WAHAI DAIE, JANGAN BIARKAN KAMI KEMBALI KEPADA JAHILIYAH!

Kita harus menginsafi dengan sebenar-benarnya bahawa tanggungjawab dan hak mualaf masih lagi belum tertunai dengan sempurna. Walaupun hari ini lima Hakim Mahkamah Persekutuan Sarawak sebulat suara (unanimously) menolak rayuan empat responden (termasuk seorang wanita Melayu Islam) untuk keluar dari agama Islam, kita harus sedar hakikatnya di sebalik rayuan mereka, di luar sana terdapat ramai lagi mualaf yang perlukan bimbingan, adanya kes Melayu Islam yang ingin murtad dan adanya lompong-lompong dari segi undang-undang yang perlu diperincikan semula.

Apabila diselidiki kes rayuan tersebut, kita mendapati bahawa punca kepada permohonan keluar dari agama Islam adalah kecetakan ilmu untuk memahami agama Islam oleh mualaf. Mereka mungkin menganggap agama Islam mempunyai “return ticket” setelah mereka kehilangan punca dan asbab mereka memeluk Islam suatu ketika dahulu. Tidak dapat dinafikan juga terdapat pihak-pihak yang mendorong dan menyokong permohonan mereka agar mereka berani dan lantang menyuarakan hak serta kebebasan beragama yang disalahtafsirkan. Mungkin juga ini hanyalah medan tempur untuk mencabar kekuatan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan solidariti umat Islam. Allah lebih mengetahuinya.

Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat yang pahit bahawa kita belum lagi membimbing saudara baru kita dengan sebaiknya.

Kes rayuan ini hanyalah beberapa contoh yang terzahir disebalik realiti sebenar keadaan mualaf. Menurut sumber terpercaya, masih terdapat ramai lagi mualaf yang terbiar tanpa bimbingan yang berterusan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Bahkan sehingga suatu tahap mereka berani mengakui tidak lagi mengamalkan cara hidup Islam, cumanya mereka tidak mengisytiharkan murtad dan membuat permohonan untuk menukar agama kepada Jabatan Agama Islam Sarawak atau pun Jabatan Pendaftaran Negara.

Beberapa langkah yang boleh dilaksanakan untk

  1. Pemerkasaan kefahaman mualaf melalui kelas bimbingan

Menurut sumber terpercaya, di bahagian Samarahan sahaja, seramai lebih 1000 mualaf baru dicatatkan sepanjang 2015-2017. Namun yang betul-betul mendapat bimbingan dan mengikuti kelas bimbingan sangat sedikit. Baitul Ilmi, antara pihak yang prihatin dan mengadakan kelas mualaf di Samarahan mencatatkan secara purata hanya 20-25 orang mualaf yang datang secara konsisten untuk mendapat bimbingan agama. Perkara ini lebih merunsingkan di bandar-bandar besar seperti Kuching yang mempunyai lebih ramai saudara kita namun menurut pihak Urusetia Saudara Kita hanya sekitar 30 orang yang konsisten menghadiri kelas mereka. Kita berharap mualaf selebihnya mendapat bimbingan yang cukup dari pasangan masing-masing, kelas-kelas agama di masjid dan bimbingan persendirian di luar sana.

Kelas mualaf perlu diwujudkan dengan lebih banyak untuk membantu para mualaf memahami agama Islam dengan lebih baik. Daie mungkin boleh mengubah pendekatan daripada kelas-kelas bersifat formal kepada kelompok usrah kecil yang lebih santai namun mempunyai pengisian. Kadang-kadang disebabkan cara pembawaan yang kurang menarik menyebabkan mualaf enggan terus belajar daripada kita.

Mungkin sahaja saudara baru yang ingin belajar tidak mendapat hebahan bahawa adanya kelas-kelas bimbingan untuk mereka. Dalam hal ini, pihak pengendali seharusnya menguar-warkan aktiviti kelas bimbingan dengan lebih agresif. Jangan disebabkan terlalu menjaga sensitiviti, aktiviti-aktiviti promosi terbantut dan mesej tidak sampai kepada golongan sasaran.

  1. Sokongan moral dalam pengurusan tekanan keluarga

Mualaf yang masih baru dan merahsiakan pengislamannya daripada keluarga perlu dikenalpasti dengan segera dan diberi sokongan yang padu. Di universiti contohnya, kebanyakkannya mualaf memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga dan takut untuk mengisytiharkan pengislamannya, walaupun dari segi undang-undang, mereka berhak membuat keputusan tanpa keizinan daripada ibu bapanya. Namun disebabkan dalam sesetengah perkara seperti kos keperluan sara hidup masih bergantung kepada ibu bapa, mualaf muda akan berhadapan dengan tekanan yang mengganggu kehidupannya. Di sinilah peranan jabatan agama, NGO, daie-daie lapangan dan parti-parti politik diperlukan. Mereka bukan sahaja memerlukan bimbingan dari segi pengetahuan dan wang ringgit tetapi juga dari segi emosi dan bagaimana untuk mengurus tekanan daripada keluarga.

  1. Keprihatinan badan berwajib untuk memudahkan pengurusan hal ehwal kebajikan mualaf

Badan berwajib seperti Baitulmal dan Jabatan Agama Islam perlu lebih tangkas dan cekap dalam memudahkan urusan permohonan bantuan bagi saudara baru yang memerlukan. Kita perlu sedar bahawa di pihak sebelah sana, mereka juga mempunyai ‘pasukan penyelamat’ bagi memujuk semula mualaf untuk kembali kepada agama asal. Mereka juga menawarkan bantuan-bantuan bukan sahaja kepada penganut agama mereka, tetapi umat Islam kita sendiri. Jangan biarkan sehingga menjadi satu fenomena orang Islam sendiri merasakan badan agama lain lebih baik, prihatin dan mudah menawarkan bantuan kepada mereka. Daie tidak harus merasakan ini adalah momokan dramatik semata-mata kerana gerakan tersembunyi ini jelas diceritakan kebanyakan mualaf yang berkongsi pengalaman mereka.

4. Pengesanan kes penukaran agama dengan lebih cepat

Sebuah mekanisme bersama antara badan kerajaan dan NGO di lapangan harus diwujudkan untuk mengesan kes-kes pertukaran agama. Pihak yang menerima laporan: Jabatan Agama, harus memaklumkan kepada aktivis NGO di lapangan untuk berjumpa dan melakukan sesi perbincangan hati ke hati bersama mualaf atau individu yang ingin menukar agama. Hal ini dapat mengurangkan dan mengawal keinginan untuk menukar agama dengan lebih berkesan dan mempunyai sentuhan-sentuhan kemanusiaan, sebelum tindakan undang-undang diambil.

Tuding-menuding tidaklah dapat menyelesaikan masalah ini, tetapi semangat proaktif bersumbukan kefahaman yang jelas terhadap realiti umat di Sarawak ini seharusnya menjadikan daie-daie di lapangan meluncur lebih laju untuk menyantuni dan menjadi titik hidayah kepada mualaf agar mereka dapat menjalankan kehidupan dengan lebih sempurna. Daie-daie di lapanganlah yang menjadi barisan hadapan bersemuka dan menjiwai hakikat mualaf di luar sana.

 

Mohammed Rasheedan bin Ellin

Ketua Operasi Ruai Ikhlas Sarawak,

Pusat Kecemerlangan Islam dan Dakwah (PEACE)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *