Umat Islam yang Merdeka Bebas Melaksanakan Syariah

ustaz abdullah zaik

Isma secara prinsipnya menyokong apa jua usaha ke arah memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia.

Dari awal lagi, Isma menyokong RUU 335 yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Hadi ke Parlimen.

Isma memahami bahawa tindakan itu tidak mengubah kedudukan undang-undang Islam berbanding undang-undang sivil.

RUU 355 masih tertakluk kepada Jadual Sembilan dalam Perlembagaan Persekutan yang memperuntukkan bidang kuasa negeri yang terhad kepada Mahkamah Syariah.

Namun kita menyambut baik usaha tersebut berdasarkan kaedah “Apa yang tidak boleh dilakukan semua, jangan ditinggalkan semua.”

Usaha masih perlu dilakukan ke arah menyelaraskan undang-undang sivil dengan undang-undang Islam atau mengangkat undang-undang syariah lebih tinggi dari undang-undang sivil sejajar dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Tugas mendaulatkan Islam kekal menjadi beban tanggungjawab di atas bahu setiap orang Islam yang mukalaf di negara ini.

Namun akhir-akhir ini kita menyaksikan satu peristiwa yang menyentap kealpaan. Satu bentuk ketegangan berlaku antara pihak Islam dan bukan Islam berikutan isu RUU 355.

Ia adalah pertembungan kehendak “iradah” antara pihak yang ingin meninggikan kalimah Allah s.w.t dengan pihak yang mahu mengangkat kalimah kufur.

Kemudian timbul persoalan;

Adakah Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang bernaung dibawah kesultanan Islam yang berdaulat sejak turun-temurun memerlukan keizinan kaum kafir untuk ditegakkan diatasnya syariat Allah s.w.t ?

Atau adakah atas kehendak orang lain, Umat Islam tidak lagi merdeka untuk mengibarkan di mana-mana inci dan jengkal tanah warisan ini panji-panji tauhid?
Atau dengan erti kata lain adakah umat Islam di negara ini masih memiliki kemerdekaan iradah dan kehendak untuk merialisasikan apa yang dituntut oleh agama Allah ke atas mereka?

Atau mereka sebenarnya telah terkongkong kehendak terbelenggu iradah seperti tawanan di negara sendiri

Isma menganggap situasi ini satu bala’ dan hukuman Tuhan yang disebabkan kita telah melencong jauh dari jalan Tuhan. Kita tidak mungkin dapat melakukan pembetulan atas kesilapan ini kecuali dengan melakukan taubat nasuha dari seluruh umat Islam dengan kembali kepada agama Allah dan bersatu atas taliNya.

Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *