Selamat Menyambut Hari Malaysia – Presiden Isma

Sempena Hari Malaysia yang amat bersejarah ini, marilah kita bersama-sama memperkukuhkan perpaduan nasional yang telah terjalin antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak selama hampir 53 tahun ini. Mempertahankan kesatuan bumi Malaysia ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua warganegara.

ISMA dengan tegas menolak suara yang menggalakkan perpecahan serta kumpulan ekstremis kenegerian yang melontarkan suara-suara songsang yang menggugat kesatuan negara.

Pada masa yang sama, ISMA berpendirian untuk bersetuju dan mengiktiraf hak yang adil kepada semua negeri di bawah Persekutuan Malaysia, termasuklah dalam aspek pemberian royalti dan pembangunan fizikal.

ISMA melihat gerakan yang dibawa oleh kelompok-kelompok yang radikal hanya akan merugikan negara dan yang lebih dahsyat hanya akan memberi keuntungan kepada agenda-agenda asing. ISMA dengan tegas menolak gerakan radikal agama yang diperalatkan untuk kepentingan politik dan menambah jurang perpecahan.

Kita tidak perlu kepada kempen-kempen agresif kearah merungkai ikatan dan mempersoal semula perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui sejak dahulu lagi. Sesungguhnya, seruan perpecahan ini bercanggah dengan prinsip Islam kerana boleh melemahkan kekuatan persekutuan nasional dan mendedahkan negara kepada ancaman luar.

Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *