Wanita Mudah Menjadi Murung

Dr. Rozanizam Zakaria ketika berucap di SERWANIS

Oleh: Hawa Mahmod

KEMAMAN, 24 Ogos: “Kemurungan dilaporkan berlaku lebih kerap dalam kalangan wanita berbanding lelaki,” ujar Dr. Rozanizam Zakaria, Penolong Professor serta Pakar Psikiatri, Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada Seminar Wanita Islam (SERWANIS) dengan tema “Minda Sejahtera, Wanita Bahagia” yang berlangsung di Majlis Perbandaran Kemaman Sabtu lalu.

Beliau berkata, keadaan ini adalah kerana faktor fisiologi tubuh badan wanita itu sendiri.

Wanita terdedah kepada masalah kesihatan mental pada fasa perubahan hormon dalam badan. Antara faktor kritikal adalah sewaktu kitaran haid, selepas melahirkan anak, dan juga pada fasa menopaus.

Dr. Rozanizam juga berkata hanya dua daripada lima pesakit yang menghadapi masalah mendapatkan rawatan.

Kebanyakannya adalah kerana memperkecilkan masalah atau mengelakkan dari mendapat rawatan kerana perasaan malu atau takut.

“Jika kita merasakan sesiapa dalam keluarga yang menghadapi masalah berkaitan emosi dan mental. Kita bertanggung-jawab untuk berbincang dan mendapatkan rawatan. Kebanyakan masalah berkaitan mental hanya bersifat sementara dan boleh dirawat jika dikesan awal,” katanya.

Beliau berkata, sokongan sosial, iaitu siapa yang berada disekililing kita adalah antara kunci penting untuk kesihatan mental, disamping sentiasa libatkan diri dengan aktiviti yang positif.

”Apabila mempunyai pelbagai masalah, berhenti sejenak dan fikir dahulu. Cari sedikit masa dan ruang untuk berfikir dengan minda yang rasional.

Cuba selesaikan yang paling besar dan jangan lupa berkomunikasi dengan baik bagi masalah yang melibatkan orang lain”, ujarnya lagi.

Beliau mengakhiri ucapan dengan berkongsi satu laman web bagi membuat saringan tahap stress di https://www.ramlimusa.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *