Seorang Anak Luar Nikah dilahirkan Setiap 17 minit

BAHAU, 15 November – “Isu zina adalah isu yang membarah dalam kalangan umat Islam di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Statistik menunjukkan bahawa setiap 17 minit, seorang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia”, ujar Dr Muhammad Anas bin Mohamad Ghazali semasa forum ‘Say No To Zina’ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor, Bahau. Beliau yang merupakan pegawai Perubatan di klinik kesihatan kerajaan juga menegaskan bahawa isu zina di peringkat remaja bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng dan ia perlu dibendung dari awal. Perkongsian pengalaman beliau berjumpa dengan kes salah laku zina semasa bekerja membuka mata para pelajar yang hadir.

Forum yang diadakan pada 15 November  itu juga menampilkan seorang lagi ahli panel iaitu Ustazah Madihah yang merupakan lepasan syariah Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Forum yang dipengerusikan oleh Cikgu Muhammad Afnan, Pengarah Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kuala pilah berjaya menarik perhatian seramai hampir 200 pelajar sekolah tersebut yang terdiri dari tingkatan satu hingga tingkatan empat. Forum ini merupakan usahasama antara KRIM Kuala Pilah dan Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melalui jemputan Bahagian Panitia Pendidikan Islam SMK Datuk Mansur .

Ustazah Madihah yang merupakan ahli panel kedua menegaskan bahawa masalah penyalahgunaan media sosial seperti ‘facebook’, ‘weechat’ dan sebagainya merupakan antara faktor penting menyumbang kepada kes salah laku zina. Beliau mengingatkan para pelajar perempuan agar menghiasi diri mereka dengan sifat ‘Haya’’ ataupun malu agar gambar-gambar mereka tidak ditayang sewenang-wenangnya di laman sosial.

Guru besar SMK Datuk Mansor, Cikgu Haji Ab Rahop bin Zakaria mengucapkan jutaan terima kasih atas forum yang diadakan dan beliau teruja melihat para pemuda di usia begini mampu turun ke sekolah-sekolah demi berkongsi ilmu dan membantu untuk membuka hati para pelajar untuk berubah.

KRIM dan I-Medik komited untuk menangani masalah yang melanda para pelajar sekolah dan Cikgu Afnan sendiri berharap agar usahasama yang dijalankan ini berterusan. Majlis yang berlansung selama 2 jam itu ditutup dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati kepada kedua belah pihak.

Oleh: Anas Ghazali

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *