YDP Isma Johor Bahru Berpengalaman Luas di Arena Bola Sepak

Oleh: Muhammad Taqiuddeen Bariman

Bersederhana, tenang serta berwibawa. Itulah antara karakter yang dapat dilihat pada Tuan Haji Mohd Tahir bin Hamdan atau lebih dikenali dengan gelaran haji oleh penduduk sekitar dan rakan-rakan.

Anak jati negeri Johor ini membesar di daerah Batu Pahat dan memulakan kerjaya hidupnya sebagai pengurus projek di bawah syarikat Johor Corporation (JCorp). Populariti beliau mula terserlah apabila terlibat dengan pelbagai projek pembinaan masjid dan sekolah agama seluruh negeri johor, tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar. Lebih 100 buah kesemuanya.

Setelah lebih 30 tahun berkhidmat dalam syarikat korporat tersebut, beliau kini diberi kepercayaan sebagai Pengurus Kanan bagi menguruskan projek yang berkaitan dengan syiar Islam seperti menaiktaraf Kolej Pengajian Islam Johor ( MARSAH), masjid dan sekolah agama. Kata beliau, untuk mencapai tahap seperti ini, pengorbanan dan disiplin yang tinggi amat diperlukan. Tanpa minat yang mendalam, setiap kerja yang dilakukan hanya menjadi bebanan dan masalah yang tidak berkesudahan.

Peminat tegar bola sepak

Kecemerlangan peribadi Haji Tahir tidak hanya terserlah dalam sektor pembinaan. Turut aktif dalam arena sukan, Kelab Bola Sepak Johor (Johor FC ) memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat sebagai setiausaha kehormat selama lebih 15 tahun. Pengalaman yang luas ini, menjadi salah satu sebab beliau diberikan kepercayaan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk menjadi Presiden Kelab Bola Sepak Isma.

Menyedari bahawa sukan bola sepak amat diminati golongan muda, peluang ini diambil sepenuhnya oleh Haji Tahir untuk mendekati masyarakat. Menerusi sukan ini juga, beliau mendidik masyarakat dengan meningkatkan kualiti hidup golongan muda dari sudut akhlak, gaya hidup dan jati diri.

Rahsia kejayaannya ialah bercita-cita besar, sentiasa berfikir, proaktif, dan memiliki visi dan misi yang jelas. Katanya, apabila melihat suatu perkara, lihatlah dari sudut jangkauan yang lebih jauh, fokus dan sentiasa memotivasikan diri.

Orang penting

Hj Mohd Tahir tidak hanya terlibat aktif dalam hal-hal keduniaan, bahkan beliau juga memainkan peranan penting dalam dakwah Islam. Sinonim dengan perwatakannya sebagai seorang ketua, beliau kini diamanahkan oleh pertubuhan Islam sederhana, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk menerajui kepimpinan sebagai Yang Dipertua Isma Johor Bahru.

Aktiviti dakwahnya tidak terhenti setakat itu. Beliau juga dilantik oleh penduduk-penduduk Taman Perling untuk menjadi imam di masjid mereka.

Pesanan untuk orang muda

Setiap orang perlu mempunyai satu cara fikir yang jelas untuk merubah dan meningkatkan kualiti hidupnya dan kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik berlandaskan syariat. Menurut Hj Mohd Tahir, kebanyakan golongan pemuda agak sukar untuk berkomunikasi dengan golongan yang lebih berusia tetapi ianya tidak boleh dijadikan alasan kerana amat rugi sekiranya golongan muda tidak mengutip mutiara-mutiara nasihat dan pengalaman daripada golongan yang lebih berpengalaman.

Hal ini dapat diselesaikan apabila anak-anak muda terlibat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kerana secara tidak langsung ia dapat mewujudkan hubungan baik dengan golongan yang lebih berusia. Pemuda juga perlu merasai tugas membina generasi akan datang merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dijayakan bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *