Solat Subuh berjemaah rahsia pencapaian luar biasa – Dr Zain

Profesor Madya Dr Zainur Rashid
JOHOR BAHRU, 19 Mac – Dekan Fakulti Klinikal Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin mendedahkan rahsia kejayaan dan pencapaian luar biasa yang dimilikinya iaitu solat Subuh secara berjemaah di masjid secara konsisten (istiqomah).

Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Luar Negara (BLN) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), solat Subuh secara berjemaah mampu membentuk kekuatan luar biasa bagi individu muslim, seterusnya membentuk keperibadian diri menjadi insan yang cemerlang dan hebat.

“Saya merupakan anak seorang peneroka Felda yang dididik dengan didikan agama yang sempurna. Sejak berumur 8 tahun lagi saya dididik oleh ayah saya untuk menunaikan solat Subuh di masjid.

“Ayah saya akan membawa saya solat Subuh di masjid walaupun saya dalam keadaan mengantuk,” ujar beliau ketika menyampaikan slot motivasi program Kem Lepasan Sekolah (KLS) anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Johor dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Johor.

Tambah Dr Zainur Rashid, didikan tegas ayahnya dalam pendidikan berteraskan Islam telah membentuk keperibadian diri beliau yang berkepimpinan tinggi, sangat menghargai masa serta komited dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Beliau turut menekankan bahawa individu yang cemerlang adalah mereka yang berjaya menggarap potensi diri secara seimbang dalam empat aspek iaitu akademik, sahsiah diri, kemahiran insaniah dan mempunyai wawasan hidup yang jelas.

Memetik potongan hadis Rasulullah SAW yang mengibaratkan umat Islam akhir zaman seperti buih-buih di lautan, beliau menyeru umat Islam khususnya golongan remaja agar melengkapkan diri dengan ilmu agama yang benar supaya mereka tidak tergolong dikalangan umat Islam yang lemah (mencintai dunia dan takut pada kematian).

“Kita semua perlu bercita-cita  menjadi individu yang hebat kerana sesebuah negara hanya akan dapat berubah ke arah yang lebih baik dengan kehadiran individu-individu hebat yang menjadi aset dan modal insan negara,” tegas beliau.

Dr Zainur Rashid yang dikenali sebagai Dr Zain juga merupakan Perunding Aman Palestin Berhad dan beliau turut berkongsi pengalamannya dalam mengendalikan isu kemanusiaan di dalam serta di luar negara. – KRIM

Siti Nurliyana Saifollah
Wartawan ISMA Johor

 

Sebahagian peserta Karnival Lepasan Sekolah (KLS)

Sebahagian peserta Karnival Lepasan Sekolah (KLS)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *