Wanita Isma komited atasi stres di kalangan para wanita

Oleh Hazwani Liana Abbas

KUANTAN, 9 Okt. – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) akan terus komited dalam usaha untuk mengatasi masalah stres di kalangan para wanita yang merupakan aset penting negara.

Ketua Wanita Isma Kuantan, Ustazah Norhayati Ahmad Salleh berkata ia adalah kerana wanita pada hari ini memainkan peranan yang  penting dalam pembentukan masyarakat seperti isteri serta ibu yang bekerjaya.

“Untuk itu, para wanita perlu ada kefahaman yang luas dalam menguruskan tanggungjawab supaya dapat melahirkan institusi keluarga dan negara yang sejahtera.

“Oleh kerana itulah, kita mengambil inisiatif mendekati para wanita di dalam masyarakat dengan mengadakan program sokongan dari segi emosi, ekonomi dan juga spiritual mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Seminar Wanita Islam 2019 (SERWANIS) anjuran Wanita Isma di Dewan Barakah, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, hasrat besar ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak dari kalangan masyarakat, apatah lagi apabila banyak digembar-gemburkan kes jenayah yang berlaku saban hari melibatkan kaum wanita seperti pembuangan anak dan juga kes penderaan.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang KUIPSAS, Puan Yusliha Mohd Yunus melalui ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah dan berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh Wanita Isma dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan wanita ini.

“Hal ini kerana, para wanita pada hari ini kian bergerak maju seiring dengan kemajuan ekonomi dan pada masa yang sama kita juga harus perbetulkan tanggapan masyarakat yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan negara ini.

“Tambahan pula, Islam amat menjunjung tinggi serta menghargai kaum wanita sesuai dengan hadits Nabi SAW. Sebab itu kita boleh katakan wanita ini adalah tiang negara, baik wanita maka baiklah negaranya,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, seseorang wanita itu juga harus bijak mengawal emosi dan tekanan yang dihadapinya agar boleh terus menyumbang tenaga, kepakaran serta buah fikiran mereka kepada agama, bangsa dan negara.

Salah seorang peserta, Halimah-Tus-Saadiah Mohd Halim, 39 tahun, ketika ditemui memberi respon yang positif terhadap penganjuran seminar ini.

“Saya pernah hadir ke program seperti ini tetapi dianjurkan oleh pihak lain namun pengisiannya tidak menyeluruh. Berbeza dengan seminar ini, penceramah dan ahli panelnya berjaya menyampaikan input yang meliputi pelbagai skop.

“Malah, para panel juga dapat mengaitkan isu kemanusiaan, spiritual dan sains dari sudut Islam. Alhamdulillah. Tahniah Isma,” katanya.

Manakala bagi peserta lain, Nurul Najwa Shafiqah, 20 tahun, yang merupakan pelajar Diploma Kaunseling Islam, KUIPSAS berasa seronok dapat menyertai seminar ini kerana dapat mendalami ilmu kemurungan serta cara mengatasinya dan ilmu yang diperolehi sangat berkait rapat dengan kursus yang sedang diambilnya ketika ini.

SERWANIS yang dianjurkan dengan kerjasama Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), KUIPSAS dan Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Pahang ini telah berjaya mengumpulkan hampir 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk pelajar sekolah dan mahasiswi Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Kuantan.

Seminar yang bertemakan ‘Wanita Bahagia, Negara Sejahtera’ ini juga dianjurkan bagi memberi pendedahan serta kefahaman berkaitan psikologi seorang wanita dan kepentingan penjagaan kesihatan mental.

Disamping itu, seminar ini menawarkan ramuan kebahagiaan bagi wanita agar dapat mencipta hidup yang sempurna seterusnya memperkasakan peranan serta sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Antara slot utama seminar ini adalah Ceramah bertajuk ‘Wanita dan Kemurungan’ serta Forum dengan tajuk ‘Resepi Wanita Bahagia: Selamat Tinggal Stres’.

Aktiviti sampingan yang turut dijalankan adalah Pemeriksaan Kesihatan Wanita oleh Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Pahang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *