SEMARAK 2017: Pencetus Perjuangan Mahasiswa Australia

 

MELBOURNE, 24 Zulhijjah – Isma Australia cawangan Victoria telah berjaya mengadakan satu sambutan Hari Malaysia bersama mahasiswa di MultiCultural Hub, Melbourne. Sambutan Hari Malaysia yang dinamakan SEMARAK ini mengetengahkan suatu isu yang sangat penting dalam perjuangan hidup seorang anak Malaysia iaitu, adakah perjuangan kita di Malaysia adalah perjuangan yang mencapai kemenangan atau adakah kita sudah kecundang di pertengahan jalan?

“Hakikatnya setiap seorang daripada kita ini adalah pejuang. Setiap harinya kita berjuang menentang hawa nafsu kita dalam berbuat sesuatu kebaikan,” jelas saudara Amiruddin Aziz selaku salah seorang panelis bagi forum Bicara Intelek: Kemenangan atau Kecundang.

Saudari Nazeera Jahan selaku panelis kedua, turut menambah bahawa, perjuangan kita sebagai seorang Muslim tidak seharusnya hanya mengejar material seperti pembebasan daripada cukai atau mempunyai ekonomi yang lebih stabil, tetapi hakikat sebuat perjuangan itu seharusnya adalah semata-mata kerana Allah taala. Jelasnya lagi, inilah yang diperjuangkan oleh Dol Said, Dato’ Maharajalela, Rosli Dhobi dan pejuang-pejuang kebebasan tanah Malaya sebelum ini.

Perbincangan dihangatkan lagi apabila para panelis menghubung kaitkan isu-isu semasa dengan topik perjuangan ini. Perjuangan di Malaysia, jelas mereka lagi, masih belum tamat. Hal ini merujuk kepada pertembungan hak dan batil yang selamanya akan bertembung hingga akhir zaman. Sungguhpun perjuangan ini lama dan panjang, kita sebagai umat Islam jangan pernah berputus asa kerana kita perlu sentiasa meyakini bahawa janji Allah atas kemenangan umat Islam itu pasti.

Selain daripada forum, SEMARAK 2017 turut diserikan dengan pertandingan teka silang kata dan Larian Merdeka yang dibuat bagi menyemarakkan semangat perjuangan negara mahasiswa mahasiswi di Victoria. Hadiah penyertaan diberikan kepada pemenang semasa program SEMARAK 2017 dijalankan di MultiCultural Hub, Melbourne.

Moga setiap usaha-usaha kecil ini menjadi saham buat ahli jawantakuasa SEMARAK 2017 yang menyumbang kepada kemenangan besar yang dijanjikan Allah kelak.

Nik Faris Haikal
Ahli Biro Komunikasi dan Multimedia Isma Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *