TAUHID SEBAGAI PANDANGAN ALAM (WORLDVIEW)

 

TAUHID SEBAGAI PANDANGAN ALAM (WORLDVIEW)

Seringkali soalan diajukan, apakah yang menjadi tonggak kepada kehebatan sesebuah tamadun yang ada di dunia. Bahkan ketamadunan atau peradaban Islam sendiri, turut menerima pertanyaan. Kehebatan tamadun Islam sememangnya diakui oleh “Apakah asas kepada tamadun Islam?” “Apakah yang menjadikan tamadun Islam hebat?” “Apakah intipati dalam peradaban Islam?”

Briffault menulis dalam kajiannya “The Making of Humanity”: “ Barat terhutang budi kepada ketamadunan Arab (iaitu ketamadunan Islam) dalam penemuan sains, budaya dan peradaban serta teori-teori yang bersifat revolusionari. Bahkan ketamadunan Barat sebenarnya tidak akan wujud tanpa kewujudan ketamadunan Arab.” (London, 1928, m.s. 200-201).

Artikel di bawah mengupas karya seorang ilmuwan dan pendakwah yang hebat, Dr. Ismail Raji Al Faruqi, dalam artikel asalnya bertajuk “The Essence of Islamic Civilization”.

Islam merupakan asas dalam memahami konsep tamadun Islam. Dan prinsip utama Islam merupakah elemen tauhid; kesaksian ke atas keesaan, keunggulan, dan sifat mutlak Pencipta, Tuhan dan Penguasa sekalian alam. Kedua-dua elemen ini sangat berkait.

Kesangsian terhadap kelestarian dua prinsip asas ini tidak timbul dalam memahami inti pati tamadun Islam. Mutakhir ini, cendekiawan barat (orientalis) dan para pengkaji Islam cuba menimbulkan keraguan terhadap dua asas ni. Tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan, seharusnya semua Muslim mengimani bahawa terdapat asas dalam pembinaan sebuah tamadun Islam dimana asas ini mampu dipelajari dan boleh dikaji dengan lebih lanjut, iaitu Tauhid.

Elemen tauhid kepada Allah memberi identiti tamadun Islam, dimana ia mengikat seluruh ciri-ciri dalam pembentukan sesebuah tamadun lalu menjadikan tamadun Islam menjadi sebuah tamadun yang lengkap mengikut acuan yang tersendiri. Tauhid juga bertindak sebagai pelengkap dan memperkukuhkan lagi ikatan antara ia dengan elemen-elemen yang lain dalam pembinaan tamadun Islam.

Tanpa merubah hakikat asal tamadun, Tauhid mampu merubah elemen-elemen ketamadunan sedia ada. Kayu ukur untuk memahami sejauh mana dan perubahan apa yang perlu dilakukan ialah pemahaman elemen Tauhid yang jelas. Bukan itu sahaja, dalam merungkai fenomena-fenoma yang terjadi dalam pembentukan sesebuah tamadun memerlukan ‘kaca mata’ yang jelas dan betul. Dan ‘kaca mata’ yang memandu seorang Muslim adalah tauhid. Ia merupakan prinsip yang paling asas dalam menentukan asas-asas yang lain; dan merupakan prinsip asas pembentukan tamadun Islam.

Tauhid bukan semata-mata sebuah lafaz dan keyakinan bahawa ‘tiada tuhan selain Allah’ yang tiada makna bahkan ia membawa definisi yang sangat berat dan agung disisi Islam. Lafaz tersebut boleh merangkumi sesebuah kebudayaan, sesebuah tamadun hatta seluruh sejarah dunia sekali pun! Aspek kepelbagaian, harta dan sejarah, budaya dan pembelajaran, hikmah dan ketamadunan Islam terangkum dalam kalimah yang pendek, “La ilaha illa Allah”

Dr. Ismail Raji Al Faruqi menghuraikan peranan tauhid dalam membentuk pandangan alam (wordview), dalam aspek :

  1. Dualiti (Duality) – kewujudan dua hakikat bertentangan antara Tuhan dan bukan Tuhan.
  2. Ideasi (Ideationality) – proses kreatif untuk menghasilkan, membangunkan, menyampaikan idea-idea baru yang mana idea-idea ini difahami sebagai elemen asas dalam pemikiran yang boleh dikesan secara konkrit mahupun abstrak.
  3. Telealogi (Telealogy) – penerangan dan huraian mengenai sesuatu fenomena berdasarkan tujuan dan fungsi, dan bukannya dengan mendalilkan andaian.
  4. Kemampuan Manusia dan Kebolehtempaan Alam Tabi’I /Semulajadi (Capacity of Man and Malleability of Nature)
  5. Tanggungjawab dan Perhitungan (Responsibility and Judgement)

Tauhid merupakan suatu sudut pandang realiti dalam memahami rencana dunia menjangkaui liputan masa, tempat dan sejarah. Tauhid merangkumi beberapa prinsip asas:

Dualiti

Realitinya, hanya wujud dua klasifikasi; tuhan atau bukan tuhan. Dalam erti kata yang lain, Sang Pencipta atau yang dicipta. Istilah pertama merujuk kepada Allah Yang Maha Esa. Keimanan seorang muslim adalah pada satu-satunya tuhan, pencipta hukum alam, dan bersifat kekal dan abadi. Tiada apa yang mampu menyamai atau menandingi sifat-sifat Allah. Istilah yang kedua pula mencakupi seluruh makhluk termasuk manusia, jin, malaikat, haiwan, syurga dan neraka, bumi dan langit dan segenap kejadian.

Allah, Sang Pencipta dan makhluk yang dicipta benar-benar berbeza baik dari segi ontologi iaitu memahami sesuatu hakikat berdasarkan kemampuan logik akal manusia, kewujudan serta perilaku perbuatan. Logiknya, mustahil bagi Allah mempunyai sifat yang setara atau menyamai makhluknya. Oleh itu, secara ontologi juga, tidak logik Allah mengubah sifat dan kekuasaannya menyerupai makhluk. Begitu juga dengan makhluk yang tidak boleh merubah dan menjadikan diri ia sama dan setanding Allah.

Tauhid dalam erti kata lain yang kita imani berbeza dari fahaman Sufi dan beberapa fahaman Hindu, dimana fahaman tersebut percaya pecahan realiti dan kebenaran dunia adalah tuhan. Hanya tuhan menjadi satu-satunya realiti dan kewujudan. Dalam fahaman ini juga, tiada apa yang wujud selain tuhan. Semuanya merupakan ilusi dan kewujudannya tidak realistik.

Tauhid juga bertentangan dengan fahaman falsafah dari Mesir, Greek dan Taoisme dimana pandangan mereka hampir sama dengan India; kewujudan tuhan adalah berasal dari makluk atau alam. Mesir pada ketika dahulu mengangkat Firaun sebagai tuhan. Roman Greek berasal dari agama pagan yang berfahaman polytheism (banyak tuhan) dan menerima konsep ketuhanan dari mana-mana aspek tabi’I atau perwatakan manusia dan sifat itu boleh diwarisi. Dalam kedua-dua fahaman seolah-olah tuhan yang digambarkan keliru dengan ciptaannya. Dalam pada masa yang sama, atas pengaruh dan desakan Paderi, Kristianiti mula mengasingkan dari Tauhid bilamana mereka mendakwa tuhan telah menjelma dalam bentuk fizikal sebagai Nabi Isa dan Nabi Isa merupakan tuhan.

Berbeza dengan agama-agama yang lain, Islam menekankan konsep dualisme dan perbezaan yang menyeluruh antara Allah dengan alam, begitu juga perbezaan antara Allah dengan makhluk.

Ideasi

Secara fitrahnya, hubungan antara Allah dengan makhluknya adalah suatu proses ideasi yang tabi’I. (Ideasi adalah proses untuk menghasilkan, membangunkan, menyampaikan idea-idea baru yang mana idea-idea ini difahami sebagai elemen asas dalam pemikiran yang boleh dikesan secara konkrit mahupun abstrak.)

Kemampuan pemahaman akal manusia adalah suatu rujukan penting dalam hal ini. Sebagai organ dan sumber ilmu pengetahuan, kemampuan pemahaman ini adalah termasuk keupayaan fungsi memori, imaginasi, pemerhatian, gerak hati, naluri, keresahan dan sebagainya.

Manusia dianugerahkan keupayaan untuk berfikir dan memahamkan sesuatu. Keupayaan inilah yang membantu untuk memahami dengan mendalam tentang syariat tuhan, sama ada diekspresikan melalui perkataan langsung dari Allah (wahyu) kepada manusia dan melalui pemerhatian penciptaan makhluk yang lain.

Teleologi

Memahami hakikat penciptaan alam ini dapat dikaji melalui pendekatan teleologi iaitu ilmu yang mempelajari sebab, tujuan dan nilai. Allah s.w.t mencipta alam dengan hak-Nya dan supaya seluruh makhluk tunduk dan patuh pada perintah-Nya secara total.

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

“Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arsy yang mulia”. (Surah Al-Mu’minun: 116)

Alam bukanlah ciptaan bersifat sia-sia jauh sekali tercipta secara tidak sengaja. Alam dan isinya tidak wujud secara ‘magik’. Ia dicipta dengan sangat sempurna dan dengan tujuan yang berbagai-bagai.

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاء وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُواْ عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ مَا خَلَقَ اللّهُ ذَلِكَ إِلاَّ بِالْحَقِّ يُفَصِّلُ الآيَاتِ

لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.” (Surah Yunus: 5)

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُواْ لَهُ سَاجِدِينَ

“Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniup kan kedalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.” (Surah Al-Hijr: 29)

Alam semesta diciptakan dengan tersusun, dan bukan dengan kelam-kabut. Di dalam alam yang diciptakan Tuhan ini, setiap kehendak dan kemahuan Sang Pencipta akan disempurnakan. Segala ketetapan Tuhan tidak pernah sama sekali bercanggah dengan undang-undang semula jadi. Selain dari manusia, semua makhluk bertindak atau wujud mengikut ketetapan Allah ke atas mereka. Manusia merupakan satu-satunya ciptaan yang diizinkan oleh Allah untuk membuat pilihan (dengan izin Allah).

Fitrahnya, secara fizikal manusia berfungsi mengikut ketetapan sama seperti makhluk-makhluk yang lain. Contohnya, jantung manusia semulajadinya diciptakan untuk memberikan oksigen keseluruh tubuh badan. (Ini yang disebut oleh Al Maududi sebagai al-jabariah, iaitu ketundukan secara paksa).

Namun, dari aspek rohani, khususnya sudut kefahaman dan moral bukan suatu ketetapan fitrah. Kefahaman dan moral dipandu oleh tekad dan kehendak diri. (Ini yang disebut oleh Al Maududi sebagai ikhtiyariyyah, iaitu ketundukan secara pilihan).

Perlaksanaan syariat Allah yang diwahyukan kepada manusia adalah berbeza nilainya dengan perlaksanaan ke atas makhluk yang lain.

Perlaksanaan syariat Allah yang diwahyukan kepada manusia melibatkan nilai-nilai kebergunaan; perlaksanaan bebas melibatkan moral. Walaubagaimanapun, tujuan sistem moral ketuhanan dan tujuan syariat kepada manusia mempunyai asas, dan oleh sebab itu wujud aspek kebergunaan kepada mereka.

Akan tetapi, bukan ini yang memberi mereka kualiti yang tersendiri, yang menjadi moral. Secara tepatnya, aspek perintah-perintah tersebut yang mampu dilaksanakan secara bebas, ada kemungkinan untuk diabai dan dilanggari yang menyediakan maruah khas yang kita gambarkan kepada perkara “moral”. Dalam erti kata yang lain, perintah Allah bukan sekadar mencakupi nilai moral kehidupan, namun mempunyai aspek utiliti (kebergunaan). Ia senang untuk diaplikasikan dan praktikal.

Bertitik tolak daripada itu, setiap pensyariatan dan perintah Allah terhadap manusia mempunyai asas yang tidak bercanggah dengan undang-undang alam. Dan oleh sebab itu, ia membawa maslahat kepada manusia.

Kemampuan Manusia dan Kebolehtempaan Alam Tabi’i/Semulajadi

Atas kefahaman bahawa setiap perkara dicipta atas tujuan-tujuan tertentu, perlaksanaan syariat haruslah mampu direalisasikan dalam masa dan ruang ada.

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَات

وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّار

“(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”. (Surah Ali-Imran: 191)

Andai tidak mampu untuk manusia melakukannya, nescaya akan cair keteguhan terhadap Islam. Tanpa keadaan ini, taklif iaitu hukum atau ketetapan Allah untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara tidak lagi digunapakai. Dan apabila sesuatu syariat Allah tidak dijalankan, maka pada ketika itu akan gagal lah suatu sistem kehambaan dan ketuhanan yang sebenar.

Oleh yang demikian, segala tuntutan syariat di mana justifikasi kewujudan manusia dan alam ini mestilah berlaku dalam tempoh masa penciptaan makhluk sehingga hari kiamat kelak. Manusia seharusnya mampu bukan sahaja mengubah dirinya bahkan kenalan dan masyarakat secara keseluruhan sebagai bukti tunduk dan patuh terhadap segala perintah Allah. Penting untuk Muslimfaham segala tuntutan syariat yang Allah perintahkan semuanya dibawah kemampuan dan had makhluk-Nya. Ia bukan bersifat teori dan khayalan semata-mata. Kerana tanpa keupayaan seseorang itu melaksanakan tugasnya, nescaya tindakan untuk mencapai tindakan moral adalah mustahil dan tujuan penciptaan alam ini tidak dapat dipenuhi.

Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa setiap penciptaan makhluk itu datangnya bersama-sama tujuan dan matlamat. Hal ini selari dengan konsep ketuhanan tadi, dimana Allah itu Sang Pencipta dan ciptaan-Nya itu tiada yang sia-sia. Allah telah mencipta manusia ini sebagai makhluk yang boleh berubah-ubah sifatnya, mampu dibentuk dan berupaya merubah keadaan, struktur dan hubungan untuk memperkukuhkan lagi matlamat pencipataan manusia. Manusia seharusnya mampu bersifat anjal dalam mencapai tujuan penciptaan mengikut corak atau perintah Allah dalam ruang dan masa ini.

Tanggungjawab dan Perhitungan

Sekiranya manusia sedar akan tanggungjawab hakiki seorang hamba untuk merubah diri, masyarakat dan persekitarannya akur kepada ketaatan kepada Allah dan pada masa yang sama mampu untuk melaksanakan tuntutan yakni, akan turut terikatlah tanggungjawab bersamanya. Perlaksanaan tuntutan mustahil tanpa tanggungjawab akan diperhitung. Tanpa tanggungjawab dan perhitungan setiap amalan yang dilakukan, sifat was-was dan ragu-ragu tidak akan dapat dielakkan.

Perhitungan ataupun tanggungjawab terhadap setiap tingkah laku adalah amat penting dan secara fitrahnya berlaku secara normatif tidak kiralah sama ada perhitungan dibuat dalam pada situasi sebenar ataupun diakhir tindakan seperti dalam Surah Al-Qiyamah, ayat 36:

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى

“Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung jawaban)?”

Tujuan pensyariatan sesuatu perkara akhirnya akan menyumbang kepada falah atau kejayaan, kegembiraan dan kesenangan bersama. Dan sekiranya syariat tidak dapat dilaksanakan, maka pada akhirnya tercetuslah hukuman, penderitaan, susah gelisah dan kegagalan.

Diterjemah dan disunting oleh:

Nurul Syahira Idrus

Zazlyn Azmi

Izzatul Hajidah Sabri

Aktivis ISMA New Zealand

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *