Sorotan Aktiviti ISMA Kuala Terengganu sepanjang Mac 2018

1. Usrah Wanita – Fiqh Sunnah Wanita

KUALA TERENGGANU, 9 mac – Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuala Terengganu telah menganjurkan Usrah Wanita di sini, dengan kerjasama Surau al-Muttaqin, Taman Tok Adis. Pengisian usrah telah disampaikan oleh Ustazah Fauziah Ibrahim yang juga merupakan Ketua Wanita Isma Kuala Terengganu. Tajuk yang telah dibincangkan adalah mengenai ‘Fiqh Sunnah Wanita’.

Kira-kira seramai sepuluh orang peserta yang terdiri daripada kaum wanita dari kawasan kejiranan Taman Tok Adis telah menyertai program usrah ini. Rata-rata peserta merasakan program seperti ini sangat bermanfaat bagi kaum wanita terutamanya untuk menambah ilmu agama serta mendalaminya. Para kaum wanita bukan sahaja dapat menambah ilmu, malah dapat menanyakan soalan secara terus kepada pengisi jika ada kemusykilan. Jika dibandingkan dengan program seperti ceramah, program usrah sebegini dapat melahirkan satu kelainan kerana hubungan antara pengisi dan peserta lebih rapat. Oleh itu, para peserta dapat menanyakan soalan tanpa segan dan silu.

Antara tajuk yang dibincangkan secara mendalam dalam usrah kali ini adalah mengenai wudhu’, haid, mandi mayat dan juga junubah. Para wanita yang menjadi peserta usrah diingatkan supaya dapat mencari pengalaman mengenai cara mandi mayat serta adab-adabnya secara praktikal jika diberi peluang. Ini kerana, kemahiran memandikan mayat sebenarnya sangat diperlukan dalam keadaan-keadaan tertentu. Dengan adanya kemahiran ini, ia boleh menjadi bekalan kepada kaum muslimah dan membolehkan kita melakukannya sendiri tanpa mengharapkan orang lain.

Pengisian yang disampaikan telah menambahkan ilmu serta dapat mengingatkan kembali para peserta tentang perkara asas untuk setiap tajuk yang dibincangkan. Usrah Wanita ini telah mendapat sambutan yang positif daripada peserta dan mereka berharap ianya dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

2. Menelusuri Kehebatan Tokoh Islam: Khaulah Al-Azwar – NAZIM

KUALA TERENGGANU , 9 Mac – Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) cawangan Kuala Terengganu telah menganjurkan satu program yang bertemakan ‘Menelusuri Kehebatan Tokoh Islam: Khaulah Al-Azwar’ di Surau Al-Muttaqin, Taman Adis Indah.

“Tema ‘Menelusuri Kehebatan Tokoh Islam’ diangkat pada program kali ini kerana kami meyakini bahawa ia merupakan satu aspek penting dalam pembentukan identiti generasi muslim pada hari ini” menurut Nurul Liyana Mohd Yusof yang merupakan pengarah untuk program kali ini.

Selain itu, program ini turut diceriakan dengan satu slot eksperimen sains. Di dalam slot ini satu demostrasi eksperimen penghasilan gas karbon dioksida telah ditunjukkan kepada para peserta. Kebanyakan peserta merasa sangat teruja dengan demostrasi ini.

Sebelum program melabuhkan tirai, para peserta telah dilatih untuk mendendangkan beberapa buah nasyid Islamik yang mengandungi nilai-nilai positif. Penganjur mengharapkan dengan suasana ceria ini, para peserta dapat menggarap dengan sebaiknya nilai-nilai yang baik yang ingin diterapkan ke dalam diri mereka.

 

3. NAZIM English Camp

KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Dalam usaha memperkukuhkan dan membudayakan minat bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak, satu program motivasi iaitu ‘NAZIM English Camp’ telah diadakan disini hari ini. Program ini telah diadakan di Surau Al-Muttaqin, Taman Tok Adis, Kuala Ibai. Program anjuran Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) cawangan Kuala Terengganu ini melibatkan pelajar berumur antara 6 hingga 12 tahun.

Pengerusi Kelab NAZIM cawangan Kuala Terengganu, Ustazah Hidayatul Sakinah Mohd Zulkifli berkata  “Penganjuran program sebegini adalah bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang  terutamanya dalam bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan imej dan keyakinan diri seorang individu yang bergelar muslim”.

“Slot ‘Motivational Talk’ yang telah disampaikan oleh Dr. Aisyah Badrulhisyam telah memberi satu suntikan semangat kepada peserta agar mereka lebih bersemangat dan meminati bahasa Inggeris” tambah beliau lagi.

Pendedahan berkaitan kaedah untuk menambah kosa kata (vocabulary) dan membina perkataan bahasa Inggeris juga diadakan didalam program ini. Kaedah ini telah diajarkan didalam satu slot yang dinamakan ‘Sahibba Games’.

Nazim English Camp kali ini turut diceriakan dengan persembahan peserta yang disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Antara persembahan yang dipersembahkan adalah nasyid yang bertajuk ‘Children of the world’, persembahan choral speaking dengan tajuk ‘I love my family’ dan persembahan sajak yang bertajuk ‘Allah the Almighty’.

Program ‘Nazim English Camp’ ini telah dirasmikan oleh Ustazah Wan Noraini Wan Ibrahim, merupakan pengarah untuk program kali ini. Semua peserta sangat berpuas hati dengan pengisian dan slot-slot yang menarik yang telah diadakan. Mereka juga berharap program ini dapat diteruskan lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *