Semarakkan Jiwa Merdeka – Isma Australia

Detik 31 Ogos 1957, enam puluh tahun sudah berlalu. Akan tetapi, sejauh mana keutuhan dan keteguhan kemerdekaan ini telah kita perjuangkan? Adakah ia sekadar sorakan tahunan dengan jiwa yang kosong? Atau ia laungan yang menghidupkan jiwa untuk kita mara kehadapan?

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengisi kemerdekaan ini dan memastikan kemerdekaan ini berkekalan. Justeru, saya kira terdapat beberapa persoalan yang harus kita rungkaikan dengan baik agar keutuhan dan keteguhan kemerdekaan ini sampai ke anak cucu kita.

Persoalan pertama: Nenek moyang kita adalah bangsa pejuang.

Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini bukanlah percuma! Ia sebenar telah dibayar dengan jerih payah dan darah generasi kita terdahulu. Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman dan Tok Janggut, inilah antara nama yang membanting tulang memperjuangkan negara. Hidup dalam kedaifan dan kelaparan, diancam bunuh dan terbunuh, diherdik dan dimalukan, inilah bayaran yang telah mereka lunaskan untuk memberi kita kemerdekaan.

Oleh itu, api perjuangan ini hendaklah terus dinyalakan dalam setiap diri kita dan generasi seterusnya. Jadikan nama-nama pejuang ini nama kebanggaan yang patut dijadikan idola. Kita perlu yakin, kitalah singa yang gagah mempertahankan kemerdekaan ini, bukanlah kijang yang manja.

Persoalan kedua: Memerdekakan jiwa.

“KEMERDEKAAN suatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa.”

Alangkah hinanya sesuatu bangsa jika pada zahir mereka merdeka, tetapi jiwa masih menjadi hamba. Hamba kepada material, hamba sesama manusia dan hamba kepada ideologi songsang yang jauh daripada norma manusia. Sehingga keputusan yang dibuat jauh dari kewarasan kerana dikongkong kuasa tarikan tersebut.

Untuk mengekalkan kemerdekaan ini, justeru kita perlu memerdekakan jiwa kita sendiri dan anak bangsa. Hanya mereka yang berjiwa merdeka mampu berfikir dan bertindak dengan segala kewarasan, untuk menentukan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang adil dan mana yang tidak adil berdasarkan neraca yang jelas.

Pemilik ‘jiwa merdeka’ inilah yang mulia dan layak memimpin negara kerana mampu menegakkan keadilan dan kebenaran seterusnya mengekalkan kemerdekaan negara.

Persoalan ketiga: Pelapis negara.

Perlu diakui, wajah negara Malaysia akan datang adalah sepertimana bentuk generasi pemuda sekarang. Janganlah keghairahan kita menikmati kemerdekaan ini menyebabkan kita lupa menyediakan tenaga pejuang yang akan mempertahankan kemerdekaan ini untuk zaman seterusnya.

Pemuda perlu dibentuk dengan agenda yang jelas dan dipupuk dengan rasa sayangnya negara. Keluarkan mereka daripada keseronakkan yang memperdaya dengan memahamkan tanggungjawab yang perlu mereka galas.

Keluarkan mereka dari kerangka pemikiran yang hanya berfikir sekitar periuk nasi sendiri kepada pemikiran yang lebih besar yang menentukan hala tuju negara. Hakikatnya, ini adalah tanggungjawab kita semua dan ia bermula dengan anak-anak kita.

Persoalan keempat: Teguh berdiri pada neraca yang sama.

Dengan berpegang pada neraca yang sama, kita mampu bersatu padu dan senada bersuara. Neraca yang dimaksudkan disini tidak lain tidak bukan adalah Al-Quran dan Sunnah yang seharusnya menjadi rujukan utama negara Islam, Malaysia.

Neraca inilah yang mampu menjadikan kita satu tubuh yang kuat. Walau berbeza latarbelakang, tapi pemahaman kita akan tetap sama. Kita akan mampu membina negara dengan gambaran yang jelas dan sama. Kita juga akan mampu bersama menelanjangkan dan membenamkan musuh yang mengancam kedaulatan negara.

Demi negara tercinta, ayuhlah kita bersama terus membinanya. Biarkan kenikmatan ini berkekalan hingga zaman berzaman. Meskipun tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh pengisytiharan merdeka, namun yakinlah saudaraku, perjuangan baru sahaja bermula!

Anuar Azemi
Pengerusi Isma Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *