Usrah Wanita : Kekalkan Persaudaraan dan Kesatuan Sesama Muslim

Oleh Farizatul Azimah Abdul Kahar

JOHOR BAHRU 11 Ogos – “Islam agama cinta. Kehidupan mukmin sejati dipenuhi rasa cinta yang menyala dan membara. Mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga dia merasakan hangatnya cinta”. demikian bicara Ustazah Jannah membuka sesi Usrah Wanita di Surau Perjiranan 10, Bandar Dato’ Onn baru-baru ini.

Allah mencipta dunia dengan cintaNya. Bahkan cintaNya itu terlebih dahulu wujud sebelum bumi ini diciptakan lagi..

Beliau mengulas lagi, “Kasih sayang sesama makhluk adalah fitrah dan sunnatullah yang telah ditetapkan, walaubagaimanapun ia mempunyai limitasinya yang tersendiri dari sudut syara’.

Di kesempatan itu juga, Ustazah Jannah turut menyentuh tentang hak-hak ukhuwah sesama muslim perlu didasari dengan keimanan dan kasih sayang kerana Allah swt.

“Asas yang kukuh ini sahaja yang akan menjadikan ukhuwah itu mampu bertahan dan dapat memberi manfaat semaksimum mungkin kepada masyarakat sekeliling kita”.

Ikatan persaudaraan yang dibina sesama muslim berlandaskan keimanan kepada Allah swt dalam menegakkan agama ini pasti akan dicemburui oleh iblis dan sekutunya.

Perbezaan pendapat pasti akan berlaku dalam jalinan persahabatan. Perselisihan ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan berlakunya perpecahan.Jika perselisihan ini tidak berjaya dileraikan maka berjayalah rencana syaitan untuk memporak perandakan anak-anak Adam.

“Ukhuwah sesama muslim jika difahami konsepnya akan menjadikan semua anggota masyarakat hidup dalam suasana yang harmoni, saling hormat-menghormati dan akan menjadi agen pengislahan ke arah masyarakat Rabbani yang paling berkesan.”, demikian tegas Ustazah Jannah.

Diakhir kalam Ustazah Jannah menyeru supaya kita sentiasa mencari dan berdampingan dengan sahabat yang soleh kerana kewujudan mereka di sekeliling kita dapat memberikan keberkatan dalam hidup kita lantaran sifat orang yang soleh akan sentiasa membantu kita untuk sentiasa berada dalam zon iman.

Majlis kuliah berkala ini berlangsung sekitar 1 jam 30minit dan mengumpulkan para wanita di sekitar Perjiranan 10.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *