Tafsir Surah at Takathur: Menemplak pengejar dunia

Surah at Takathur merupakan surah Makiyyah. Turun dan berlatar belakangkan suasana Arab jahiliah yang sedang hanyut dengan kemasyhuran dunia. Yang kaya terus kaya dan yang rakus menzalimi si miskin. Yang berkuasa terus menyalahgunakan amanah dan kuasa, utamakan kepentingan sendiri. Zalim, menindas, tipu daya, gilakan pangkat dan harta bertali arus seperti tiada penghujung.

Surah at Takathur hadir mengetuk jiwa-jiwa manusia dengan ketukan yang bertalu-talu. Hentikan! Hentikan! Hentikan tabiat kesibukan kita mengumpul harta dan segala kemewahan dan kemasyhuran pangkat di dunia. Keasyikan mengejar habuan dunia hingga hilang agenda akhirat adalah tabiat manusia yang mendapat perhatian dan teguran langsung daripada Allah SWT.

Ternyata, kesibukan dan keasyikan yang sama melanda kita hari ini. Pangkat, harta, kedudukan dan kemasyhuran. Setiap hari kita penuhi dan kita kejar habuan-habuan ini tanpa puas..

Soalnya sampai bila? Sampai bila akan berakhir pencarian ini…?

Noktahnya ialah kematian. Tapi, takkanlah hendak tunggu sampai detik itu datang baru kita nak berhenti. Itu berhenti terpaksa namanya. Bukan berhenti secara rela. Dan bukan berhenti secara bijaksana…

Berhentilah secara sedar. Bahawa kehidupan ini hanya sementara saja. Susunlah jadual harian kita dengan tolakan iman. Dalam kesibukan kita dengan urusan dunia jangan sesekali kita lupakan agenda akhirat didalamnya. Bahkan jadikan agenda akhirat sebagai keutamaan. Kita akan selamat..

Ingatlah!

Jika kita seorang hartawan yang berjaya! Maka, pada harta seorang hartawan ada hak si miskin di dalamnya…

Jika kita seorang peguam yang sering menang bicara!
Maka, ada banyak kepentingan Muslimin memerlukan pembelaan..

Jika kita seorang guru yang cemerlang!
Maka, ada murid kita yang perlu bimbingan dan taujihat untuk menjadi manusia berguna kepada agama dan bangsanya…

Jika kita seorang surirumah yang cekap dan cergas!
Maka, didiklah anak-anak dengan didikan Nabi supaya kelak mereka akan membarisi saf-saf perjuangan…

Tak kira siapa kita. Kita semua punya agenda akhirat untuk kita hidup kekal di sana.


Ustazah Siti Umi Kalsom bt Hussin
Biro Tarbiah Isma Klang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *