5 Tip Jaga Kesihatan Mental Di Rumah

Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada masyarakat secara psikologi dan emosi. Suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memaksa ramai untuk berkurung di rumah dan sudah semestinya memberi lebih tekanan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 aduan telah diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 adalah membabitkan isu kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri yang sangat memerlukan sokongan psikososial.

Sebagai seorang pejuang Bipolar Mood Disorder, pengurusan kesihatan mental di rumah adalah sangat penting. Para pesakit Bipolar akan mengalami perubahan emosi yang luar biasa sama ada sangat gembira atau pun sangat sedih (kemurungan yang melampau).

Justeru, setiap daripada kita perlu peka dengan perubahan emosi diri. Bagi anda yang mengalami kemurungan dan tekanan lebih daripada dua minggu, adalah lebih baik untuk anda terus mendapatkan rawatan di klinik. Selain itu, tahap kesihatan mental anda juga boleh diuji dengan melakukan ujian saringan bertulis Depression Anxiety Stress Scale (DASS).

Memandangkan kita masih di fasa PKP dan banyak waktu kita luangkan di rumah. Saya kongsikan beberapa langkah berkesan yang saya lakukan untuk mengurus kesihatan mental di rumah;

1. Lakukan aktiviti fizikal di rumah secara konsisten.

Walaupun terdapat kekangan untuk beriadah di luar rumah seperti di taman rekreasi, kita boleh melaksanakan senaman atau aktiviti fizikal di dalam rumah. Antara senaman yang boleh dilaksanakan adalah berjalan setempat, lari setempat, tekan tubi, berdiri atas kerusi dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti ini boleh dilakukan secara bersendirian dan bersama ahli keluarga. Senaman terbukti menghasilkan pelbagai hormon baik untuk kesihatan seperti hormon endorfin yang dikaitkan dengan perasaan gembira.

2. Elakkan diri daripada bersendirian dan cari peluang untuk berkongsi perasaan anda dengan seseorang.

Bersendirian akan menyebabkan seseorang yang mengalami kemurungan untuk berfikir secara berlebihan, lebih cenderung untuk berfikiran negatif berbanding positif. Walaupun situasi PKP telah menghadkan pergerakan dan hubungan kita dengan rakan-rakan dan keluarga, kita tetap boleh berhubung dan bertanya khabar secara maya. Bagi yang mendengar, jadilah pendengar yang baik dan sentiasalah memberi sokongan moral dan saling mendoakan.

3. Pilih sudut rumah yang sesuai untuk bertenang.

Suasana tempat yang sesuai sememangnya akan membantu untuk anda mengurus emosi. Kebiasaannya, orang akan memilih ruang tidur kerana ia merupakan kawasan yang paling nyaman dan menenangkan. Ada juga yang lebih gemar duduk bertenang di luar rumah, menghirup udara luar semula jadi.

4. Pencahayaan dan pengudaraan yang baik di rumah juga membantu untuk mengurus emosi.

Kita akan berasa lebih selesa dengan cahaya yang terang bersulam udara segar dari luar rumah. Namun, ada juga yang lebih tenteram dalam kegelapan. Buat anda yang suka pada keadaan rumah yang cerah, pencahayaan adalah kuncinya. Oleh itu, cuba cari tempat yang memiliki akses berdekatan dengan tingkap rumah.

5. Lakukan aktiviti yang disukai dan diminati.

Dengan membuat perkara yang kita minat, ianya dapat mengelakkan kita menjadi bosan dan tertekan. Keadaan norma baharu pasca pandemik mungkin boleh menggalakkan kita untuk menceburi hobi baru? Aktiviti rutin yang sesuai untuk dilaksanakan di rumah, seperti berkebun, membaca buku, mengikuti kelas-kelas ilmiah atau latihan secara maya dan bermacam-macam lagi adalah merupakan beberapa pilihan yang sesuai.

Akhir kata, hargai dan sayangi diri sendiri setiap hari. Setiap hari merupakan perjuangan dan yakinlah bahawa pasti ada hikmah yang Allah ingin ajarkan kepada kita di sebalik setiap ujian yang hadir dalam hidup.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat