Muslimah perlu tampil sebagai wanita berilmu dan berkemahiran

PEMBINA SHAH ALAM
SHAH ALAM, 28 Mac- “Wanita perlu mendapat pendidikan yang akan menjadikannya seorang muslimah yang sejati, berilmu pengetahuan dan terlatih dengan kemahiran-kemahiran sebagai seorang wanita. 

“Pendidikan yang baik akan menjadikan wanita Islam berperanan sebagai tenaga pembantu yang penting dalam membangunkan ummah bersama-sama kaum lelaki,” ujar Saudari Rohana Mohd Ali semasa penutup Program Beliawanis Talent Time (BESTT).

Beliau juga menerapkan kepentingan pengurusan masa dalam menyusun aktiviti seharian, supaya dapat  mengisi hari dan waktu dengan Allah dalam konteks beriman dan menghayati Islam.

“Alangkah rugi jika sewaktu kita masih dalam pengajian masa hanya dihabiskan di dewan kuliah sahaja, sedangkan kita boleh meluangkan waktu yang ada dengan mengikuti pelbagai program yang bermanfaat,” jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Setiausaha PEMBINA Cawangan Shah Alam.

Beliau turut menegaskan sebagai beliawanis, penampilan haruslah dijaga dengan kemas kerana ianya mampu untuk memberikan pandangan pertama kepada orang di sekeliling kita.

“Sesungguhnya Allah menyukai akan sesuatu yang cantik, begitu juga dengan kita,  orang akan lebih senang untuk mendekati kita sekiranya kita bijak menampilkan imej yang baik dan mengikuti landasan syarak”, tambahnya semasa majlis penutup BESTT.

Pesannya lagi,  hubungan ukhuwah ini mestilah terus dijaga dan tidak dibiarkan terhenti di program ini sahaja.

“Satu usaha dan permulaan yang baik di atas penganjuran program ini dan harus dipanjangkan lagi menerusi penganjuran di peringkat kampus masing-masing”, ujarnya.

“Selaku khalifah yang membawa agama Allah harus sentiasa bersiap siaga dalam berhadapan apa jua kemungkinan di masa akan datang.  Oleh itu, pentingnya kita dalam mengasah kemahiran asas sebegini dan senantiasa mengajak orang lain ke arah kebaikan dengan mempamerkan imej serta identiti yang baik”, katanya menutup bicara.

Oleh : Nur Afirah Mahashim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *