Semakin besar ujian, semakin besar ganjaran pahala

Tuan Hj Bariman Yasimin

Pengerusi Biro Dakwah dan Sosial ISMA Johor, Tuan Hj Bariman Yasimin

KOTA TINGGI, 21 Mac – Semakin besar ujian yang dihadapi seseorang, semakin besar ganjaran pahala yang akan diterimanya.

Demikian ujar Pengerusi Biro Dakwah dan Sosial Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan  Johor, Tuan Haji Bariman Yasimin, semasa majlis meraikan pasangan pengantin Cikgu Choy Yi San dan pasangannya baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Surau al-Muttaqeen, Kota Tinggi dengan kerjasama ISMA Johor dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) cawangan Johor, bertempat di dewan surau tersebut.

Tuan Haji Bariman yang juga merupakan setiausaha Surau al-Muttaqeen mewakili ISMA Johor menyatakan kesediaan pihak ISMA untuk memberikan bimbingan kepada Cikgu Choy Yishan selain bantuan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi.

Cikgu Hakim dan Cikgu Choy Yishan

Cikgu Hakim dan Cikgu Choy Yishan

Cikgu Choy yang sebelum ini terpaksa menukar sekolah akibat ancaman yang dikenakan terhadapnya oleh beberapa pihak tertentu kerana memakai tudung di salah sebuah sekolah di daerah ini kini telah selamat diijabkabulkan bersama pasangannya, Cikgu Abdul Hakim pada 1 Mac 2014 yang lalu.

Cikgu Hakim mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan rasa syukur atas bantuan yang diusahakan oleh semua pihak yang menjayakan majlis keraian tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan berharap agar usaha-usaha (untuk membantu) ini diteruskan kepada saudara-saudara baru yang lain,” kata Cikgu Hakim.

Yang Dipertua ISMA Johor, Tuan Hj Mohd Tahir Hamdan yang turut hadir mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan mendoakan pasangan pengantin tersebut.

“Saya mendoakan agar Allah mengurniakan pasangan Cikgu Choy dan Cikgu Hakim ‘mawaddah dan rahmah’ (kasih sayang dan rahmat).

“Saya juga mendoakan masjid untuk terus mendidik masyarakat kerana masjid merupakan pusat pembangunan umat. Jikalau masjid aktif, ia akan menjadi tumpuan masyarakat untuk turut hadir sehingga kemuncaknya solat subuh sama seperti solat Jumaat,” ucap beliau.

Majlis ini turut dihadiri oleh keluarga terdekat pasangan dan penduduk Taman Kota Jaya.

Dalam majlis yang diadakan secara sederhana itu, Pengerusi Surau al-Muttaqeen, Tuan Hj Mohd Don Sepawi mengingatkan para suami terutamanya yang baru mendirikan rumahtangga agar memastikan kefahaman Islam terus diberi kepada isteri.

Siti Soraya Lin Abdullah Kamal
Wartawan ISMA Johor

1 comment

Leave Comment

Leave a Reply to tasmirah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *