“Saya tak minat sejarah sampai ponteng kelas” – Ustaz Fauzi Asmuni

mencari-bahan-sejarah-melayu-di-leiden-belanda_7516145523359984

Bagi mereka yang mengenali si empunya diri pasti tahu yang beliau ibarat seorang penglipur lara. Segala kisah-kisah sejarah, terutama sejarah Melayu dan Ketamadunan Melayu lekas sahaja meluncur laju dari mulutnya, sehingga boleh membuatkan sesiapa yang mendengar pasti terpana.

Bahkan bagi mereka yang sering mengikuti pengajiaan dan ceramahnya di masjid-masjid, acapkali mendengar topik yang berkisar tentang sejarah tidak kiralah sejarah Melayu, sejarah Islam dan lain-lain.

Tetapi bagi Muhammad Fauzi bin Asmuni atau lebih mesra dipanggil Ustaz Fauzi asalnya bukanlah seorang pengkaji sejarah, bahkan bukan juga seorang guru sejarah, ataupun mempunyai ijazah sarjana dalam bidang sejarah. Bahkan beliau bukanlah individu yang meminati subjek sejarah sejak dibangku sekolah menengah. Malah ‘kebencian’ terhadap subjek sejarah sehingga memaksa beliau ponteng kelas sejarah selama sejam dan duduk ditandas.

“Pada dasarnya saya bukanlah seorang pelajar yang minat sejarah tapi lebih meminati subjek matematik dan sains,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Menurutnya, selepas menamatkan persekolahan di sekolah rendah di Bagan Datoh, beliau mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains, Teluk Intan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perak, Ipoh. Tapi atas dorongan dari bapanya, beliau meneruskan memilih untuk menyambung persekolahan tingkatan 1 di SMKA Perak walau pun beliau lebih minat untuk bersekolah di Sekolah Menengah Sains. Selepas Sijil Rendah Pelajaran, beliau ditempatkan di tingkatan 4 aliran Sains. Tidak lama selepas itu beliau mendapat tawaran untuk menyambung persekolah tingkatan 4 di Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan (kemudiannya dipindahkan menjadi SMAP Labu) tetapi di aliran Sastera. Bapa beliau mencadangkan agar beliau berpindah sekolah dan mengambil aliran sastera untuk meneruskan pelajaran di bidang agama.

“Saya ni dikira pandailah kononnya, itu sebab dapat duduk dalam kelas sains, tapi sempat duduk kelas sains dua bulan je, sebab ayah tak bagi. Dia suruh masuk kelas sastera. Sebab kelas sastera ada belajar agama tinggi dan bahasa Arab. Ayah nak saya jadi seperti Ustaz Hadi Awang,” ujarnya yang selepas itu akur dengan permintaan bapa yang mahukan dia belajar dalam jurusan agama dan menjadi seorang ustaz.

Sungguhpun tidak meminati pelajaran sejarah dan tidak pernah terfikir untuk berada dalam jurusan agama dek kerana minatnya lebih kepada subjek sains, beliau masih mampu memperoleh 7A1 dan 2C3 dalam sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menjadi pelajar terbaik SPM SMAP Labu bahkan mendapat gred A dalam subjek sejarah.

“Ya, walaupun saya tak minat sejarah dan tak minat pun untuk ambil subjek agama. Tapi saya hormati permintaan ayah untuk jadi ustaz. Jadi masa tingkatan 5 tu saya dah nekad untuk terus ambil jurusan agama. Bagi subjek sejarah pula, saya masih tak minat tapi ada la caranya untuk buat bagi dapat A subjek sejarah,” ujarnya sambil tersenyum.

Kemudian beliau yang berasal dari Bagan Datuk Perak meneruskan pelajaran di Sekolah Agama Izzuddin Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir dalam jurusan Syariah dan Undang-undang selama empat tahun sehingga 1994 dan meneruskan pengajian tidak formal di Mesir sehingga 1999.

jejak-othmaniah_membelakangi-golden-horn_7516145523359976

Jatuh cinta dengan sejarah

Sepanjang berada di Mesir selain berpeluang bertalaqi dengan ulama-ulama hebat di Mesir, beliau juga mula berjinak-jinak dalam pengkajian sejarah.

“Masa di Mesir banyak ikut usrah, daurah. Jadi semasa saya tahun dua pengajian, ikhwah minta saya untuk membuat pembentangan tentang Ibn Taimiyah, Syiah dan lain-lain. Jadi dari situ mula mengkaji. Nak tak nak, saya kena buat juga la,” katanya yang sempat ‘khatam’ kitab-kitab berkaitan sirah Nabi Muhammad SAW dan sejarah Islam. Di Mesir juga ujarnya beliau telah menghabiskan bacaan beberapa kitab sirah berkaitan Rasulullah saw di dalam siri-siri usrah seperti Rahiq Makhtum, Nur al-Yaqin, Fiqh Sirah, Sirah Durus wa Ibar dan Manhaj Haraki lil Sirah. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian sejarah para Nabi yang disampaikan oleh pakar sejarah Islam Mesir iaitu Prof Dr Jamal Abd Hadi.

Ujar bapa kepada tujuh orang anak ini pulangnya ke tanah air, menimbulkan satu perasaan yang membuak-buak di dalam dada untuk mengkaji dengan lebih mendalam perihal dunia dan Ketamadunan Melayu.

“Bagi saya, sejarah Melayu ini sesuatu yang gelap kerana kita tidak tahu. Dan tentang Islam lambat datang ke Tanah Melayu pun saya dah rasa tidak logik. Dan tidak logik sekiranya dunia Melayu ini tidak pernah ada hubungan dengan kerajaan Abbasiah.

“Dari situ, saya mulakan pembacaan, kaji tentang dunia Melayu ni tanpa metodologi yang bagus. Zaman tu bahan di internet tidak sebanyak sekarang, jadi banyak baca blog-blog atau wikipedia yang jadi rujukan.

“2009 sampai 2010 saya sambung pengajian master dalam bidang sejarah di UKM sebab saya rasa pengkajian yang saya buat tidak mengikut kaedah yang betul,” katanya.

Walaupun tidak sempat menulis di semester akhir atas sebab-sebab tertentu, tetapi beliau puas kerana sudah mula faham bagaimana orang-orang sejarah berfikir dan metodologi dalam pengkajian sejarah.

“Bagi saya itu sudah cukup besar dalam seni keilmuan. Sebab tujuan ilmu adalah untuk faham metodologi,” katanya.

Kemuncak permulaan kepada pengkajian sejarahnya apabila diberi peluang untuk membentangkan tentang sejarah Melayu dan Islam semasa Konvensyen Kejatuhan Melayu Islam Melaka (KEMM) yang dihadiri lebih 3000 orang termasuk para pengkaji sejarah, sejarawan, pensyarah-pensyarah dan persatuan sejarah Melaka.

“Bayangkan, saya bentang kisah sejarah dihadapan para sejarawan dan ada diantaranya pensyarah sendiri. Tapi mujur selepas saya bentang tidak ada orang yang complain,” katanya yang selepas itu semakin aktif membuat kajian sejarah, berjumpa dengan sejawaran dan pihak-pihak yang berkaitan.

Mulanya sebuah pengembaraan

Sejak itu, beliau melihat banyak perkara-perkara yang menarik tentang Tamadun Melayu Nusantara.

“Saya pegi Aceh masa bulan ramadan, dengar mereka berselawat terawih ini sama seperti di Malaysia. Jadi dari situ, sebenarnya kita tengok betapa orang Melayu, mereka boleh mencipta sesuatu yang diamalkan diseluruh nusantara. Lagu dia pun sama. Perkataan selawat itu pun sama.

“Kemudian saya pergi Kemboja, saya jumpa kitab perukunan. Kitab perukunan ni ialah kitab fardhu ain orang-orang Melayu dulu-dulu.

“Kemudian, masa zaman saya kecil kami belajar al-Quran guna muqaddam. Muqaddam ni kat filipina pun ada.

“Dah jadi perkongsian satu nusantara. Betapa hebatnya orang dulu boleh seragamkan Melayu Islam ni satu nusantara. Dan benda tu kita dapat tengok,” ujarnya yang pernah menganjurkan program kembara sejarah.

Ketika ditanya apa yang membuatkan beliau sekarang puas dan semakin jatuh cinta dengan sejarah, ini jawapannya.

“Dalam perkara ini saya berpeluang untuk pergi ke Brunei, Sulawesi, belanda, kepulauan Riau, Aceh, Selatan Thai, Kemboja, Batam dan lain-lain lagi. Saya sangat menghargai segala pengalaman ini kerana ianya menjadikan pengalaman yang sangat beharga. Kerana akhirnya saya dapat menghayati kehidupan silam kerana dapat pergi lihat sendiri keadaan dan tinggalan sejarah. Ianya memang tidak sama dengan kita baca buku sahaja.

“Mesej saya, bila kita mengembara, kita tengok sendiri, kita akan amat-amat terasa sesuatu yang berlaku di zaman dulu. Kita boleh jiwai,” katanya menutup perbualan.

jejak-pendakwah-arab-ke-bumi-melayu_kota-yaman-lama_7516145523359977

Oleh Biro Penerangan Pusat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *