Sejarah Kristian terjebak dengan sekularisasi

 

Masyarakat Kristian merupakan bukti hidup untuk kita pelajari bagaimana berlaku pemisahan peranan agama dan kehidupan dunia. Berikut adalah catatan ringkas dari buku Islam & Sekularisme karya ilmuwan ulung tanah air, Prof Dr Syed Naquib Al Attas dalam bab “Latar Belakang Kristian Masa Kini”.

  1. Zaman kegelapan Eropah merupakan tempoh yang mana masyarakat berada di bawah cengkaman Gereja, institusi raja serta sistem feudal yang menindas secara material, fizikal serta intelektual.
  2. Sebagai reaksi, berlaku zaman Pencerahan (Englightenment) Eropah sekitar abad ke-17 sehingga ke-19, berlaku kebangkitan akal rasional dan empirisisme iaitu sebuah kefahaman bahawa semua ilmu dihasilkan dari pengalaman deria.
  3. Ahli-ahli falsafah Barat telah meramalkan kedatangan krisis sekularisasi, iaitu fasa pemisahan agama dari kehidupan manuisa. Proses pemencilan agama dari kehidupan ini berlaku secara berterusan sehinggga menganggap bahawa Tuhan telah mati, seperti mana yang dinyatakan Friedrich Nietzsche.
  4. Tokoh Barat seperti Pierre Tielhard de Chardin dari Perancis, Dietrich Bonhoeffer dari Jerman dan Paul Tillich dari Amerika mulai mengakui ketidakmampuan untuk menolak krisis keyakinan dan keagamaan yang timbul akibat dari sekularisasi.
  5. Akibat pengaruh sekularisasi, tokoh-tokoh ini menyarankan supaya penganut agama Kristian bergabung serta berpartisipasi dalam proses sekularisasi, padahal pada asalnya ia dianggap sebagai suatu proses yang merosakkan masyarakat Kristian.
  6. Laungan Nietzsche bahawa “Tuhan telah mati” juga terngiang di dunia Barat. Sehingga wujud juga laungan “Kristian telah mati”. Ahli teologi Kristian, terutamanya dari mazhab Protestan seolah pasrah dengan “kematian Kristian” tersebut dan bersiap sedia untuk mengubah agama Kristian itu sendiri. Agama Kristian yang baru bangkit ini adalah agama Kristian yang sudah mengalami sekularisasi. Iaitu mula memisahkan peranan Tuhan atau agama dari kehidupan.
  7. Ahli-ahli teologi dan para pemikir Kristian ini menggabungkan diri mereka dengan pemikiran neo-modernisme, iaitu gerakan yang mengubah tradisi-tradisi keagamaan yang dianggap lapuk kepada nilai-nilai yang dianggap moden.
  8. Bahkan mereka menegaskan bahawa sekularisasi mempunyai asal usul, bahkan nas dan dalil dari ajaran Injil Gospel.
  9. Oleh itu, daripada menentang proses sekularisasi, agama Kristian perlu menerima dan menyesuaikan diri dengan proses sekularisasi. Ahli-ahli teologi dan pemikir Eropah dan Amerika sama ada Protestan mahupun Katolik, menyeru kepada perubahan radikal dan penafsiran semula Injil. Ini bagi menyempurnakan hakikat dan peranan baru Gereja.
  10. Para penganut Kristian yang awalnya menentang sekularisasi, tanpa sedar juga telah berasimilasi dengan proses tersebut. Ini apa yang disebut oleh Jacques Maritain sebagai kemurtadan yang terpendam (immanent apostasy) di dalam masyarakat Kristian.
  11. Para penganut Kristian yang cuba beriman dengan nilai asal Kristian, secara terpaksa dan rela mendokong versi Kristian yang telah tersekularkan.
  12. Para penganut Krisitan akhirnya terjebak dengan fahaman bahawa agama Kristian itu sentiasa berubah (ever-shifting) dan sentiasa bersifat relatif. Setiap versi Kristian yang baru, akan membuka jalan bagi versi berikutnya untuk memenuhi tuntutan perubahan sosial dari masa ke semasa.
  13. Proses sekularisasi dianggap sebahagian dari proses evolusi dalam sejarah manusa. Setiap yang kecil akan tumbuh membesar, setiap yang keanak-anakan akan menjadi dewasa. Begitulah juga agama Kristian dianggap bahawa ada nilai lama yang perlu dibuang dan diganti dengan nilai baru, sesuai dengan perkembangan masyarakat dan dunia.
  14. E.L Mascall dalam The Secularization of Christianity, berkali-kali mengatakan dalam bukunya bahawa bukannya dunia yang diubah menjadi Kristian, tetapi Kristianlah yang diubah oleh dunia.
  15. Agamawan Kristian yang gelisah dengan proses sekularisasi, seperti Paus John XXIII menyeru supaya satu pembaharuan supaya krisis agama Kristian ini perlu dibendung dengan gerakan menyatukan gereja. Bahkan memulakan dialog dengan dunia Islam dan lainya untuk menangani proses sekularisasi.
  16. Salahguna kuasa oleh Gereja dan penolakan Gereja terhadap pembangunan intelektual menyebabkan penganut Kristian ingin mengadakan reformasi dalam agama mereka. Selain itu, hellenisasi (hellenization) yang berakar umbi di dalam agama Kristian menjadi faktor kejumudan agama mereka, menyebabkan terdapat seruan untuk mengubah konteks agama mereka.
  17. Mazhab Protestan yang dimulakan abad ke-19 oleh ahli teologi Jerman, Adolf Von Harnack mendesak supaya dehellenisasi (de-hellinization) agama Kristian perlu diadakan. Ini kerana sejak awal agama Kristian terpengaruh dengan falsafah dan budaya helenistik dari Yunani, serta menganut epistemologi dari ahli falsafah Yunani seperti Parmenidean dan Aristotle. Ini menimbulkan masalah dalam memahami asas-asas kepercayaan dalam agama Kristian.
  18. Antara masalah hellenisasi yang timbul dalam agama Kristian Katolik adalah, pemahaman Tuhan sebagai sosok suprarasional (menjangkau kemampuan rasional manusia) serta doktrin Trinity yang sukar dijelaskan (Tuhan Bapa, Tuhan Anak, Roh Suci). Juga konsep ketuhanan yang carca merba contohnya theos dari Yunani, Yahweh dari Yahudi, deus dari metafizik Barat, dan juga dewa-dewa dalam tradisi pagan Jerman.
  19. Golongan Katolik menerima desakan untuk melakukan dehellenisasi dalam agama Kristian. Ia dianggap sebagai proses penting untuk menongkah sekularisasi. Dan juga penting untuk menangkis serangan Protestan ke atas Katolik.
  20. Ahli falsafah Katolik seperti Maritain, Etienne Gilson dan Joseph Merchal menerokai teori metafizik yang dikemukakan oleh Thomas Aquinas. Metafizik yang diperkenal Angelic Doctor, iaitu gelaran buat Aquinas berasaskan dua prinsip, iaitu intipati (essence) dan kewujudan (existence).
  21. Secara kesimpulan, semakin timbul kesedaran bahawa hellenisasi bertanggungjawab terhambatnya perkembangan ajaran Kristian. Lalu berlaku usaha untuk membuang mitos-mitos yang ada kitab agama Kristian seperti yang dibuat Edmund Husserl, Martin Heideggar dan Kelompok Wina (Vienna Circle).
  22. Dalam usaha dehellenisasi dan ingin membahaskan tentang eksistensi Tuhan melalui kaca mata falsafah, ia menjadi semakin rumit terutamanya apabila Tuhan ingin dijadikan subjek yang boleh difahami dengan deria dan pancaindera manusia.
  23. Para penganut Kristian pada umumnya tidak menyangkal bahawa masalah mereka yang paling serius adalah permasalahan tentang Tuhan.
  24. Santo Agustinus dari Hippo seorang ahli teologi Kristian menyebut, untuk memecahkan misteri dan keraguan tentang konsep Trinity, beliau mengemukakan analogi psikologi bahawa konsep Trinity tidak dapat difahami sepenuhnya kerana keterbatasan akal manusia.
  25. Maka selagi mana di dalam agama Kristian bahawa Tuhan difahami sebagai salah satu elemen dari konsep Trinity, ia akan sentiasa terbuka untuk perubahan dunia menurut sudut pandang secara relative.
  26. Relativisme ini membolehkan seorang penganut Kristian memilih konsep Tuhan yang mana paling disukai, sama ada skriptural (mengikut kitab Injil), atau patristik (hellenik), atau zaman pertengahan (skolastik), atau modern (eksistensial).
  27. Yang mana penafsiran yang terbuka bagi agama Kristian ini juga menjadi bukti bahawa ia telah pun dibawa arus proses sekularisasi.

Bagi seorang Muslim, sangat penting untuk kita pelajari daripada pengalaman agama Kristian dalam menongkah arus sekularisasi. Islam tidaklah sama dengan agama Kristian walaupun sekularisasi juga berlaku dalam dunia Muslim. Sarjana dan cendekiawan Muslim yang terlalu dipengaruhi Barat dan terpesona dengan kemajuan Barat turut cuba meniru cara berfikir dan menilai yang dilakukan Barat atas alasan ingin mengadakan reformasi agama.

Mereka yang terpengaruh dengan fahaman kononnya sekularisasi juga boleh menambahbaik kedudukan agama Islam serta keadaan ummat Islam. Ini mempamerkan kelemahan mereka dalam memahami secara menyeluruh pandangan alam (worldview) Islam dan bezanya dengan Barat.

Oleh itu, sangat penting bagi umat Islam untuk memahami proses sekularisasi serta implikasinya, kemudian berusaha untuk tidak terjebak dan mengulang kesalahan yang sama oleh masyarakat Kristian. Saya akan sambung catatan dari buku Prof. Dr. Syed Naquib Al Attas dalam artikel seterusnya, berkenaan “Sekular-Sekularisasi-Sekularisme”.

Norhidayah Ismail
Aktivis Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *