Umat Islam perlu kuat untuk tanggung beban yang berat

KUALA TERENGGANU, 7 April – Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Kuala Terengganu hari ini menganjurkan Karnival Sukan Remaja Muslim (KASRIM) 2018. Karnival sukan ini diadakan dalam bentuk pertandingan larian yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Kuala Terengganu dan terbuka untuk  pelajar tingkatan empat dan lima. KASRIM kali ini telah diadakan  di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengarah KRIM Kuala Terengganu, Ustaz Ramadhan Awang  telah berpesan kepada para peserta dalam ucapannya, “Umat Islam seharusnya kuat dari segi rohani mahupun jasmani kerana tanggungjawab yang ada di bahu kita adalah banyak. Hanya orang-orang yang kuat sahaja yang untuk mampu memikul kesemua bebanan ini.”

“Sebagai orang Islam, kita mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan agama kita dari setiap sudut dan di posisi mana sahaja kita berada. Jika kita sebagai pelajar, kita bertanggungjawab untuk menjadi pelajar yang cemerlang dan dalam masa yang sama membawa imej positif agama kepada masyarakat”, tambahnya lagi.

Para peserta juga diingatkan supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak melibatkan diri dengan perkara-perkara yang merosakkan kesihatan terutamanya tabiat merokok yang mana merupakan satu gejala yang amat meruncing dalam kalangan remaja masa kini. Semua ini adalah penting bagi memastikan para peserta menjadi seorang muslim yang kuat dan sihat.

 

Seramai 55 orang peserta telah menyertai program KASRIM kali ini bagi merebut hadiah utama iaitu wang tunai sebanyak RM100 berserta medal dan sijil. Peserta terpantas telah  berjaya menghabiskan larian sejauh tujuh kilometer dalam masa hanya 31 minit.

KASRIM merupakan salah satu aktiviti yang disusun di bawah pakej Akademi Remaja KRIM (ARK). Ini merupakan salah satu satu initiatif KRIM untuk meledakkan potensi dalam kalangan remaja. ARK mensasarkan pelajar tingkatan empat dan lima di sekitar Kuala Terengganu. Sekiranya berminat, sila layari fb.com/krimkt untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *