Seminar akil baligh dan fasa keremajaan

 

Dewasa kini, kepincangan masalah sosial dalam kalangan remaja menjadi satu beban dan tekanan bagi semua pihak. Hatta, dari pihak ibu bapa, para pendidik secara khususnya dan masyarakat secara amnya. Peningkatan  kelahiran anak luar nikah satu fenomena yang membimbangkan, antaranya penularan jangkitan kuman melalui hubungan seksual yang tidak selamat.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270. Berdasarkan Statistik Remaja Hamil Jabatan Kesihatan Negeri 2012 hingga 2015, tiga negeri dengan statistik tertinggi remaja berumur 10 hingga 19 tahun hamil adalah Sarawak (5,246 orang), Johor (2,427 orang) dan diikuti Selangor (1,603 orang)

Rentetan itu,  pada 11 oktober 2017 satu seminar akil baligh dan fasa keremajaan telah dianjurkan dengan kerjasama Unit Panitia Agama Islam  SMK Rantau Panjang 1 dan i- Medik Kelantan sebagai salah satu usaha kecil dalam menengahkan isu-isu yang berkaitan kesihatan remaja.

Seminar ini telah dihadiri hampir 135 orang pelajar lingkungan 10 hingga 12 tahun pelajar perempuan dari sekolah berkenaan. Seminar ini disampaikan oleh Dr Arifatun Aqilah Abd Aziz, pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kok Lanas. Pendedahan yang diberikan berasaskan perubahan fasa-fasa keremajaan, jangkitan-jangkitan kuman melalui hubungan seks rambang dan tidak selamat, perlakuan bebas serta asas kebersihan umum bagi remaja perempuan.

Keseluruhannya, para pelajar memberi sambutan yang menggalakkan dalam sesi soal jawab dan perkongsian santai buat panduan bagi adik-adik remaja perempuan.

Secara umumnya objektif dari seminar ini tercapai dengan pendedahan awal dan maklumat yang berkaitan bagi para pelajar. Seminar seperti ini wajar untuk  dilaksanakan lagi buat para pelajar, sebagai salah satu usaha untuk memberi pendedahan dan mengelakkan kerosakan yang lebih parah pada anak bangsa.

 

Dr Arifatun Aqilah bt Abd Aziz

i-Medik Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *