Umat terbilang apabila Al-Quran dan hadith jadi pegangan

Pada hari ini, umat Islam dilihat sebagai menjadi umat yang mundur dari segi teknologi, sosial, ekonomi dan juga politik. Kemunduran ini mungkin terjadi kerana sikap umat Islam yang kini tidak bersatu akibat berbeza pandangan politik, tariqat, mazhab, dan ideologi. Sedangkan kita mempunyai al-quran dan hadis sebagai sumber penyatuan dan rujukan untuk menyelesaikan segala permasalahan umat yang berlaku.

Namun, realiti umat masa kini lebih cenderung mengikut sumber-sumber rujukan yang tak sahih seperti dari media sosial dan tidak berminat untuk menyelidiki terlebih dahulu sebelum menerima pakai. Malah, lebih memilukan apabila umat Islam sendiri menafsirkan Al-Quran dan hadis dengan cara yang salah, mengikut cita rasa mereka sendiri demi kepentingan periuk nasi mereka. Hal ini telah melahirkan banyak tafsiran-tafsiran yang salah dan mengelirukan. Lebih memburukkan keadaan apabila orang kafir dan golongan liberal mengambil kesempatan menggunakan tafsiran-tafsiran yang tidak benar ini demi kepentingan mereka untuk menyerang orang Islam sendiri. Malah, muncul pula golongan anti hadis dan anti al-quran yang terdiri daripada kalangan umat Islam.

Persoalannya kenapa umat Islam terlalu sukar untuk berpegang kepada ajaran Al-Quran dan sunnah? Mungkin kerana keegoan umat Islam itu sendiri untuk mendalami ajaran Al-Quran dan hadis. Mungkin juga kerana wujudnya permasalahan-permasalahan dalam kalangan masyarakat Islam untuk mereka mendalami al-quran dan hadis dengan cara terbaik.

Proses mendalami Al-Quran seharusnya bermula di peringkat anak-anak lagi. Ibu bapa seharusnya menjadikan diri mereka idola kepada anak-anak mereka untuk minat terhadap Al-Quran. Sebagai contoh, kehidupan bertadarus dalam keluarga mencerahkan peluang untuk memupuk minat anak-anak mendekati Al-Quran. Anak-anak harus dibekalkan dengan ilmu yang secukupnya untuk menapis sumber-sumber yang tidak sahih dan hanya menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai sumber rujukan utama kehidupan mereka. Ibu bapa memainkan peranan untuk mendidik atau jika tidak mampu boleh menghantar ke institusi-institusi yang bertauliah untuk mendidik anak-anak ini.

Di peringkat dewasa, mungkin tidak ramai yang berpeluang untuk mendalami Al-Quran dan hadis kerana bukan dari sekolah agama mahupun pengajian agama, tetapi itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk terus jauh dari mendalami ilmu ini. Cara mudah untuk meningkatkan kefahaman terhadap Al-Quran dan hadis, adalah dengan merapatkan diri dengan institusi masjid atau surau. Kuliah-kuliah agama di masjid atau surau, sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan pengetahuan berkenaan ilmu al-quran dan hadis. Selain itu, di luar sana, tidak kering juga dengan aktiviti-aktiviti keagamaan yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan berkenaan Al-Quran dan hadis anjuran NGO seperti Isma. Segalanya terletak pada kita, mahu mengorak langkah ataupun tidak. Tepuk dada tanyalah iman.

Konsep penjiwaan terhadap Al-Quran dan sunnah, adalah bermula dari pembacaan, kemudian hafalan, seterusnya pemahaman, kemudian pengamalan dan akhirnya penyampaian. Sebagai contoh, kita bermula dengan membaca ayat Al-Quran berkenaan penutupan aurat bagi seorang wanita. Rata-rata wanita hari ini, menggunakan telekung jika mahu menunaikan solat kerana tidak yakin pemakaian mereka adalah sempurna untuk solat. Sedangkan, jika mereka faham, cukup dengan berpakaian menutup aurat dengan sempurna, tanpa memakai telekung pun, mereka sudah boleh melaksanakan solat.

Secara tuntasnya, kita sebagai umat Islam, harus kembali mencari rentak untuk mendalami ilmu Al-Quran dan sunnah. Generasi yang berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan sunnah, adalah generasi yang akan digeruni oleh musuh-musuh Islam sendiri. Lihat sahajalah semasa zaman kegemilangan umat Islam dahulu, betapa terbilangnya mereka apabila berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran dan sunnah. Disebabkan itu musuh-musuh Islam akan sedaya upaya untuk menjauhkan kita dari Al-Quran dan sunnah dengan tipu daya hiburan mereka.

Penulis ialah seorang Aktivis Isma.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *