SOLUSI DADAH DIGITAL ADA PADA IBU BAPA

 

Oleh Nursyazana binti Jamaludin

BUKIT MUTIARA, 14 APRIL – Selaras misi membangunkan potensi keluarga dan masyarakat, Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Johor Bahru telah mengadakan Seminar Keluarga Mukim dengan topik Gajet & Psikologi Kanak-kanak yang membincangkan kesan pendedahan awal gajet terhadap perkembangan otak kanak-kanak.

 

Seminar yang dihadiri kira-kira 35 pasangan ibu bapa diadakan di Mount Safa International School, Kompleks Mutiara Johorland  ini disampaikan oleh Dr. Madihah Rushaidhi , Timbalan Dekan Fakulti Bioperubatan Newcastle Medicine University Malaysia (NuMed).

 

Di dalam perkongsiannya, Dr. Madihah Rushaidi menjelaskan penggunaan gajet tanpa kawalan dan pantauan berpotensi tinggi mengakibatkan ketagihan, seterusnya merencatkan fungsi bahagian penting otak kanak-kanak yang boleh dilihat dalam kadar segera atau dalam jangka masa panjang yang berterusan sehingga meningkat dewasa.

 

“Saintis mendapati antara perkara yang boleh merosakkan otak ialah dadah, alkohol, penyalahgunaan bahan kimia. Kajian terkini mendapati gajet juga berbahaya lalu dipanggil sebagai dadah digital kerana bertindak merangsang otak merembeskan hormon kepuasan iaitu dopamine seperti mekanisme sama yang didatangkan dadah tradisional”, ulas Dr Madihah yang juga bertugas sebagai pensyarah kanan Fakulti Neurosains & Anatomi, NuMed University Malaysia.

 

Selain pembentangan berkenaan fungsi otak dan kesan gajet kepada otak, Dr. Madihah juga berkesempatan untuk membuat soal selidik ringkas di kalangan peserta dan mendapati kebanyakan anak-anak menghabiskan masa yang lama di hadapan skrin dan mempunyai ciri-ciri ketagihan gajet yang membimbangkan para ibu bapa.

 

Sehubungan itu, Dr. Madihah telah mengajak para ibu bapa untuk memikirkan solusi dan juga memberi alternatif yang selamat digunakan bagi membendung ketagihan gajet atau dipanggil sebagai “Detoks Digital” dengan mengguna pakai kaedah cetusan pakar rehabilitasi iaitu Dr. Nicholas Kardaraz, pendekatan rohani kepada anak-anak dan juga konsep ibu bapa sebagai contoh teladan atau qudwah hasanah.

 

Ketika ditanya tentang elemen penting memerangi dadah digital, Dr Madihah menekankan kepentingan ‘walk the talk’ dan menasihatkan agar ibu-bapa bersikap tegas dan berdisiplin dalam isu ini kerana contoh tauladan lebih efektif daripada kata-kata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *