Warkah Ramadan 1438H/2017M Ikatan Guru-Guru Muslim (i-Guru) Pahang

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK 1438H

Tahukah anda bahawa puasa adalah ibadah yang paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada yang Maha Pencipta. Ini kerana ibadah puasa itu sendiri meletakkan pemusatan niat dan segala gerak geri hanya untuk Allah. Setiap agama samawi meletakkan puasa sebagai satu ibadah untuk menyucikan diri dan menjadi orang yang taat kepada tuhannya. Apa yang membezakan ibadah puasa seorang Muslim dengan penganut agama lain ialah hukum kewajipan dan kaedah pelaksanaannya. Islam mewajibkan semua umatnya yang baligh berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadan. Ada pun agama lain tidak sebegitu. Bahkan, puasa dilakukan oleh penganutnya yang kuat beragama sahaja. Ada pun mereka yang lain tidak terikat dengan ibadat puasa.

Pensyariatan Ibadah Puasa Ramadan

Kewajipan ibadah puasa Ramadan telah disyariatkan kepada umat Islam setelah turunnya ayat 183-185 surah Al-Baqarah pada bulan Syaaban tahun ke 2 Hijrah. Maksud perintah Allah tersebut:

“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu, semoga kamu menjadi orang bertaqwa, iaitu pada hari-hari yang tertentu. Maka, barangsiapa dari kalangan kamu sakit atau sedang dalam musafir, hendaklah dia gantikannya pada hari-hari yang lain. Bagi orang-orang yang lemah [uzur atau terlalu tua] maka hendaklah mereka membayar fidyah dengan memberi makan orang-orang miskin. Barangsiapa dengan rela melakukan kebaikan maka itu adalah kebaikan untuk dirinya. Dan kamu berpuasa itu adalah baik untuk kamu sekiranya kamu mengetahuinya. Bulan Ramadan, diturunkan di dalamnya al quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan keterangan kepada kepada petunjuk dan pembeza [antara kebenaran dan kesesatan], barangsiapa di kalangan kamu menyaksikan permulaan bulan [Ramadan] maka hendaklah dia berpuasa…..”

Pada bulan Ramadan tahun ke 2 hijrah itu bermulalah kewajipan puasa Ramadan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Sebelum itu, amalan Nabi ialah berpuasa tiga hari pada setiap bulan. Setahun Nabi berpuasa selama 36 hari. Sempena itu juga lahir pensyariatan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal dengan hukum sunat muakkad. Mencukupkan bilangan 36 hari setahun.

Tujuan Allah s.w.t mewajibkan ibadah puasa ialah untuk menjadikan setiap mukmin layak untuk masuk syurga, iaitu dengan meningkatnya ketaqwaan mereka kepada Allah saban tahun. Ini terkandung dalam maksud ayat di atas. Dalam ayat yang lain, Allah menetapkan janji syurga untuk orang-orang yang bertaqwa.

Bagaimana taqwa kita meningkat di bulan Ramadan?

  1. Pada waktu siang bermujahadah menahan diri dari apa sahaja yang diperintahkan Allah. Tidak makan dan minum. Tidak melakukan persetubuhan suami isteri. Menjaga tutur kata, menjaga mata, menjaga telinga dari semua perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa.
  2. Pada waktu malam, mengerjakan solat sunat tarawih 8 atau 20 rakaat dan bertazkirah. Ditambah dengan 3 rakaat solat witir. Melakukan solat sunat tahajjud, solat taubat, solat tasbih, berzikir, iktikaf dan mentadabbur al quran.
  3. Mengikat diri untuk konsisten membaca dan tadarus Al-Quran. Memberi masa yang secukupnya untuk khatam Al-Quran dalam masa yang ditetapkan.
  4. Bersedekah, peduli anak-anak yatim, memberi makan faqir miskin, menyumbang kepada rumah kebajikan dan orang-orang tua, menaja majlis berbuka puasa, moreh dan sahur, menyumbang kepada pembangunan masjid, Maahad Tahfiz dan institusi agama yang ada.
  5. Berbakti kepada ibubapa, ziarah kubur, menziarah sanak saudara untuk memperbaharui hubungan silaturrahim, menziarah rakan taulan bagi mempereratkan ukhuwah islamiah, saling maaf-memaafkan di atas salah silap dan keterlanjuran.
  6. Memohon ampun dan maaf dari Allah setiap malam, berulang-ulang. “Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha pemaaf dan amat suka memaafkan, maka maafilah kesalahan kami”. Dibaca setiap selepas 4 rakaat solat tarawih.

Semua perkara yang disebut di atas, kita lakukan saban tahun pada bulan Ramadan. Inilah yang dinamakan taqwa. Amat cantik dan bagus sekali seandainya kita dapat istiqamah di atas ketaqwaan ini. Taqwa kita berterusan hingga akhir hayat. Dalam Al-Quran Allah menggesa;

“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan berserah diri [muslim] sepenuhnya”.

Marilah kita jadikan bulan Ramadan tahun ini Ramadan terbaik kita. Kita gandakan amal ibadah kita. Moga-moga amal Ramadan yang kita rutinkan akan melekat menjadi tabiat dan cara hidup kita yang akan membawa kita ke Syurga Firdaus nan indah tidak terbanding.

IKATAN GURU-GURU MUSLIM [i-Guru] KUANTAN MENGUCAPKAN SELAMAT MENJALANI IBADAH RAMADAN AL MUBARAK 1438H KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT.

 TAQABALALLAHU MINNA WA MINKUM

Ustaz Norman bin Mohd Nor

YDP Ikatan Guru-guru Muslim[i-Guru] Pahang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *