Sebaik-baik pemimpin adalah yang amanah dan kuat

oleh Norlia binti Salleh

KOTA SAMARAHAN, 26 Feb – “Sebaik-baik pemimpin yang harus dipilih adalah orang yang amanah dan kuat. Amanah adalah memelihara tanggungjawab kepada Allah, kuat adalah kemampuan untuk membawa ahli mencapai matlamat redha Allah dan perjuangan,” kata Ustaz Mohamad bin Ismail, Ketua Biro Tarbiyah, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) pada Mesyuarat Agung Tahunan Isma Samarahan baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau menambah bahawa tanggungjawab sebagai seorang pemilih juga adalah besar. Untuk memilih pemimpin, bukanlah cukup sekadar memilih kerana kenal atau populariti semata. Tetapi haruslah memilih berdasarkan ciri-ciri samada dia mampu atau tidak untuk membawa ahli dalam memikul beban dan berhadapan dengan pihak musuh.

“Sebagai seorang yang dipilih untuk memimpin pula, dia hendaklah melaksanakan amanah dengan adil. Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, jika dilakukan dengan baik akan memberi kebahagiaan kepada penjawatnya, tetapi akan memberi seribu penyesalan jika sebaliknya.

“Oleh yang demikian, sebagai seorang pemimpin haruslah menjadi seorang yang amanah dan adil dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya, pemimpin yang menipu dalam tanggungjawabnya tidak akan masuk syurga,” katanya.

Sebagai penutup kepada ucapannya, Ustaz Mohamad bin Ismail berpesan kepada semua hadirin agar sentiasa memilih pemimpin yang betul dan dapat menjalankan tugas dengan baik.

Ini kerana, sekiranya pemimpin yang dipilih adalah bukan dalam kalangan orang yang sepatutnya maka ketahuilah bahawa amanah itu telah pun dikhianati.

Mesyuarat Agung Tahunan Isma Samarahan kali ke-3 yang diadakan di Pejabat Isma Samarahan itu telah dihadiri oleh ahli Isma. Mesyuarat berjalan lancar dan berakhir dengan jayanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Mohammad Afiq Shazwan bin Abd Samat, Naib Yang di-Pertua Isma Kuching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *