Tabiat seruan Al-Quran dan asas pemikiran duat

photo_2016-12-10_12-22-21

Saya cuba menanggapi dan memahami banyak pihak yang melihat pelbagai isu-isu negara dalam perspektif yang berbeza-beza. Isu-isu tertentu seperti BERSIH, 1MDB, pelaburan China, korupsi pemerintah dan yang sewaktu dengannya.

Percayalah keadaan ini tidaklah begitu jauh berbeza tabiat kefasadannya baik dari sudut ekonomi, politik dan sosial dengan apa yang telah berlaku pada umat terdahulu.

Saya percaya antara sebab Allah SWT kekalkan penceritaan para umat terdahulu dan seruan Ar-Rasul yang sama nada dan rimanya (buka surah Asy-Syu’ara’ yang mengisahkan kesamaan seruan para rasul kepada kaumnya) itu memberi kita satu mesej yang jelas.

Mesej berisyarat itu seolah-olah berbunyi ; “Umat manusia ini akan sentiasa mempunyai masalah yang sama seperti yang dilalui oleh umat sebelum mereka. Mereka akan sentiasa di dalam kegelapan dan masalah serta huru-hara sehinggalah diutuskan kepada mereka seorang lelaki yang membawa risalah kenabian dan menyampaikan wahyu bagi mengeluarkan mereka dari kemelut yang berlaku pada sesetiap waktu dan ketika”.

Ia adalah seruan kepada nilai-nilai keimanan, tauhid dan ketuhanan. Dengan seruan tauhid ia akan mengajarkan mereka erti hidup bertuhan, erti hari pembalasan, erti bahawa dunia hanyalah jambatan, dan erti bahawa di sana akan ada ganjaran syurga yang abadi bagi sesiapa yang berjuang memenuhi janji dan jualbelinya kepada Tuhan.

Apakah lagi seruan yang paling ampuh untuk menyelesaikan masalah ini selain mengenalkan manusia kepada tujuan penciptaan mereka ?

Apakah pula yang boleh kita harapkan pada penyelesaian plastik yang seketika sekiranya yang menyelesaikan itu pun tidak mengenal Tuhan, apatah lagi yang memilih penyelesaian itu bukan bertujuan menyembah Tuhan ?

Marilah kita kaji semula bagaimana caranya Al-Quran membawa perubahan.

Ia adalah perubahan yang berpaksikan kesedaran fitrah bahawa kita adalah seorang hamba yang dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan.

Daripada tanggungjawab itu lahirnya nilai-nilai sosial yang disulami erti ketundukan dan perhambaan. Ia akan selari dengan perubahan sosial, politik dan ekonomi apabila kita halatujukan ia di bawah undang-undang dan peraturan Tuhan.

Daripada nilai dan neraca itu kita bina masyarakat yang menjaga dan melindungi kuasa kerajaan yang dibina atas paksi akidah, yang akan mempertahankannya dari segala marabahaya dan serangan yang mengancam kedaulatan dan ketinggian kedudukannya berbanding yang lain.

Ia terlalu ideal ? Tidak menyelesaikan masalah semasa ? Lambat membawa penyelesaian ?

Ya. Demikianlah cara fahaman para anbiya’ daripada Al-Quran. Berapa tahun Nabi Nuh AS berdakwah sebelum kapalnya berlayar dan kaumnya tenggelam ? Berapa tahun pula Ar-Rasul SAW bersabar di Mekkah tanpa mengangkat senjata walaupun ada padanya Hamzah RA, Umar RA, Abu Bakr RA, Uthman RA, dan para sahabat yang terbukti keperwiraan mereka ?

Adakah isunya adalah tarikh dan waktu selesai masalah ? Atau lebih mudah, adakah isunya bila kita nak menang ? Atau isunya adalah kita tak memahami apa itu erti berjuang ?

Kalau nak kata sampai bila, Nabi Nuh AS paling berhak bertanya, Nabi Hud AS, Lut AS, Ibrahim AS, Musa AS, Isa AS dan sekalian para anbiya’ dan sahabat RA lebih layak dan bertanya soalan yang lebih keras daripada itu !

Tapi mereka tidak pula pertikaikan dan bertanya soalan-soalan yang kurang cerdik itu. Hanya kerana :

Mereka memahami bahawa kita dituntut untuk bekerja dan berusaha dengan cara yang betul, atas panduan yang betul, dan niat yang betul, bukan pula kita disuruh menunaikan urusan Tuhan.

“Dan Allah pasti akan menolong siapa yang menolong-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Agung” – Surah Al-Hajj

Wallahua’lam

Oleh

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa
Ahli Majlis Ulama’ Isma
MA Usul Fiqh
Kuliyyah Syariah Islamiah
Univ. Al-Azhar, Kaherah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *