Ziarah Kasih Ramadhan sasar golongan serba kekurangan

KOTA BHARU, 22 Mei – Program Ziarah Kasih Ramadhan yang menyasarkan bantuan kewangan serta keperluan asas kepada keluarga memerlukan selari dengan amalan bersedekah yang sangat dianjurkan pada bulan Ramadhan telah berjaya dilaksanakan dengan jumlah penerima bantuan meliputi 21 penerima.

Dengan latar belakang berbeza dan menderita pelbagai penyakit seperti kanser, penyakit psikiatri dan penyakit kronik, rata-rata keluarga dan pesakit di sekitar daerah Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh ini hidup serba kekurangan dan amat memerlukan bantuan dalam meringankan beban seharian mereka.

Bertitik tolak dari situ, pihak Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Kelantan telah mengambil inisiatif melancarkan program Ziarah Kasih Ramadhan bagi membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menyumbang kepada lapisan masyarakat yang dalam kesusahan ini. Program ini juga telah mendapat kerjasama daripada unit Kebajikan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Bharu.

Mengambil pendekatan ziarah dari rumah ke rumah, rombongan Ziarah Kasih Ramadhan ini telah dibahagikan kepada beberapa peringkat yang mengambil masa selama 4 hari iaitu pada 10, 17, 18 dan 22 Mei.

Rombongan yang diwakili oleh para aktivis I-Medik terdiri daripada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi serta pegawai Unit Kebajikan HUSM ini turut diserikan lagi dengan kehadiran sukarelawan pelajar perubatan dari Lincoln University College pada sesi ziarah 18 Mei sekaligus membantu melicinkan perjalanan keseluruhan program.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Encik Shamsul Amri dan Encik Zakwan daripada Unit Kebajikan HUSM atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini. Diharapkan program Ziarah Kasih Ramadhan ini bukan sahaja telah menjadi medium produktif bagi individu prihatin menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan bahkan turut menjadi platform bagi I-Medik Kelantan berbakti kepada masyarakat setempat dan diteruskan lagi pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *