Tips didik anak 5 tahun hafal juz 30

Saya ingin kongsikan sedikit teknik dan pengalaman saya dan isteri ketika melatih anak-anak menghafal Al-quran pada usia yang muda. Kami mempunyai 3 orang anak, masing-masing berumur 6 tahun, 5 tahun dan 1 tahun. Anak sulung dan kedua saya lelaki. Orang kata, anak lelaki sukar untuk fokus menghafal berbanding anak perempuan. Jawapan saya mudah. Setiap anak lelaki atau perempuan pasti boleh menghafal, cuma ada yang cepat, ada yang sedikit lambat.

Tips 1 : Mainkan audio quran yang terbaik sepanjang masa di rumah dan di dalam kenderaan anda.

Teknik ini bagi kami paling asas untuk menimbulkan minat awal anak terhadap Al-Quran. Ini kerana deria manusia pertama yang memberi respon dalam pembelajaran ialah melalui pendengaran sebelum penglihatan dan sentuhan. Kami belikan pembesar suara Panasonic yang baik dan CD audio Syeikh Misyari Al-Fasi ‘original’ untuk menarik minat pendengaran anak. Pernah dahulu kami hanya pasang melalui ‘handphone loudspeaker’ dan ‘burn’ CD dalam format MP3, tetapi agak bingit telinga bila terlalu lama mendengarnya.

Tips 2 : Abang long ‘the Trendsetter’

Teori ini kami ambil daripada buku keluaran Profazz dan digunakan dalam mendidik anak-anak khususnya ketika proses menghafaz Quran. Teori ini menceritakan bahawa segala tindak tanduk anak sulung akan diikuti oleh adik-adiknya. Maka, fokus yang utama adalah anak sulung kami, Syed Faqihuddin.

Tips 3 : Latih anak menghafaz secara konsisten seawal umur 5 tahun

Sebelum 5 tahun, anak sudah boleh mula didedahkan dengan sebutan makhraj huruf, kalimah Allah, nyanyian doa, zikir dan lain-lain secara santai sahaja. Ketika umur mereka masuk 5 tahun pada bulan Januari, ibubapa perlu ambil serius kerana anak sudah bersedia ketika ini. Belikan ‘muqaddam’ bersaiz besar, sediakan jadual surah dan beli CD. Jangan terkejut jika mereka menghafal perkara lain seperti iklan-iklan tv, lagu dan sebagainya jika tidak dilatih menghafal Quran ketika ini. Kami biasa lihat gelagat anak bila dia lipat baju dan bermain basikal, mulutnya membacakan ayat-ayat quran, mungkin itu hiburannya. Alhamdulillah, hujung Disember tahun lepas, anak sulung selesai menghafal keseluruhan juz 30 pada umur 5 tahun. Kini dia mula menyambung semula hafalan bermula dengan surah Yasin di samping pengulangan juz 30 mengikut jadual yang telah disediakan.

Tips 4 :  Kurangkan/tidak menonton televisyen/gajet elektronik

Anak kami tidak dibenarkan untuk menonton ‘ultraman’ mahupun ‘frozen’ atau seangkatan dengannya. Hafalan anak pernah terjejas disebabkan menonton televisyen sebelum ini. Fikiran agak khayal dan kurang fokus kesan daripada peralatan elektronik tersebut. Mereka tidak kenal sangat kartun-kartun kerana tidak pernah menonton cerita ini di rumah. Jika mereka ternampak di kedai atau video, kami akan segera alihkan perhatian mereka kepada perkara lain.

Orang kata, bila berkawan di sekolah nanti, dia kenal juga. Justeru, itulah peranan ibubapa dalam memberi kefahaman kepada mereka. Maka, anak boleh hilang minat dengan mainan yang tidak realistik ini. Jika sekali-sekala menonton tv mungkin tiada masalah, asalkan rancangan itu ilmiah. Sebaiknya, ibubapa ada bersama-sama menonton ketika itu.

Tips 5 :  Ibubapa perlu cuba menghafal, jangan sekadar mengarahkan

Anak-anak jadi seronok bila mereka tahu kami turut menghafal surah yang mereka hafal. Timbul suasana pembelajaran yang menarik. Kadang-kadang kami tasmi’(perdengarkan) bacaan kepada mereka, kami silapkan sedikit bacaan untuk mereka tegur kesalahan kami. Suasana tasmi’ ini boleh sahaja dilakukan dalam keadaan santai seperti sedang melipat pakaian, dalam kenderaan, dan lain-lain.

Tips 6 :   Mulakan dengan surah yang mudah

Mudah bukan bermaksud pendek, tetapi ayatnya mudah dilafazkan dan tidak banyak pengulangan sebutan yang hampir sama. Ini penting bagi mengelakkan anak rasa susah di peringkat awal. Juz 30 ada 37 surah. Kami pecahkan kepada 2 bahagian . Bahagian 1 adalah surah versi pendek yang mudah bermula dengan surah An-nas dan berakhir dengan Ad-dhuha kerana sering dibaca dalam solat. Kami ikut turutan, cuma surah Al-bayyinah yang terakhir dihafal. Adapun pada bahagian 2 iaitu surah Al-layl hingga An-naba’, kami tidak mengikut turutan. Kami mula dengan surah As-syams dan berakhir dengan surah At-takwir.

Tips 7 :  Bercerita

Gunakanlah teknik-teknik penceritaan supaya anak tahu apa yang mereka hafal dan menguatkan lagi minat mereka untuk menghafal. Contohnya, sebelum baca surah Al-fil, kami ceritakan kepada anak tentang hebatnya Allah dalam menewaskan Gajah dan tentera Abrahah. Ini sekaligus menguatkan Aqidah mereka. Semua surah ini diturunkan di Makkah yang menekankan bab Aqidah melainkan surah 2 surah sahaja iaitu surah An-nasr dan Al-Bayyinah.

Setakat ini sahaja yang sempat dikongsikan, mungkin anda ada cara yang lebih baik daripada kami. Kami usaha dengan kemampuan yang ada, niat kami supaya anak-anak kami dekat dengan Al-quran, dekat dengan penciptanya. Selamat beramal dan istiqamah!

Ihsan daripada;

Syed Mohd Aizuddin Bin Tuan Sembak & Nafisah Bt Abdul Latif

Tangkak, Johor.

Aktivis ISMA Melaka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *