“Semuanya kerana arwah ibu” – Asyraf Farique

Asyraf (berbaju Melayu hijau) bersama ibunya

Bertemu empat mata dengan pemilik nama Mohamad asyraf bin Mohamad Farique, 26 memang tidak lekang dengan butir bicara yang pelbagai. Sembanglah apa sahaja isu atau isi perbualan pasti ada sahaja idea dan maklumat-maklumat yang keluar dari mulutnya yang petah. Bermula dari isu nasional sehinggalah ke antarabangsa bagaikan sudah tersemat rapi dalam kotak fikirannya.

Memang wajarlah pemuda yang minat membaca ini boleh berbicara pelbagai isu dek kerana bertugas sebagai pengkaji di sebuah institut kajian (IRIS). Pada masa yang sama seorang penulis dan Ketua Operasi Kopi press (syarikat penerbitan buku). Malahan pemuda yang berkaca mata ini sering dijemput untuk berceramah isu semasa di universiti-universiti tempatan mahupun luar negara.

Katanya, segala yang dicapai pada harini bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi kerjayanya memerlukan komitment yang tinggi untuk membaca, menulis dan menganalisis sesuatu keadaan.

“Contohnya sifat suka membaca itu bukannya saya perolehi dengan mudah kerana ianya bermula dengan pupukan dari kecil. Dan orang yang bertanggungjawab mendidik sifat suka membaca itu adalah arwah ibu saya. Ini semua kerana arwah ibu,” ujarnya yang telah kehilangan ibu tercinta sejak 15 tahun lalu.

Lama perbualan kami terhenti apabila diajak berbicara tentang kenangannya bersama arwah ibu tercinta. Sambil menahan sebak di dada, dia menghela nafas panjang sambil menyambung kembali memori silam bersama wanita yang pernah melahirkannya.

“Masa saya umur 9 tahun, ibu selalu belikan bahan bacaan macam majalah anis, buku kawan, surat khabar dan macam-macam lagi. Setiap bulan ayah akan beri ibu RM 50 untuk beli bahan bacaan di pekan Muar, sebab di kampung tidak ada jual banyak bahan bacaan,” katanya yang berkhidmat dalam Biro Luar Negara Isma (Ikatan Muslimin Malaysia).

Menurutnya di kampung memang sukar untuk mendapatkan bahan bacaan dan disebabkan itu ramai kawan kampung yang banyak membuang masa kerana tidak disediakan aktiviti yang bermanfaat.

Tapi mujur ibunya mengambil inisiatif membelikan bahan-bahan bacaan bagi mengelakkan dirinya bosan.

“Dalam pada itu ibu tidak pernah melarang untuk berkawan, bahkan akan mewajibkan membaca buku sebelum keluar bermain,” ujarnya yang semenjak itu menjadikan membaca sebagai satu hobi.

Bahkan baginya, buku lebih menarik minatnya berbanding dengan televisyen. Katanya bukan tidak ada televisyen waktu itu tetapi dunia buku lebih menyeronokkannya. Sehingga dia ‘mencipta’ sendiri dunia imaginasi buku dengan membina sebuah perpustakaan sendiri di atas pokok jambu. Masanya lebih seronok berada di atas pokok jambu sambil membaca buku.

“Buku berjaya membuatkan saya mencipta dunia saya sendiri,” katanya yang juga bergiat aktif dalam NGO Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tapi dunia indah yang dicipta sendiri itu terasa begitu kelam apabila ibu tersayang pergi mengadahp ilahi disaat dia masih memerlukan bimbingan seorang wanita.

Apalah yang mampu difahami oleh seorang budak lelaki yang baru mahu menginjak ke usia 10 tahun. Terkejut, sedih dan bercampur baur perasaan ketika itu. Ya dia harus menerima takdir yang ditulis untuknya dengan meneruskan kehidupan seperti biasa bersama ayah dan dua orang adik lelakinya.

Hilang pedoman

Sungguhpun ibu telah pergi tapi dunia buku yang ditinggalkan ibu tidak dilupakannya. Minat membaca masih diteruskan tapi tanpa panduan.

“Walaupun ibu dah tiada tapi minat membaca masih ada cumanya bahan bacaan tu dah cacamarba. Sebab dah tak ada orang yang akan belikan bahan bacaan yang ilmiah. Kalau saya beli pun banyak beli komik dan bahan bacaan lain-lain.

“Tapi saya perasan, semenjak ibu meninggal ada satu tabiat baru iaitu suka duduk dalam perpustakaan sekolah sehingga pernah ‘kantoi’ dengan cikgu sebab ponteng kelas,” katanya mengemari ‘bau’ buku.

Tabiat suka duduk dalam perpustakaan sekolah membuatkan bahan bacaan selepas itu lebih terarah dan ilmiah.

Penulisan dakwah

Walaupun membesar tanpa kasih sayang ibu kandung, dia tetap ‘score’ apabila berpeluang masuk ke sekolah berasrama penuh dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Monash Cawangan Malaysia.

Ujarnya yang meminati sukan berbasikal, semasa zaman universitilah segala-galanya bermula. Selepas minat membaca, minat menulis mula timbul apabila melihat seorang abang senior serumah yang rajin menulis di blog.

Atas desakan ingin mencuba, dia pun mula menulis di blog. Penulisan yang ketika itu lebih bersifat ingin menyampaikan mesej dakwah disebabkan ketika itu dia baru sahaja berjinak-jinak dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah.

Kemuncak kepada penglibatan dalam penulisan dakwah ini apabila dia berjaya menerbitkan sendiri buku pertama yang bertajuk Usrah Itu Poyo bersama dua orang rakannya.

Setelah mendapat momentum dalam penulisan dakwah, dia tidak lagi toleh ke belakang, namun meneruskan kegiatan penulisan dakwah samada di media sosial mahupun buku sehingga tertubuhnya Kopi Press.

Malahan semangat mahu menulis dan mengalakkan orang lain menulis disebabkan fenomena penulisan sekarang yang menjurus kepada penulisan berbentuk liberal, syiah, dan pemikiran songsang.

“Kalau kita tengok bahan bacaan sekarang yang beraliran bebas (indie) banyak yang caca marba, dan yang lebih malang itulah bahan yang dibaca oleh remaja dan belia sekarang.

“Oleh itu, saya fikir perlunya memberi bahan bacaan yang seperti itu (indie) tapi yang lebih bermanfaat isinya. Seperti buku-buku yang dikeluarkan oleh Kopi press,” ujarnya yang telah menulis lebih 10 buah buku.

Besar harapan anak muda kelahiran Muar ini untuk mengalihkan remaja dan belia kepada bahan bacaan yang lebih ilmiah, supaya minda dan hidup mereka lebih terpandu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *