Ucapan Dasar Mesyuarat Agung Ke-15 – Bersedia Menghadapi Cabaran (Bahagian 2/2)

(Bahagian 1 boleh dirujuk di sini.)

TANZIM ORGANISASI

  1. Wawasan atau gagasan yang besar dan hebat tidak akan kesampaian jika tidak memiliki susuk organisasi yang kemas dan mantap. Kita sering mendengar ungkapan; kebatilan yang disokong oleh tanzim yang kuat akan mengalahkan kebenaran yang bergerak tanpa tanzim.
  2. Tanzim organisasi dakwah hendaklah standing dengan tanzim batil dalam semua sudut jika ia ingin mendapatkan kemenangan.
  3. Syed Qutb dalam tafsir fizilalil Quran, dalam mukadimmah Surah al-Anfal mengistilahkan ini sebagai جدية واقعية (kesungguhan yang realistik) dan menyifatkan itu sebagai ciri dakwah Rasulullah SAW. Pemikiran lawan pemikiran dan tanzim lawan tanzim.
  4. Gerakan Islam seharusnya meneliti dan mengkaji sebaiknya pelbagai konsep organisasi yang diamalkan sepanjang sejarah manusia. Kita tidak harus bertaqlid semata-mata selamanya.
  5. Tanzim organisasi adalah satu yang dinamik dan berkembang serta memiliki ruang ijtihad yang amat luas. Ianya berkembang sejajar dengan pengembangan objektif dan matlamat. Tanzim yang kaku akan menyebabkan kegagalan dalam menangani kehendak-kehendak baru dalam senario yang berubah-ubah. Yang penting ianya tidak melanggar kaedah syarak yang umum.
  6. Oleh itu, ISMA juga perlu mengulangkaji aspek pengurusan organisasi dan pastikan ianya selari dengan senario dan memiliki kecekapan, dinamik dan mampu memikul tanggungjawab pada setiap perubahan fasa.
  7. Kita memerlukan satu sistem organisasi yang anjal dan dinamik, boleh berkembang selari dengan kehendak, berkesan, cekap, berkesinambungan, mampu memanfaatkan potensi dengan baik dan berkesan, sistem komunikasi dan perhubungan yang cekap (up down & bottom up). Autoriti yang jelas dan empowerment yang منتظم (teratur). Mengabungkan ketaatan dan kreativiti secara seimbang.

TARBIAH

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Tarbiah bukanlah bermaksud melakukan rutin-rutin harian berkali-kali sehingga bertahun-tahun, sebaliknya, tarbiah yang kita mahu ialah tarbiah yang memindahkan kita dari situasi lemah menjadi kuat, lembap kepada cergas, jahil kepada berilmu, perlahan kepada laju, mundur kepada maju, pasif kepada proaktif, cepat kalah kepada tahan lasak dan cekal dan seterusnya.
  2. Oleh itu, wasilah hendaklah sentiasa hayawiyah (dinamik atau hidup), berorientasikan hasil, menambah ilmu, kemahiran baru, mengubah sikap, penampilan sehingga lahir satu susuk baru yang berbeza dan berjaya dalam segenap lapangan dakwah dan kehidupan.
  3. Kita bukan mahu sekadar ahli yang soleh tetapi kita mahu melahirkan generasi yang kuat, yang mampu memikul tanggungjawab dakwah yang panjang, mewariskan kejayaan dan berkesinambungan menjangkau generasi ke generasi.
  4. Saya terlebih dahulu ingin tegaskan bahawa ISMA berpegang teguh dengan tarbiah. ISMA tidak percaya kepada tindakan atau fahaman radikal yang memaksa perubahan dengan kekerasan. Kita berpegang teguh dengan dakwah dan tarbiah sebagai satu-satunya jalan yang menuju perubahan.
  5. Saudara-saudara dan saudari-saudari masih mempunyai tunggakan hutang yang belum dilunaskan. Dua tahun lepas, kita telah menggariskan ciri-ciri kesiapsiagaan yang perlu dimiliki oleh setiap ahli ISMA iaitu:

BERILMU DAN BERKETERAMPILAN

CEKAP DAN PROFESSIONAL

GAGAH, BERANI DAN BIJAKSANA

PINTAR DAN BIJAK BERBICARA

CEKAL DAN BERDISIPLIN

SOPAN SANTUN DAN BERBUDI BAHASA

Tahniah kepada yang telah memulakan perjalanan. Kepada yang belum, kita akan meneruskan komitmen kita terhadap tuntutan tersebut.

  1. Pada tahun yang mendatang kita akan menambahbaik lagi wasilah tarbiah kita. Wasilah tarbiah yang menekankan penghayatan perjuangan yang sebenar secara praktikal. Kita akan terapkan makna رباط sebagai nilai tambah dengan lebih mendalam dan menyeluruh dalam wasilah tarbiyah kita.
  2. Niat رباط merupakan dimensi baru yang akan memberikan kelebihan pahala yang besar dan berlipat ganda apabila kita menghayatinya dalam wasilah-wasilah tarbiah kita. Ini akan memberikan roh dan dorongan yang lebih kuat setiap kali kita melakukan aktiviti.
  3. Setiap aktiviti yang kita lakukan dengan niat رباط akan mendapat pahala termasuklah berbasikal, berjalan kaki, berenang dan pelbagai jenis riadah seperti memanah, berkuda dan pelbagai aktiviti survival yang melatih ketahanan fizikal dan mental.

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.

(Ali Imran: Ayat 200)

Barangsiapa meninggal dunia dalam keadaan ribath (berjaga) di jalan Allah, maka ia akan diberikan pahala sesuai dgn pahala amal saleh yg ia lakukan, diberikan kepadanya rezeki & diamankan dari orang yg memfitnah & Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengutusnya di hari kiamat dalam keadaan aman dari rasa takut.

(Hadith Riwayat ibnu Majah: No.2757)

  1. Dalam ucapan dasar ini, saya ingin memberi galakan tambahan kepada sukan berkuda. Bagi saya, berkuda adalah sukan lasak yang boleh menyerlahkan keberanian, kegagahan, ketangkasan dan seumpamanya yang akan membentuk sifat kelelakian yang sejati.
  2. Thaqafah berkuda sudah mahsyur dalam masyarakat Arab. Kuda adalah lambang kemegahan, kehebatan dan kemuliaan. Islam menerima thaqafah tersebut, dan menganggapnya sebagai satu lambang kekuatan dan alat jihad dan perjuangan.

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya: sedang Allah mengetahuinya, apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)”.

(al-Anfal: Ayat 60)

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW:

Nabi bersabda: “Seekor kuda (yang digunakan untuk fii sabilillah) terikat pada ubun-ubunnya kebaikan hingga hari qiyamat”.

(Hadith Riwayat Bukhari: no. 2638)

Dalam Hadith lain;

Barang siapa yang memelihara kuda (binatang) di jalan Allah dengan penuh keimanan pada Allah dan yakin akan janji kebaikan-Nya, maka sesungguhnya makanan terhadap kudanya yang dikenyangkan, pemberian minuman kepada kudanya hingga puas, bahkan kotoran dan kencing (kuda) nya kelak akan ditimbang (sebagai kebaikan) pada hari kiamat.

(Hadith Riwayat Bukhari: no. 2853)

  1. Saya percaya sukan berkuda adalah modul terbaik untuk menyelesaikan masalah lemah keperibadiaan dan kurang ‘kekelakian’, yang dihadapi oleh generasi muda pada hari ini.
  2. Kita akan berusaha untuk menjadikan thaqafah ini lebih dekat kepada ahli-ahli ISMA dan generasi ISMA akan datang. Untuk ini, kita sedang merancang untuk mengadakan pusat latihan berkuda kita sendiri bagi membolehkan warga ISMA di semua peringkat dari kanak-kanak, belia, dewasa dan wanita menceburi sukan ini.

WACANA PEMIKIRAN

  1. Fasa kedepan sangat memerlukan kepada tafsiran baru terhadap realiti. Kita perlu meningkatkan kemahiran berfikir dan berhujah dalam kalangan pendakwah.
  2. Satu usaha untuk meningkatkan intelektualisme aktivis dakwah ISMA ini amat penting kerana dakwah akan berhadapan dengan isu baru dalam pelbagai lapangan seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan, hubungan antarabangsa dan seumpamanya.
  3. Ini adalah keperluan baru memandangkan ‘manhaj tarbiah’ bersifat umum dan mendasar. Wacana ilmiah akan mampu menampung kekurangan tersebut. Pada sesi akan datang, kita akan galakkan wacana-wacana pemikiran dan diskusi-diskusi ilmiah.
  4. Antara cabaran besar dakwah ialah cabaran dari sudut membangunkan pemikiran Islam yang tulen dan selari dengan perkembangan zaman. Kita tidak boleh bergantung selamanya kepada produk pemikiran zaman lampau. Pemikiran Islam mesti terus diberi pembaharuan. Penulisan yang sedia ada banyak merungkai persoalan masa lalu. Kita perlu menyambung usaha mereka yang terdahulu dengan tafsiran dan huraian-huraian yang baru.
  5. Tahniah kepada ahli-ahli kita yang telah memulakan langkah dengan penulisan buku-buku dakwah dalam pelbagai bidang. Produk-produk pemikiran ini akan menjadi aset penting kerana ianya menjadi bukti keberadaan kita pada masa akan datang dan akan menjadi rujukan kepada generasi akan datang.
  6. Kita tidak boleh berterusan menjadi pengguna kepada apa yang sedia ada sahaja tanpa sebarang usaha mencipta produk tersendiri. Jika kita terus begitu, kita akan ketinggalan dan menjadi Jemaah lapuk yang asyik dengan nostalgia dan memutar lagu-lagu lama serta berada diluar gelanggang permainan yang sebenar.
  7. Saya sedar ia bukanlah sesuatu yang mudah, saya memilih untuk menyentuhnya dalam ucapan ini kerana kita perlu memulakan sesuatu. Untuk itu, kita perlu mementingkan pembangunan intelektualisme dalam kalangan aktivis dakwah. Saya harap satu hari nanti kita boleh mengeluarkan produk pemikiran kita sendiri. Pemikiran generasi akan datang dapat kita bangunkan berasaskan produk pemikiran kita sendiri.

KAJIAN DAN MAKLUMAT

  1. Zaman ini adalah zaman maklumat. Maklumat adalah kekuatan. Pihak yang ada maklumat akan mengatasi pihak yang tiada maklumat. Sebagai organisasi dakwah, ISMA juga perlu memiliki keupayaan menggarap informasi. Kita tidak boleh bergerak tanpa ilmu dan maklumat, tanpa memiliki pengetahuan dan kefahaman yang sebenar terhadap apa yang berlaku disekeliling kita.
  2. Amat penting juga bagi setiap aktivis ISMA menjadi seorang yang berinformasi atau bermaklumat, ‘up-to-date’ dan tidak ketinggalan dalam setiap perkembangan yang berlaku. Aktivis yang berinformasi akan memberi kelebihan kepada ISMA dalam mencapai objektif dakwahnya.
  3. Demi memenuhi kehendak dan tuntutan untuk menjadikan ISMA badan dakwah yang bijak menyelusuri masa depan, dan tidak ditipu oleh dakyah dan permainan orang lain, kita perlu memberi tumpuan untuk menguasai bidang kajian dan maklumat.
  4. Untuk itu, kita akan sentiasa komited untuk memobilisasi sebaik mungkin sumber intelektual kita sehingga kita dapat meningkatkan kualiti kajian kita sehingga ianya menjadi satu badan yang kuat dan berwibawa.
  5. Dengan memiliki maklumat, kita dapat memberi sumbangan dakwah yang lebih berkesan dengan cadangan-cadangan yang bernas dan pandangan-pandangan yang berkualiti.
  6. ISMA bukan NGO tempelan untuk mengisi kehendak politik pihak-pihak lain, tetapi ianya adalah Jemaah yang memiliki fikrah tersendiri dan ada solusi yang hendak disampaikan kepada masyarakat dan pihak-pihak yang berkenaan.
  7. Telah berlaku zaman عموميات iaitu bercakap perkara-perkara yang umum dan mendatar. Kita perlu memainkan peranan yang lebih penting iaitu mengemukakan cadangan penyelesaian, bercakap dengan fakta dan mengkritik dengan hujah.

KEPIMPINAN

  1. Melahirkan generasi pewaris kepimpinan adalah bahagian yang paling mencabar bagi ISMA, terutamanya dalam keadaan ramai dalam kalangan kita yang telah sangat selesa menjadi pengikut. Kepayahan ini disukarkan lagi dengan rumitnya fasa dakwah sekarang dan masa akan datang.
  2. Kepimpinan adalah daya kreativiti. Mencetuskan dan meneroka idea adalah satu ciri utama kepimpinan. Pemimpin mesti berupaya meyakinkan kebenaran idea dan mampu mempertahankan relevansi idea yang dibawa. Kemampuan itulah yang meyakinkan seseorang itu diangkat sebagai pemimpin.
  3. Kepimpinan perlu memiliki keberanian untuk menanggung beban menterjemah mimpi kepada kenyataan, tiada kompromi atau memilih jalan mudah. Kepimpinan mesti memilih yang tepat, untuk sampai ke destinasi bukan yang mudah dan disenangi.
  4. Pemimpin mesti memiliki ufuk yang luas, terbuka dengan pelbagai kritikan. Mampu menimbang yang terbaik dan tegas ketika membuat keputusan. Kepimpinan yang bijak akan lebih menggunakan pendekatan meyakinkan berbanding keputusan ‘idari’ kecuali pada kes yang kritikal dan sebagai jalan yang terakhir sahaja.
  5. Melahirkan lapisan kepimpinan yang berkesinambungan secara berterusan adalah tumpuan besar ISMA pada masa akan datang. Kita perlu mengambil pengajaran daripada sejarah. Bangunnya organisasi dan umat dengan lahirnya seorang pemimpin akan lenyap apabila pemimpin tersebut pergi.
  6. Saya berharap ini tidak berlaku kepada ISMA. Oleh itu, kita perlu merancang untuk melahirkan lebih ramai pemimpin baru. Lapisan-lapisan kepimpinan pelbagai bidang akan muncul dengan lahirnya generasi yang memiliki impian yang tinggi dan hati yang besar, dikuatkan dengan kehendak yang kental, gigih, cekal dan tahan ujian.
  7. Sesetengah kepimpinan menjadi pemimpin kerana diangkat sebagai pemimpin. Mereka tidak punya idea yang besar, dan tidak ada haloba yang diperlukan.
  8. Saya harap pimpinan yang senior untuk membuat perubahan diri. Jangan pandang rendah pada potensi diri kita. Saya sentiasa meletakkan harapan supaya golongan senior melakukan refresh diri dengan mencipta cita-cita baru dan terbuka dengan idea untuk mengembangkan potensi diri. Jangan batasi potensi diri anda dan memilih untuk berada ditepi gelanggang sahaja. Ingat, Rasulullah SAW pun memulakan dakwah baginda ketika berusia 40 tahun.
  9. Saya sentiasa menyokong mekanisma yang membuka ruang yang boleh membawa kepada penyerlahan potensi yang optima dan percambahan idea, dan saya harap kepimpinan disemua peringkat cawangan dan biro mengambil pendekatan yang sama. Janganlah struktur itu membunuh potensi selama mana ianya dilakukan dengan menghormati saluran dan dalam kerangka adab dan displin amal jamaie yang telah dipersetujui bersama.
  10. Saya harap dengan mewujudkan pandangan strategik yang baru, mekanisma yang anjal dan ruang perkongsian yang luas mengenai hal ehwal perancangan masa depan dakwah akan menjadi ruang baru kearah meledakkan potensi dan melahirkan kepimpinan baru untuk generasi masa hadapan.
  11. Dengan itu juga, kita akan dapat mencipta konsep kepimpinan jamaie dengan cara yang lebih berkesan. Amanah menyambung risalah dakwah ini tidak lagi terbeban atas bahu seorang dua pemimpin pengasas tetapi didokong oleh generasi dan diwariskan ke generasi yang seterusnya.

AHLI DAN BUDAYA KERJA

  1. Wujud perancangan yang mantap, tanzim yang kemas dan kepimpinan yang hebat tidak menjadikan Jemaah berjaya tanpa ahli-ahli berkualiti dan memiliki ‘attitude’ atau sikap dan budaya kerja yang cemerlang.
  2. Apa yang membezakan tarbiah kita dengan sistem-sistem yang lain ialah penumpuan kepada perubahan sikap dan tingkah laku. Kita agak berjaya dalam melahirkan generasi yang memiliki kesolehan masih kurang cemerlang dari sudut membentuk sikap, membangunkan potensi dan tingkah laku kecemerlangan kerja.
  3. Kita telah berjaya melahirkan manusia yang beriman, menjaga ibadat, akhlak yang tinggi, dapat memahami dan membaca al-Quran dengan baik. Tetapi perlu penambahbaikkan dari aspek sikap cekal, berkemahiran tinggi, kemas, cekap, menjaga waktu, berani, sedia berkorban dan seumpamanya. Kita menimba banyak ilmu pengetahuan mengenainya dalam usrah dan daurah tetapi penghayatan kepada sikap-sikap tersebut masih perlu diperbaiki. KITA MASIH DENGAN PERANGAI LAMA KITA!
  4. Sebahagian dari perangai lama diwarisi dari persekitaran keluarga, kepincangan persekitaran masyarakat dan juga sifat kenegerian (perangai kenegerian). Nilai keIslaman dan ke’Isma’an belum menyerap (sebati) sepenuhnya dalam diri sehingga membentuk sikap perajurit dakwah yang betul.
  5. Dalam hal ini kita kena ambil pendekatan taujih secara berterus-terang pada masa akan datang. Adalah tidak munasabah, seorang yang kadang-kadang ikut tarbiah begitu lama tetapi sikap dan tingkah laku masih seperti zaman anak-anak dulu.
  6. Menjadi muslim yang soleh dan memiliki profesionalisme dan kehadapan dalam kerja menuntut kita melepaskan diri dari sikap negatif yang kita warisi dari persekitaran keluarga, masyarakat setempat atau tempat kerja, juga ciri kenegerian.
  7. Dengan sikap dan tingkah laku baru kita dapat melahirkan ahli-ahli yang kuat bekerja demi mengejar kejayaan. Mereka akan dapat menterjemahkan hasrat dan cita-cita dakwah kepada bentuk realiti. Akan lahir generasi yang positif dengan ilmu, perubahan dan pembaharuan, yang memiliki kekuatan, proaktif dan optimis dengan gagasan-gagasan yang besar.
  8. Kita memerlukan jihad ‘al-Akbar’ yakni mujahadah untuk membebaskan diri dari sikap-sikap yang negatif dan diganti dengan sifat-sifat yang positif. Kita perlu rawat dengan cara terus terang. Kita tidak boleh membiarkan seseorang متربي dimanjakan dalam tempoh yang terlalu lama. Mesti ada teguran dan berterus-terang supaya ia dapat memperbaiki diri dengan lebih berkesan terutama kepada yang telah lama dalam tarbiah.

Sebagaimana;

BUKAN ORANG ISMA KALAU TIDAK BERAKHLAK MULIA.

Begitu juga;

BUKAN AHLI ISMA KALAU TIDAK CEKAP DALAM KERJA.

TANGGUNGJAWAB MEMBANGUN UMAT

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Perenggan-perenggan yang terdahulu saya telah menjelaskan bagaimana penambahbaikkan yang perlu dilakukan kepada fikrah, organisasi dan wasilah dakwah kita untuk menjadi TANZIM MASA DEPAN.
  2. Kegigihan yang sama diperlukan bagi menyediakan umat supaya mendokong dan menjadi persekitaran yang membantu dakwah dalam usaha pengembangannya.
  3. Bagi memperkasakan lagi risalah MEMBANGUN UMAT BERAGENDA, ISMA perlu mempergiatkan lagi usaha melibatkan sektor-sektor berikut:
    1. INSTITUSI ULAMA
      1. Ulama adalah satu institusi yang dihormati di dalam masyarakat. Dalam situasi yang bercelaru ini, dengan kewujudan golongan mempolitikkan agama, menjadikan agama sebagai alat perniagaan, fahaman ekstremis, perbalahan furu’ yang melampau, peranan ulama yang beraliran sederhana diperlukan untuk memandu masyarakat kearah jalan yang lurus.
      2. Oleh itu, Majlis Ulama ISMA (MUIS) perlu mengambil kedudukan dibarisan hadapan menjadi satu badan yang berwibawa, dihormati dan mengangkat pandangan-pandangan yang tulus dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan-kepentingan yang lain.
      3. Ahli-ahli ISMA yang berlatarbelakangkan pengajian Islam disarankan untuk lebih gigih menguasai ilmu dalam bidang pengajian masing-masing termasuklah menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi bagi membantu memperkasakan MUIS sebagai badan ilmu yang berwibawa.
    2. BELIA
      1. Biro Pemuda, Persatuan Belia Islam Nasional dan KRIM perlu mencabar diri untuk menjadi agensi dakwah yang dapat menyahut kehendak dan mengisi keperluan.
      2. Kita memiliki buah fikiran, idea dan produk-produk yang sangat baik, kita perlu meningkatkan keberkesanan dari sudut pengurusan program, promosi dan langkah-langkah susulan.
      3. ISMA FC, I-Fitness, Silat Hang Tuah, Kelab Basikal, Kelab Berkuda, Kelab Pendaki dan sebagainya perlu diperluaskan penglibatannya dalam kalangan anak muda.
    3. WANITA
      1. Separuh dari masyarakat adalah wanita. Wanita juga telah menceburi hampir semua bidang kehidupan. Wanita adalah unsur penting dalam menjaga kesejahteraan hidup masyarakat. Disebutkan bahawa apabila rosak wanita, maka rosaklah pemuda, dan apabila rosak pemuda rosaklah masyarakat.
      2. Peranan wanita sebagai ibu juga sangat besar dalam mendidik generasi. Mereka juga adalah isteri yang membisikkan nasihat yang baik kepada suami.
      3. Oleh itu, mendidik dan membangunkan wanita yang solehah merupakan bahagian penting dalam dakwah kita. Kita perlu melipatgandakan usaha dan melakukan pembaharuan agar lebih ramai wanita dapat menyertai aktiviti dakwah.
      4. Wanita perlu diberi kesedaran dan kemahiran supaya mereka dapat memainkan peranan yang positif dalam membentuk persekitaran yang sihat untuk pengembangan dakwah dan nilai-nilai positif.
      5. Belia dan wanita. Kita perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran untuk menjadi pemimpin dua sayap penting dalam masyarakat ini.
      6. Mereka perlu benar-benar menghayati permasalahan golongan mereka dan tampil untuk mengangkat suara mereka.
      7. Saya mencadangkan Wanita dan Belia diangkat menjadi sayap.
    4. KEKELUARGAAN
      1. Keluarga adalah unit penting dalam pembinaan masyarakat Islam atau Timur. Mempertahankan keutuhan institusi kekeluargaan adalah agenda penting kita dalam berdepan dengan pengaruh liberalisme.
      2. Melalui institusi kekeluargaan, kita membina keseimbangan generasi. Generasi yang sihat dan cemerlang datang dari institusi keluarga yang sejahtera.
      3. Bertitik tolak dari falsafah yang jelas ini, ISMA menjadikan institusi kekeluargaan sebagai satu cabang amal yang penting.
      4. Pada sesi lepas kita telah membangunkan program-program asas dalam mempertahankan keutuhan institusi keluarga dan bagaimana menguruskan sebuah institusi keluarga yang berjaya.
      5. Kita telah memiliki produk-produk yang sudah dipasarkan kepada masyarakat. Alhamdulillah, ianya telah teruji dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
      6. Kita bercadang untuk menjadikan program-program kekeluargaan ini sebagai ciri yang menonjol kepada dakwah ISMA. Kita boleh melibatkan lebih ramai masyarakat dengan dakwah ISMA melalui program-program kekeluargaan.
    5. GOLONGAN YANG MEMERLUKAN
      1. Salah satu medan penglibatan penting ISMA sebagai organisasi dakwah masa depan ialah dalam bidang khidmat sosial dan kebajikan.
      2. Mereka yang terpinggir di pedalaman, fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, mereka yang ditimpa musibah, orang tua atau warga emas memerlukan santunan dakwah kita.
      3. Alhamdulillah, kita telah memulakan kerja amal dalam bidang kemanusiaan ini. Kita memiliki agensi yang berkesan dan telah menunjukkan komitmen serta dedikasi mereka yang tinggi.
      4. Ternyata sumbangan-sumbangan kita telah membuka ruang perkongsian yang luas dengan golongan yang prihatin dalam masyarakat.
      5. Sebagai memenuhi satu sudut dari keperluan strategik ISMA, agensi ini haruslah terus dikembangkan sehingga ‘established’ sebagai satu badan milik masyarakat.
      6. Melalui badan-badan dan agensi ini lebih mudah kita berkongsi inspirasi dan mencipta ruang penglibatan masyarakat yang lebih luas. Dengan ini dakwah dan aktiviti kemasyarakatan kita mudah mendapat dokongan masyarakat dan kita menjadi sebahagian daripada mereka.
    6. PUSAT KOMUNITI
      1. Pusat komuniti adalah penghubung antara ISMA dan masyarakat di peringkat akar umbi. Melalui pusat komuniti kita menyelaraskan maklumat, menjalankan aktiviti dan memberi khidmat kepada masyarakat setempat.
      2. Melalui pusat komuniti kita dapat membantu agensi-agensi lain untuk sama-sama berkongsi masalah dan rancangan untuk pembangunan masyarakat yang menyeluruh.
      3. Seperti belia, wanita, kekeluargaan dan khidmat sosial, pusat komuniti mempunyai kelebihan yang sama iaitu tempat untuk perkongsian dan penglibatan yang luas oleh masyarakat. Ianya bukan eksklusif untuk manfaat dan penglibatan ahli-ahli ISMA sahaja.
  4. Sebagai penutup, semoga Allah SWT terus membimbing kita dengan taufik dan hidayahnya, untuk menterjemah inspirasi yang mega ini. Dengan idea yang bernas dan rancangan yang kemas lagi tersusun, diharapkan kita mampu menempuh cabaran untuk menjadikan ISMA sebagai ORGANISASI MASA DEPAN yang mampu memikul tanggungjawab perubahan.

Jazakumullah khairan kathira kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *