Tamadun Yang Hebat Menegakkan Syariat Allah di Muka Bumi

KL

 

 

Pada zaman jahiliah, manusia hidup dalam keadaan yang sangat tidak berakhlak. Dinyatakan oleh Safiyyur Rahman Al Mubarakfuri di dalam kitabnya ‘Sirah Nabawiyyah SAW’ di halaman 44, antara cara perkahwinan masyarakat arab jahiliah,

Sekumpulan lelaki yang tidak melebihi 10 orang akan berkumpul lalu menyetubuhi seorang wanita. Semua mereka tanpa terkecuali menyetubuhinya. Apabila wanita itu hamil dan melahirkan anak maka dihantarnya utusan kepada lelaki-lelaki itu. Tidak seorang pun lelaki-lelaki itu yang berupaya untuk mengelak diri melainkan semuanya terpaksa datang berkumpul di sisi wanita itu. Kemudia wanita itu akan berkata kepada mereka: kamu semua tahu apa yang kamu lakukan dan sekarang aku telah melahirkan anak. Anak ini ialah anak kamu hai si polan. Lalu wanita itu menamakan salah seorang lelaki yang disukainya dikalangan mereka, dan anak itu pun dinasabkan kepadanya.[1]

Kenyataan ini sahaja telah menggambarkan keburukan akhlak masyarakat ketika itu. Bukan itu sahaja, pelbagai lagi kecelaruan berlaku seperti menilik nasib menggunakan anak panah, menanam atau membunuh anak perempuan dan sebagainya.

Dalam pemerintahan Kerajaan Rom Kuno pula, terdapat satu jalan penyelesaiaan yang zalim dalam menyelesaikan masalah populasi masyarakat ketika itu. Iaitu dengan cara mencari dan menangkap perempuan-perempuan yang berada di kampung berhampiran dan membawanya ke Kota Rom. Perempuan-perempuan ini seterusnya dirogol dan dipenjarakan sehingga melahirkan anak. Perkara ini diceritakan di dalam buku Tamadun Rom susunan Dr Sivacitandralingam dan Ayudurai Letchumanan[2].

Nabi Muhammad SAW telah dilantik menjadi Rasulullah oleh Allah SWT ketika berumur 40 tahun dengan membawa akhlak dan budi pekerti yang mulia. Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 128:

“لقد جاءكم رسول من انفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رءوف رحيم”

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.[3]

Nabi Muhammad SAW adalah lelaki yang berakhlak mulia dan cucu kepada pemimpin besar Mekah Abdul Mutalib daripada keluarga atau keturunan Bani Hashim. Ibunya Aminah seorang perempuan yang baik dan daripada keturunan yang baik. Ayahnya pula seorang peniaga yang baik dan disayangi oleh abang-abang dan datuknya.

Maka bermulalah satu pembaharuan atau satu penghijrahan kepada umat manusia yang dibawa oleh seorang Nabi yang adil dan bijak sehingga digelar oleh orang-orang arab Mekah sebagai Al-Amin. Baginda melalui keperitan dan kegetiran selama 23 tahun berdakwah secara berperingkat mengikut wahyu daripada Allah SWT. Wahyu adalah sandaran ataupun pegangan Tamadun Islam dan menjadi nadi berkembangnya tamadun ini ke serata dunia. Selama 3 tahun secara sulit dan 10 tahun secara terbuka di Mekah serta 10 tahun genap lagi secara terbuka di Madinah, Rasulullah SAW menyampaikan wahyu daripada Allah sebagai ikutan dan amalan juga diterapkan ke dalam kehidupan kaum muslimin. Wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril AS amat bersesuaian dengan fitrah dan akal manusia. Maka gabungan ini membuatkan manusia menyusun kehidupan dengan fikiran yang dipasak oleh wahyu dan perintah Allah SWT di dalam Al Qur’an. Tidak itu sahaja ianya disokong dan diperkemaskan lagi dengan Hadith dan Sunnah Rasulullah SAW.

Antara aspek-aspek yang diterapkan Rasulullah SAW sehingga lahirnya Tamadun Islam yang begitu baik ialah dorongan ilmu dan pengetahuan Islam. Faktor dorongan ajaran Islam ini membuatkan manusia menuntut ilmu dan pengetahuan Islam serta mengamalkannya sehingga ianya menjadi contoh teladan buat manusia lain. Malah satu kewajipan dalam individu muslim untuk memperlihatkan kejayaan dengan mengamalkan cara hidup Islam di dalam diri dan masyarakat[4].
Selain itu Nabi Muhammad SAW menekankan aspek Rabbani atau ketuhanan di dalam penyampaian, perbuatannya dan amalannya supaya menjadi contoh buat sahabat-sahabat dan muslimin seluruhnya. Aspek ini sangat menyerlahkan ketamadunan Islam itu sendiri. Setiap gerak-geri dan perbuatan diikhlaskan kerana Allah dan semata-mata mengharapkan reda Allah SWT. Allah SWT yang memberikan kuasa dan punca segala kehidupan, maka manusia sekadar pemegang amanah.

Nabi Muhammad SAW telah berjaya membuktikan bahawa agama Islam adalah sebuah agama yang tidak memaksa dan meringankan. Ini membuatkan seluruh muslim dapat menyesuaikan diri dan sedia beramal dengannya. Sudah tentu Allah SWT tidak membebankan manusia dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh manusia. Bukan sahaja orang muslim tetapi ianya turut dirasai dan dinikmati oleh orang bukan Islam yang bernaung di bawah panji Islam sekitar pemerintahan Rasulullah SAW dan juga kuasa-kuasa Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW telah membuatkan orang menerima agama Islam sebagai agama yang sempurna, lengkap dan syumul atau menyeluruh. Agama Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW juga adalah agama untuk seluruh manusia sejagat dan tidak terhad untuk sesuatu bangsa atau kaum, tempat atau kawasan, masa dan budaya. Ini adalah antara ciri-ciri yang menguatkan Tamadun Islam.

Kesatuan amat terserlah di dalam Tamadun Islam dari pelbagai kaum dan bangsa menjadi satu dibawah akidah Islam yang suci. Walaupun berbeza warna kulit, budaya, percakapan dan sebagainya tetapi akidah yang kukuh menyatukan kesemuanya di bawah panji Islam yang syumul.[5] Setiap yang dicapai oleh manusia dan masyarakat seluruhnya adalah menunjukkan keimanan yang lahir daripada akidah yang kukuh. Ini dibuktikan lagi di dalam sebuah kitab bertajuk ‘Sirah Nabawiyyah SAW’ oleh Safiyyu Ar Rahman Al Mubaraakfuri di halaman 683 yang menyatakan ketika khutbah perpisahan iaitu sebelum kewafatan Nabi muhammad SAW, baginda telah berkhutbah dihadapan 124,000 (atau 144,000) orang sahabat[6].

Tugas Rasulullah SAW bukan sekadar berdakwah, tetapi mendidik dan mentarbiah para sahabat sehingga lahir tokoh-tokoh Islam cemerlang seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Ubaidah, Khalid Al Walid dan ramai lagi. Para sahabat inilah yang telah membawa Islam ke serata dunia. Didikan dan ajaran Rasulullah SAW melahirkan tokoh-tokoh hebat dalam kepimpinan, ilmu Al-qur’an dan tafsir, ketenteraan, ekonomi, pentadbiran negara dan sebagainya. Sehinggalah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal tahun ke-11 Hijrah. Dan selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., seluruh Semenanjung Arab di bawah penguasaan orang Islam.

ust sod

 

 

 

 

 

 

 

Ustaz Mohamad Faisal Harun
Setiausaha ISMA Kuala Pilah

[1] Safiyyu ArRahman AlMubarakfuri. (2004).Sirah Nabawiyyah.Kuala Lumpur: Yayasan dakwah Islamiah Malaysia. M/S: 44

[2] Dr Sivachandralingam Sundara Raja, Ayadurai Letchumanan.(2008). Tamadun Rom. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd

[3] Al Quran. Surah At Taubah:128.

[4] Mashitah Sulaiman,Adibah Sulaiman @ Mohamad. (2011).Tamadun Islam dan Tamadun Asia.Bandar baru Nilai:Universiti Sains Islam Malaysia. m/s:57

[5] Mashitah Sulaiman,Adibah Sulaiman @ Mohamad. (2011).Tamadun Islam dan Tamadun Asia.Bandar baru Nilai:Universiti Sains Islam Malaysia. m/s:57

[6] Safiyyu ArRahman AlMubarakfuri.(2004).Sirah Nabawiyyah.Kuala Lumpur: Yayasan dakwah Islamiah Malaysia.m/s:697

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *