Sejauh mana kualiti ibadah Ramadhan kita?

Qiam Perdana
SKUDAI, 15 Julai – Ibadah puasa di bulan Ramadhan memerlukan persiapan yang rapi. Sesiapa yang bersiap sedia lebih awal akan mendapat lebih kekuatan untuk beramal di bulan Ramadhan kerana sudah terbiasa dengan pelatihan sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan para sahabat semasa bulan Ramadhan tahun kedua Hijrah.

Allah SWT menurunkan empat ayat perintah ketika bulan Syaaban tahun kedua Hijrah (sebulan sebelum pensyariatan puasa), iaitu suruhan untuk berpuasa selama sebulan, menukar kiblat ke Baitullah, menunaikan zakat dan berjihad sebagai persediaan menghadapi perang Badar pada tahun yang sama.

Demikian ujar AJK Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor, En. Omar Abdul Aziz dalam satu sesi tazkirah semasa program Qiyamullail Perdana anjuran ISMA Johor di Masjid Taman Sri Pulai Perdana baru-baru ini.

Katanya lagi, setelah memasuki fasa kedua bulan Ramadhan, umat Islam seharusnya mula melakukan muhasabah terhadap kualiti Ramadhan masing-masing pada tahun ini.

“Selain berpuasa, amalan berqiyamullail juga sinonim pada bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun untuk solat pada waktu malam adalah lebih tepat dalam meminta pada Allah SWT,” jelas beliau.

Hal ini bertepatan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh  Jabir r.a.:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang Muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada Allah suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberikannya (mengabulkannya); dan itu adalah setiap malam.”

[HR. Muslim dan Ahmad]

Walaubagaimanapun, ramai umat Islam yang tidak teruja untuk bangun solat terutamanya pada waktu malam kerana tidak merasai nikmat bertemu Allah SWT disebabkan hati yang tidak khusyuk dan lalai ketika solat.

En. Omar turut berkongsi tips bagaimana untuk mudah bangun solat pada waktu malam antaranya; tidak makan terlalu banyak, tidak terlalu lelah dengan kerja pada siang hari, mengamalkan khailullah sebelum Zuhur, tidak melakukan maksiat dan tidak mempunyai perasaan tidak baik terhadap orang lain.

Di akhirnya, beliau turut mengingatkan para hadirin bahawa tanda amal seseorang diterima Allah SWT adalah sekiranya amal ibadahnya itu disusuli dengan ibadah-ibadah yang lain, manakala tanda amal sesorang itu tidak diterima Allah SWT adalah apabila amalnya disusuli dengan satu kejahatan yang lain.

Mohamad Rahimi Rosli
Wartawan ISMAweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *