Valet Doa beri gambaran memalukan terhadap Islam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Jamadilawal 1438H, Khamis – Pengerusi Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Haji Omar Kassim menyifatkan perkhidmatan kiriman doa dari Tanah Suci, Valet Doa sebagai perniagaan yang mengambil kesempatan ke atas orang Islam yang kurang memahami agama.

Mengakui terkejut dengan perkhidmatan itu, beliau berkata, eksploitasi tersebut jelas memberi gambaran yang memalukan kepada Islam sehingga menjadikan doa sebagai bahan perniagaan.

“Doa sebaiknya dibuat secara peribadi, ikuti adab-adabnya, InsyAllah akan dimakbulkan. Ia sangat mengejutkan pengiklanan perkhidmatan itu hingga tergamak sebut jaminan doa akan dimakbulkan.

“Tadahlah tangan kepada Allah, mintalah dengan setulus hati sebagaimana kefahaman kita dari firman Allah dalam surah Al-Baqarah, 186, Sesungguhnya Allah itu amat dekat dengan hamba-hambaNya, mintalah dariNya nescaya akan dikabulkan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, umat Islam perlu memahami konsep doa yang terbaik, dilaksanakan secara individu dengan menjaga adabnya tanpa perlu kepada perantaraan lain.

“Doa adalah kewujudan rasa cinta seorang hamba kepada Allah s.w.t, sekali gus pengakuan hakikat permohonan dan meminta pertolongan hanya daripadaNya. Hakikat doa sebenarnya juga meminta kekuatan dari Allah s.w.t.

“Dalam doa terdapat makna memuji Allah s.w.t, ada pengakuan bahawa Allah Maha Mulia lagi Maha Pemurah. Itu semua menjadi ciri pengabdian dan penghambaan. Kalau berdoa dengan bersungguh dan mengikut adab-adabnya, namun masih belum dikurniakan, jangan kecewa.

“Keputusan Allah adalah yang terbaik. Mungkin ia sebenarnya dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari kiamat,” katanya.

Menurut beliau, umat Islam mesti memahami adab-adab berdoa yang disyariatkan, antaranya bertaubat kepada Allah dan mengembalikan hak orang yang dizalimi.

“Selain itu, memulai dengan zikir kepada Allah dan memujinya dan agar mengakhirinya dengan selawat atas Nabi s.a.w, meminta bersungguh-sungguh kepada Allah dan mengulang-ulang permintaan dengan suara yang tidak keras.

“Yakin dan bersangka baik dengan Allah, memilih waktu-waktu mustajab seperti antara azan dan iqamah, ketika malam dinihari tatkala orang lain sedang tidur, ketika sujud, ketika bermusafir dan makan serta berpakaian dari sumber yang halal,” katanya.

Perkhidmatan Valet Doa mula tular di laman sosial selepas ramai netizen mengecam dan kesal terhadap perniagaan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah, kononnya ditawarkan kepada mereka yang tidak mampu ke Tanah Suci.

Perniagaan itu menawarkan perkhidmatan serendah harga RM250 sehingga RM5,000 kepada orang ramai melalui pakej tertentu seperti VVIP serta pakej King Salman.

Sumber: Portal Islam dan Melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *