Tips Kekal Sihat di Bulan Ramadhan

Pejam celik, pejam celik kalendar hijrah sudahpun mencecah separuh akhir Ramadhan. Bagaimana dengan amalan puasa di bulan Ramadhan kali ini?

Membuka kembali nota lama yang tersisip di rak buku penulis berkaitan puasa memandangkan terlalu banyak kes harian di klinik tempat penulis bekerja yang tidak lari jauh tetapi berkisar soal puasa di kalangan masyarakat awam sama ada bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik mahupun tidak.

Puasa dari sudut syarak bererti menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dimulai dengan niat berpuasa, kerana mengharapkan redha Allah swt.

Pelbagai kemusykilan yang melanda masyarakat terutamanya bagi mereka yang berpenyakit gastritis, penyakit jantung, asma dan lain-lain lagi. Mendapat kunjungan daripada beberapa pesakit hari ini yang mengadu sakit perut di bahagian epigastik atau ulu hati yang mengaku makan pedas secara berlebihan ketika berbuka. “Lagi pedas lagi umpphh..” Bunyinya memang lazat tapi wajarkah sekiranya keesokan harinya anda terpaksa menahan kesakitan atau mengambil ubat malah ada yang terpaksa berbuka puasa awal akibat serangan gastritis?

Tidak kurang juga yang dilanda tanda-tanda hipoglisemik atau bahasa mudahnya kurang gula di kalangan pesakit kencing manis/diabetik kerana tidak mengambil tahu dosis ubat yang diperlukan ketika berpuasa. Terutamanya buat mereka yang mengambil suntikan insulin.

Adalah dinasihatkan untuk mendapat konsultasi bersama doktor mahupun pegawai farmasi di klinik berdekatan tempat tinggal anda untuk memastikan anda atau keluarga anda dapat berpuasa dalam keadaan sihat walaupun memiliki penyakit kronik.

Benarkah puasa ini menyihatkan?

Di sini ingin penulis kongsikan bagaimana untuk tetap sihat dalam menjalani ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Bersahurlah kerana sesungguhnya pada makan sahur itu ada keberkatan.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amalan bersahur amatlah penting untuk menyediakan tenaga kepada badan kita sepanjang hari ketika berpuasa. Pengambilan makanan yang berunsur karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat amat dianjurkan.

Makanan jenis ini memerlukan masa yang lama untuk dicernakan sepenuhnya dan mengurangkan rasa lapar. Begitu juga apabila disertakan dengan pengambilan protein seperti ayam, daging, ikan, kekacang dan susu kerana struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan lagi proses pencernaan.

“Dari Anas bin Malik, ia berkata : Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa berbuka puasa sebelum solat dengan ruthab (kurma basah), jika tidak ada ruthab, maka beliau berbuka dengan tamr (kurma kering), dan jika tidak ada tamr, beliau meminum seteguk air”

(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sewaktu berbuka puasa, kita dianjurkan untuk segera berbuka dan memulakan dengan memakan makanan ringkas seperti buah kurma terlebih dahulu kerana ia mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman untuk makanan yang berikutnya.

Kurma bukan sahaja kaya dengan tenaga, tetapi juga mengandungi serat, vitamin dan mineral. Hadkan meminum air manis dan lebihkan air kosong. Pastikan anda minum air secukupnya untuk mencegah dehidrasi. Setelah solat maghrib barulah disarankan untuk makan makanan berat.

Tetapi awas! Perhatikan saiz hidangan yang anda ambil serta kurangilah pemakanan yang pedas dan berempah untuk mengelakkan kejadian kembung perut dan ketidakhadaman.

Elakkan makanan yang berminyak dan berlemak terutamanya bagi mereka yang menyimpan impian untuk menurunkan atau menyeimbangkan berat badan sewaktu bulan puasa.

“Yeah, bestnya ada moreh lepas terawih!” kedengaran suara kanak-kanak di saf belakang. Tidak kurang juga para dewasa yang menunggu-nungu hidangan moreh disediakan.

Tidak salah untuk mengambil hidangan lewat malam atau moreh setelah menggunakan tenaga untuk menunaikan solat sunat terawih tetapi cukuplah sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, satu atau dua ketul kuih dan 1 gelas susu.

Sekali lagi penulis berpesan, lebihkan air kosong.

Bagaimana dengan mereka yang mengalami masalah constipation atau sembelit ketikan bulan puasa? Penulis menasihatkan untuk tingkatkan pengambilan jumlah air sehingga 6-8 gelas, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Elakkan minuman berkarbonat, berkafein serta makanan tinggi lemak dan garam yang kebanyakan ada pada makanan segera untuk mengelakkan kehilangan air dari badan selain boleh mengurangkan atau menghalang penyerapan zat yang diperlukan oleh badan.

Puasa sebulan dalam bulan Ramadhan memberikan manfaat yang bersifat holistik. Apa tidaknya, dengan berpuasa ia bukan sahaja melatih orang Islam untuk sabar dalam mengerjakan ibadah tetapi juga, melunakkan emosi yang tidak stabil dengan pengeluaran hormon endorfin yang mendamaikan, mengawal kesedaran diri terhadap syahwat, membantu minda untuk lebih fokus, menyeimbangkan metabolisme tubuh, membuang toksik dan racun badan yang secara tidak langsung meningkatkan sistem imun atauketahanan badan dalam melawan penyakit.

Alhamdulillah di atas nikmat Allah swt yang luar biasa ini yang dengan mudah kita dapat sekiranya kita mengerjakan ibadah ini dengan ikhlas dan amanah. Semoga tulisan ini memberi sedikit sebanyak manfaat buat semua. Selamat beramal.

Jom kita kejar Lailatul Qadar!

 

 

Dr Nur Zawati Mohamed Fauzi

Setiausaha IMedik Cawangan Melaka

 

Rujukan

http://www.myhealth.gov.my/pemakanan-sihat-semasa-ramadan-puasa/

http://www.myhealth.gov.my/tips-di-bulan-ramadhan/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *