SFP 2015: Kembalikan amalan perubatan Islam mengikut Sunnah

photo_2015-05-18_17-14-49

Oleh Shuhaimi Shaedon

KUANTAN, 18 Mei -Menurut Presiden Ikatan pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof. Azmi Md Nor Simposium Fiqh Perubatan (SFP 2015) kali ini akan menggali kembali amalan perubatan Islam yang telah dilakukan oleh Rasulullah terutama berkaitan ruqyah dan gangguan makhluk halus.

“Hal ini kerana rawatan terhadap pesakit pada masa kini sangat memerlukan kepada gandingan diantara perubatan kontemporari dan juga komplementari.

“Walau apa pun tidak dilupa juga, Allah-lah yang akan menyembuhkan segalanya hasil usaha yang kita lakukan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian SFP 2015 anjuran I-Medik kali ke-3 di Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disini baru-baru ini.

Ujarnya lagi SFP pada kali ini juga akan memfokuskan mengenai isu-isu seperti etika para pengamal perubatan dan juga perubatan mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Selain itu juga, beberapa isu menarik yang dibincangkan antaranya Konsep Rawatan dengan Rukyah, Konsep Sihir dan Gangguan Makhluk Halus, Sunnah Rasulullah dalam Menjaga Kesihatan, Penciptaan Lelaki dan Wanita – Anatomi dan Fisiologi, Transgender – Adakah ia Masalah Psikiatrik, Perkongsian – Berinteraksi dengan Transgender, Rawatan menggunakan Bahan Haram dan juga Forum berkenaan Rawatan Komplementari dan Rawatan Alternatif; Dimana Pendirian Kita?

Barisan panelis juga merupakan pakar-pakar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti Ustaz Sharipudin Abd Kadir; Pengerusi Majlis Syura ISMA dan Pengamal Perubatan Darul Furqan, Ustaz Zulkifli Embong; Mudir Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar; Timbalan Dekan Akademik dan Pensyarah Fisiologi USIM, Prof Madya Dr Ramli Musa; Pakar Perunding Psikiatri UIAM, Prof Madya Dr Shamsul Deraman; Pakar Perunding Perubatan Keluarga UIAM, Prof Dr Azizi Ayob, Pakar Perunding Farmakologi Klinikal UIAM, dan Encik Zainul Azmi Ahmad; Presiden Persatuan Homeopati Malaysia serta Pengamal Homeopati di Kedah.

Salah seorang peserta, Saudari Afifah, pelajar Tahun Akhir Dietetik  ketika ditemui, berkata, tajuk transgender ini adalah satu isu yang menarik.

“Usaha I-Medik untuk memberi kefahaman terhadap isu ini dari segi saintifik, psikiatrik dan perspektif islam sangat bagus serta saya mencadangkan program seperti ini perlu dilanjutkan kepada dua hari agar setiap tajuk dapat dikupas dengan lebih terperinci,” ujarnya ketika ditemui wartawan.

Selain itu, seorang Jururawat ICU HTAA, Hayati Ismail, 26 berkata simposium ini menyentuh isu-isu yang sangat relevan dalam dunia perubatan pada hari ini, terutama berkaitan pertembungan antara rawatan alternatif serta rawatan moden dan mencadangkan supaya program seperti ini perlu diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

Simposium bertemakan ‘Tibbun Nabawi’ yang telah dihadiri hampir 200 peserta ini telah membawa para peserta untuk mengenali peranan ruqyah atau ayat-ayat Al-Quran dalam mengubati penyakit gangguan makhluk halus, tips penjagaan kesihatan mengikut Sunnah Rasulullah saw, membincangkan isu transgender dan juga melihat pada keserasian antara rawatan perubatan moden dan komplementari.

photo_2015-05-18_17-15-15