Usrah Wanita KB Mingguan Dapat Sambutan

KOTA BHARU, 24 Nov – “Setiap wanita muslimah mestilah bercita-cita untuk menjadi ahli syurga,” kata Ustazah Raihanah Yusuff dalam Usrah Wanita di Madrasah Sg. Keladi semalam. “Ini kerana syurga adalah nikmat Allah yang disediakan kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 25.”

Beliau selaku ahli jawatankuasa Wanita Isma Kota Bharu kemudiannya berkongsi beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh para muslimah untuk menjadi wanita syurga. Yang utama adalah solat kerana ianya bakal menjadi syafaat di akhirat kelak. “Solat adalah tiang agama dan ia merupakan pemisah antara keimanan dan kekufuran,” jelasnya lagi. “Perbanyakkan solat-solat sunat supaya kita sentiasa bergantung kepada Allah SWT. Rumah tangga yang aman adalah hasil daripada tuan rumahnya yang jaga solat,” ujarnya lagi.

Amalan lain seorang wanita syurga adalah berpuasa. Hal ini terkandung dalam surah Al Baqarah ayat 183. Banyak hikmah puasa, antaranya adalah mendidik jiwa dan membentuk akhlak mahmudah. Dari sudut sains pula, puasa dapat merehatkan perut.

Dalam slot yang kedua pula, para muslimah yang hadir berpeluang mendengar sendiri tips daripada pegawai perubatan, Dr. Akmal Ismail yang merupakan pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu. “Penyebab utama penyakit kronik adalah berpunca daripada peningkatan paras gula dalam badan, peningkatan darah tinggi dan juga masalah kegemukan. Pemakanan yang tidak sihat dan cara hidup yang tidak aktif menaikkan lagi peratus pesakit kronik di kalangan kita,” tegas Dr. Akmal lagi.

Beliau mengakhiri usrah wanita dengan saranan kepada hadirin supaya melakukan pemeriksaan berkala setiap tahun di klinik kesihatan berdekatan, jaga pemakanan dan lakukan aktiviti fizikal 20 hingga 30 minit setiap hari bagi memastikan fizikal dan mental terus cergas dan cerdas.

 

Saudari Suhidayah

AJK BKOM KB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *