Zero-to-Hero – Sinergi Pembangunan Remaja Sekolah

 

Oleh: Noradlina Zkeri

2 April, Kuala Lumpur – “Konstantinopel akan ditakluk oleh tentara Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera”, inilah hadis yang acapkali disebut-sebut dalam slot perkongsian di program Zero to Hero baru-baru ini.

Mengambil semangat dan iktibar pembukaan Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad al-Fateh, Kelab Remaja Isma Kuala Lumpur (KRIM KL) dan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) telah bekerjasama dalam menjayakan program Zero To Hero selama 3 hari 2 malam yang baru berlangsung sejak Jumaat yang lalu.

Dengan tema program “Mencari Siapakah Sultan Muhammad al-Fateh” , KRIM KL serta pihak SPI JPWKL sepakat untuk menganjurkan program Zero To Hero dengan harapan agar dapat melahirkan para peserta yang berani untuk memimpin, berketerampilan dan bermotivasi untuk menjadi pelajar yang lebih cemerlang.

Sebanyak tiga sekolah yang terlibat dalam program Zero To Hero ini, iaitu Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP) , Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dan Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMKA KL).

Melalui program ini, para peserta telah melalui beberapa slot yang melatih mereka untuk bercakap di hadapan orang ramai. Manakala pada slot malamnya pula, mereka mempraktikkan kemahiran yang telah mereka peroleh dengan mengendalikan program  “Malam Solidariti Palestin”.

“Biarpun masa yang diberikan untuk membuat persiapan bagi program “Malam Solidariti Palestin” agak singkat, namun, para peserta dapat melaksanakan tugasan ini dengan sangat baik, “ ujar Noraliza Maat, ketua aktiviti bagi Zero To Hero.

Menurut adik Khaulah Nazurah binti Khairul Fariz, salah seorang peserta Zero To Hero, program ini membantunya untuk berani bercakap. Ujar beliau, ” Setelah menyertai program ini, saya bertambah yakin untuk bercakap di hadapan orang ramai.”

Tambah beliau lagi, aktiviti berkumpulan juga membantu beliau dalam berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *