlah yang ramai untuk sesebuah program.” Tambahnya lagi, “Diharapkan pihak masjid dan ISMA dapat bekerjasama lagi untuk program di masa hadapan,” ujar Puan Shamsiah Sofian.

Selain dari forum ‘Ramadhan dan Kesihatan’ yang disampaikan oleh YDP i-Guru, Ustazah Norakhilah Baharin dan Dr. Nur Izzati Dzulkiflee dari I-Medik, masyarakat ditawarkan dengan permeriksaan kesihatan percuma dan aktiviti-aktiviti untuk remaja dan kanak-kanak.

Antara kata-kata Ustazah Norakhilah, “Jadikan Ramadhan sebagai titik tolak untuk membawa perubahan kepada keluarga dengan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan.” Ulasnya lagi, “Ibu bapa digalakkan membawa anak-anak melibatkan diri dengan aktiviti islami berikutan pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat.”

Seramai 60 orang kanak-kanak menyertai acara pertandingan mewarna, silangkata, kuiz Ramadhan dan sesi penerangan Ramadhan. Apabila ditanya apakah azam mereka bersempena Ramadhan yang akan tiba, antaranya, “Saya ingin membantu ibu bapa menyediakan juadah berbuka puasa, “Saya tidak mahu bergaduh dengan adik beradik”, “Saya ingin solat penuh, khatam Qur’an dan solat terawih berjemaah setiap hari”, menggambarkan kegembiraan dan keazaman mereka berubah menjadi lebih baik sempena Ramadhan.

Program tersebut diakhiri dengan persembahan silat cekak Hanafi oleh kumpulan pelajar asrama  Sekolah Menengah Iskandar Shah yang dibimbingi oleh Imam Masjid Shukuriah.

 

Disediakan oleh,

Noraisyah Azeezah Abdul Rahman

Wartawan

Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA Seri Iskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *