X-Treme 2014: Cabar diri berkorban demi kegemilangan Islam

xtreme johor

PASIR GUDANG, 6 Jun – Remaja Muslim perlu mencabar diri untuk berkorban dalam aspek fizikal, mental dan emosi demi merealisasikan kebangkitan dan kegemilangan Islam.

Demikian ujar pengarah program ‘Eksplorasi Remaja Tarbawi Muslim 2014’ (X-Treme 2014), En. Mohd Iqbal Hakim Mohd Tahir kepada para peserta di Pusat Latihan Syarikat Air Johor (PLSAJ) baru-baru ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyeru para remaja untuk keluar dari zon selesa bagi membentuk jiwa yang kental dan cekal dengan mencontohi kehidupan Rasulullah SAW yang sangat mencabar.

“Kehidupan Rasulullah SAW sederhana dan mencabar. Baginda makan kurma sekadar untuk mengalas perut, tidur beralaskan pelepah kurma, mencari rezeki dengan mengembala kambing seawal usia 7 tahun dan melaksanakan solat malam sehingga bengkak kakinya.

“Kehidupan Baginda itu jauh dari keselesaan dan itu telah membentuk peribadi baginda yang berjiwa kental dan cekal, seterusnya menjadi faktor utama Islam dapat tersebar ke seluruh dunia,“ jelas En. Mohd Iqbal.

Katanya lagi, Allah menjanjikan balasan syurga bagi mereka yang melakukan pengorbanan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan demi menegakkan Islam.

“Menerusi program ini, kami berharap para peserta dapat pelajari bahawa kesusahan dan cabaran kehidupan itu adalah sebahagian proses kehidupan untuk mendidik jiwa menjadi pemimpin yang tinggi nilai tarbiyahnya demi membawa risalah Islam yang syumul,” jelas En. Mohd Iqbal mengakhiri ucapan beliau.

X-Treme 2014 yang bertemakan ‘Rise and Conquer’ (Kebangkitan dan Penguasaan) merangkumi 90 peratus aktiviti fizikal ‘outdoor’ dengan berobjektif untuk menerapkan disiplin diri, kerjasama berpasukan disamping mengeratkan ukhuwah sesama peserta.

Program anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Johor ini merupakan salah satu daripada program yang ditawarkan oleh KRIM di setiap cawangan menerusi pakej rekreasi. –KRIM

Bagi remaja yang berminat menjadi ahli KRIM Johor dan menikmati pakej-pakej yang ditawarkan oleh KRIM di Johor, pendaftaran boleh dilakukan menerusi pautan berikut:

http://krim.ismajohor.com/pendaftaran-2

Siti Nurliyana Saifollah
Wartawan ISMA Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *