Tanam Semangat Perjuangan melalui Permainan Tradisional

Sungai Petani, 6 Mei – “Melalui penganjuran karnival ini, kita berhasrat untuk menanam semangat perjuangan dalam jiwa anak-anak kecil selain memperkenalkan mereka dengan sejarah asal usul diri mereka”, demikian ucapan oleh Yang Dipertua ISMA Seberang Perai Utara, Ustaz Abd Rahim Sudin ketika merasmikan majlis penutup Karnival Sukan Tradisional NAZIM Zon Utara 2017.

Sepanjang karnival ini, para peserta dilihat cukup bersungguh-sungguh bertanding merebut kejuaraan bagi setiap acara permainan yang disertai walaupun cuaca panas terik. Pelbagai gelagat dan ragam anak-anak NAZIM mewarnai setiap acara.

Karnival anjuran Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) ini merupakan acara dwi tahunan yang diadakan di seluruh negara mengikut zon. Antara acara permainan utama ialah tarik upih, baling tin, susun bata, lari dalam guni, kasut tempurung dan galah panjang.

Pada karnival tahun ini, seramai hampir 100 orang peserta daripada 4 kontinjen iaitu Perlis, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Seberang Perai Utara telah terlibat menjayakan program ini. Dalam kejohanan ini, kontinjen Kubang Pasu telah berjaya mendapat tempat juara, diikuti kontinjen Sungai Petani di tempat kedua dan tempat ketiga pula dimenangi oleh kontinjen Perlis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *