Tips Mendidik Anak Cintai Ramadhan

Ramadhan hanya berbaki separuh bulan lagi sebelum ianya meninggalkan kita. Hari-hari yang tersisa ini seharusnya diambil kesempatan untuk melipat gandakan amal ibadah agar menjadikan diri kita sebagai insan yang bertaqwa kepada-Nya. Bulan yang penuh barakah, rahmat, kemuliaan dan pengampunan.

Sebagai ibu yang tidak bekerja atau surirumah, kita mestilah mempunyai perancangan untuk menjalani bulan Ramadhan bersama anak-anak sebagaimana kita beria-ria membuat persiapan hari raya dengan persiapan baju, kuih-muih dan berbagai-bagai lagi.

Antara peranan ibu di rumah sepanjang Ramadhan ialah:

  1. Selalu mengingatkan diri dan ahli keluarga akan kejadian, kelebihan dan kebaikan bulan Ramadhan.
  2. Melatih anak-anak yang boleh berpuasa untuk berpuasa sunat sebelum tibanya Ramadhan seperti puasa Isnin Khamis dan di bulan Syaaban.
  3. Membuat dekorasi atau hiasan di satu sudut rumah sebagai tanda menyambut ketibaan bulan Ramadhan.
  4. Bekerjasama membersihkan kawasan dalam dan luar rumah.
  5. Ibu membuat senarai menu sepanjang Ramadhan bagi memudahkan idea untuk memasak juadah. Juadah yang dirancang biarlah sederhana, berkhasiat, seimbang dan tidak membazir.
  6. Amalkan pemakanan sihat dengan mengambil makanan yang kurang berlemak,bergula dan pedas. Mengajar anak-anak untuk makan dengan sedikit,perlahan-lahan dan tidak diselangi air serta berhenti makan sebelum kenyang.
  7. Amalkan pemakanan sunnah sejak dari awal seperti kurma,kismis dan madu supaya mudah diamalkan pada bulan Ramadhan terutama ketika berbuka dan bersahur.
  8. Membuat atau mendapatkan borang muhasabah amal sepanjang bulan Ramadhan. Boleh dilekatkan di peti ais atau papan kenyataan supaya anak-anak dan diri sendiri berlumba-lumba memenuhi borang amal tersebut. Berikan hadiah bagi anak-anak yang berjaya sebagai tanda penghargaan.
  9. Meminta anak-anak membungkus kurma dan mengagihkannya kepada jiran-jiran atau orang terdekat.
  10. Melatih anak-anak untuk solat berjemaah dan bertarawikh di masjid atau surau serta menjaga adab-adabnya.
  11. Mengajar anak-anak untuk bersedekah serta memberikan sedikit wang untuk disedekahkan di masjid, surau, tabung di sekolah atau kepada yang kurang berkemampuan.
  12. Ibu memasak sendiri makanan  dan kemudian meminta anak-anak agihkan makanan tersebut kepada jiran.
  13. Jika membeli di bazar Ramadhan,latih anak-anak untuk tidak membazir. Beli mengikut kemampuan dan bersederhana.
  14. Melatih anak-anak bertadarus bersama-sama selepas solat fardhu atau sebelum waktu berbuka puasa secara bergilir-gilir.
  15. Sentiasa memasang ayat-ayat suci Al-Quran di rumah atau di dalam kereta. Galakkan anak-anak juga untuk membawa dan membaca Al-Quran di mana-mana sahaja pada masa lapang.
  16. Menghidupkan malam lailatulqadar bersama anak-anak. Jika ada program qiam di masjid galakkan anak lelaki untuk turut serta bersama ayahnya. Jika anak perempuan sekadar di rumah bersama ibu dengan melakukan solat-solat sunat,membaca Al-Quran dan berzikir.
  17. Melatih anak-anak seawal usia 7 tahun untuk berpuasa mengikut kadar kemampuan mereka. Berikan dorongan, galakan,semangat dan sentuhan fizikal seperti peluk atau cium sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang. Memberi penekanan kepada anak-anak bahawa ibadah yang dilakukan perlulah ikhlas mengharapkan ganjaran dari Allah. Jika berkemampuan,berikan hadiah sebagai bonus buat mereka.

Marilah kita merebut pahala di bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amal ibadah. Moga ia sebagai titik permulaan untuk kita istiqamah pada bulan-bulan yang lain.

Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua.

 

Puan Mazlina Maskon
JK Biro Keluarga & Masyarakat
Isma Melaka Tengah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *