Wanita Isma Dungun perjelas bahaya pornografi

DUNGUN, 10 Mac- Sebanyak 43% pengguna internet melayari laman web lucah dan sepertiga daripadanya terdiri daripada kaum wanita. Kebimbangan terhadap ketagihan pornografi yang semakin membarah ini, termasuk di kalangan kaum wanita, disuarakan oleh Dr Nur Akmal Ismail ketika menyampaikan perkongsian mengenai ‘Bahaya Pornografi’ di program Tea Talk for Ladies di Taman Tasik Tanjung Sura, Dungun hari ini.

Menurut beliau, ketagihan pornografi ini sama seperti ketagihan dadah dan arak. Pendedahan terhadap bahan pornografi pada awalnya menyebabkan perembesan dopamine, hormon yang berfungsi atas ransangan emosi, daya ingatan, rasa seronok dan kognitif.

“Jika pendedahan pornografi diteruskan, permintaan otak terhadap dopamine semakin besar untuk mempertahankan rasa seronok itu, maka di sini berlakulah ketagihan terhadap pornografi. ‘Keseronokan’ yang sementara ini menyebabkan seseorang itu akan merasa resah, degupan jantungnya laju, dan akan menjadi tidak keruan apabila gagal mendapatkan bahan porno untuk memenuhi permintaan dopamine yang sedia tinggi di dalam otak,” hurai beliau yang merupakan Pegawai Perubatan dan Kesihatan daerah Dungun.

Tambah beliau lagi, insan yang terlibat dengan pornografi ini akan berperang dengan dua dunia iaitu dunia sebenarnya dan juga dunia fantasi ciptaannya. “Dia akan mula menipu manusia di sekelilingnya untuk menyembunyi keburukan dan keseronokan palsu dunia ciptaannya itu,” terang Dr Nur Akmal Ismail.

Program Tea Talk for Ladies 2018 yang bertemakan ‘Bahaya Pornografi’ ini merupakan program anjuran Wanita Isma yang bercorak perkongsian santai yang mengumpulkan wanita-wanita di setiap lapisan umur agar menyedari bahaya pornografi kepada individu, keluarga dan masyarakat jika tidak dirawat bersama-sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *