Ustaz Fisol pernah buka kedai basikal

Memang suatu yang tidak dijangka apabila terpendamnya hasrat untuk menyambung pengajian ke sekolah aliran sains daripada pengetahuan si ayah menjadikan Tuan Guru Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa menjadi seorang pendakwah yang disegani masyarakat setempat.

“Sebenarnya saya dan adik-adik beradik dibesarkan dalam keluarga yang miskin tetapi penuh dengan suasana keagamaan yang kuat.

“Ayah saya merupakan seorang guru agama, tetapi memandangkan dia seorang ketua keluarga, kehidupan sehariannya banyak dihabiskan di sawah padi untuk menyara kami adik-beradik.

“Adakalanya selepas mengajar Al-Quran kepada kami adik-beradik dan anak-anak kampung pada sebelah malam, beliau kembali ke sawah untuk membanting padi sehingga larut malam.

Namun ujar Abdul Fisol lagi yang lahir dan membesar dalam suasana miskin dan perkampungan di pedalaman Pendang, Kedah, ayahnya tidak pernah memandang enteng soal didikan agama dalam keluarga dan mewajibkan setiap anak-anaknya belajar di sekolah aliran agama.

“Sebenarnya dalam hati saya memang teringin sangat untuk belajar di sekolah rendah biasa yang bukan aliran agama, tetapi selepas berfikir panjang, hasrat saya tidak diceritakan kepada ayah sebab dah tahu kalua cerita, mesti dia takkan izinkan, lagipun abang-abang saya semua sudah bersekolah di sekolah agama.

Mendalami ilmu agama

Bagi Abdul Fisol, hasrat ingin ke sekolah aliran sains yang tidak diceritakan itu dijadikan azimat untuk mendalami ilmu agama.

Selepas tamat pengajian menengah di Maktab Mahmud Alor Setar, Abdul Fisol bersama kawan-kawan mencari peluang untuk mendalami ilmu hadis di India.

“Pada masa itu ilmu agama seolah-olah sudah sebati dalam jiwa, ditambah pula dengan pengaruh kawan-kawan sebaya, saya meminta izin daripada keluarga untuk menyambung pengajian di Darul ‘Ulum Nadwatul Ulama di Lucknow, India.

Pemergian Abdul Fisol ke Lucknow untuk menyambung pengajian adalah percuma sahaja dan hanya perlu membawa wang saku sendiri.

“Saat yang paling manis dalam hidup saya ialah semasa dalam suasana pengajian di India yang dibuat dengan cara bertalaqqi dan suasana kampung yang kondusif untuk belajar dan menghafal ilmu agama.

Namun pengajian di Lucknow tergendala selepas 3 tahun kerana terpaksa pulang ke tanah air akibat kehabisan wang saku.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan bantuan ahli keluarga dan kawan-kawan, saya dapat kembali ke sana dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Hadis.

Terpaksa tinggal lama di Mesir

Usai pengajian di Lucknow, saya dan kawan-kawan mengintai-intai peluang untuk menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir yang sememangnya terkenal sejak dahulu sebagai pusat pendidikan agama terulung di dunia.

“Alhamdulillah, tawaran yang saya terima tidak lama selepas itu digunakan sebaiknya berbekalkan ijazah yang diterima di India sebagai prasyarat untuk masuk ke Al-Azhar.

Sebenarnya dengan ijazah yang saya ada, saya boleh terus ke tahun ketiga pengajian di Al-Azhar. Namun akibat sedikit salah faham di peringkat university, saya terpaksa memulakan pengajian di tahun pertama.

Bagi Abdul Fisol, walaupun tahun pertama dan kedua di Mesir ibarat ‘bulan madu’ kerana silibus pengajiannya sama seperti apa yang telah dipelajari di India, cabaran mendepani suasana hiruk-pikuk bandar Kaherah adalah lebih sukar baginya dan rakan-rakan yang mahu mendalami ilmu agama berbanding di Lucknow yang lebih tenang dan selesa.

Akibat daripada itu, Abdul Fisol kini memegang 2 ijazah sarjana muda termasuk dalam bidang Usuluddin yang diperoleh daripada Universiti Al-Azhar.

Sekembalinya ke tanah air, Abdul Fisol yang kini telah berkahwin dengan Ustazah Junainah binti Jaafar dan dikurniakan 3 orang putera pernah ditawarkan menjadi tenaga pengajar di beberapa tempat antaranya di sekitar Selangor dan Perlis sebelum mengambil keputusan bekerja sendiri.

Ustaz buka kedai basikal

“Antara noktah hidup yang saya cukup ingat ialah membuka kedai menjual dan membaiki basikal secara usahasama dengan anak saudara.

“Selepas anak saudara tidak lagi bekerja di situ, sayalah yang membuat kerja-kerja tampung tayar pancit, tukar tayar dan kerja-kerja lain.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menutup kedai basikal itu kerana ia sedikit sebanyak meletihkan, lebih-lebih lagi perlu memenuhi jemputan kuliah-kuliah pengajian di surau dan masjid pada sebelah malamnya.

Selesa berdakwah di rumah sendiri

Selain aktif sebagai pendakwah bebas, Abdul Fisol turut aktif dalam Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sebuah pertubuhan NGO Islam. Beliau yang berperanan sebagai Naib Yang Dipertua Isma Cawangan Alor Setar berpeluang mengenali kelompok kecil masyarakat Alor Setar yang komited dengan pengajian dan usrah secara mingguan.

“Alhamdulillah, melalui Isma dan ahli-ahli usrah ini, kami dapat membuka kelas-kelas pengajian sendiri di rumah setiap hari Isnin hingga Khamis.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana semakin hari semakin ramai yang hadir ke pengajian ini.

Menurut Abdul Fisol lagi, ahli-ahli usrah dan kelas pengajiannya terlalu banyak memberi sumbangan dalam mengajak kawan-kawan dan membina pondok wakaf, kerusi dan meja panjang di perkarangan rumahnya serta mengumpul dana untuk menambah baik keadaan rumahnya agar lebih kondusif dan boleh memuatkan ahli-ahli kelas pengajian yang semakin ramai.

Pada masa ini, ahli-ahli usrah dan kelas pengajian melebihi 100 orang dalam satu-satu masa.

Islam tertegak melalui dakwah yang berfokus

Menyentuh hal perkembangan dakwah di Malaysia, Abdul Fisol menyifatkan usaha dakwah pada masa kini belum cukup menyeluruh dan memberi kesan yang langsung dalam penegakan Islam di Malaysia.

“Dakwah secara umum dan terbuka adalah baik tetapi tidak memberi kesan kepada penegakan Islam.

“Dakwah yang terbaik ialah dakwah berfokus kepada sekelompok individu secara bertahap dan berkala supaya kesedaran mereka terhadap Islam semakin dan bertambah, sehingga mereka boleh berdakwah dan memberi sumbangan berterusan kepada perjuangan Islam.

“Usaha dakwah sebegini amat mirip dengan apa yang Rasulullah s.a.w. lakukan di mana baginda mengadakan sesi usrah kepada para sahabat secara berkala dan berterusan sehingga mereka menjadi penggerak dalam dakwah Islamiah sehingga seantero dunia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *